Now Reading
‘Hasrat’ Juara AJL 38, Tampilkan Nama Anak-Anak Yang Gugur Di Palestin

‘Hasrat’ Juara AJL 38, Tampilkan Nama Anak-Anak Yang Gugur Di Palestin

Lagu tersebut yang dicipta dan dinyanyikan oleh pemuzik Amir Jahari merupakan runut bunyi bagi filem ‘Imaginur’.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Rakyat Malaysia pasti tidak asing dengan Anugerah Juara Lagu (AJL), pertandingan muzik tahunan negara yang dianjurkan sejak tahun 1986 oleh TV3.

Semalam (3 Mac), AJL ke-38 telah berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil yang menampilkan ramai penyanyi hebat tanah air seperti Ziana Zain, Datuk Jamal Abdillah, Faizal Tahir dan ramai lagi.

Daripada 12 lagu yang dipersembahkan, ‘Hasrat’ ciptaan dan nyanyian Amir Jahari telah tampil juara dan membawa pulang trofi serta wang berjumlah RM100,000.

Bagi yang tidak tahu, ‘Hasrat’ merupakan muzik asal filem (OST) bagi ‘Imaginur’ arahan Nik Amir Mustapha serta lakonan Beto Khusyairy dan Diana Danielle.

Ketika ‘Hasrat’ dipersembahkan oleh Amir, latar belakang memaparkan banyak tulisan Jawi.


Nama Anak-Anak Palestin Pada Latar Belakang

Menerusi hantaran di laman X oleh pengurus Amir, Joe Lee, dia menerangkan bahawa tulisan tersebut sebenarnya adalah ribuan nama anak-anak yang telah syahid di bumi suci Palestin.

Persembahan tersebut merupakan dedikasi kumpulan ‘Hasrat’ kepada anak-anak syurga Palestin. Lirik “Ku ingin pulang” pula menjelaskan harapan agar Palestin dapat dibina semula.

“Melalui visual yang menggambarkan pokok dengan daun berguguran dan tulisan jawi, semuanya adalah nama-nama individu yang mati syahid. Semua nama dipapar diakui benar dan kami dapat daripada sumber sah,” kata Amir kepada Berita Harian.

Di samping itu, Joe menjelaskan bahawa konsep persembahan turut merangkumi isu kesihatan mental sebagai kata-kata semangat bagi mereka yang mengalami masalah kemurungan.

Persembahan diakhiri dengan konsep ‘Imaginur’ yang memaparkan satu pokok merimbun serta penampilan kejutan oleh Beto dan Diana.

Beto dan Diana memakai pin reben bendera Palestin. (Sumber: @adiburhan/ X)

Siti Nurhaliza Puji Persembahan ‘Hasrat’

Persembahan ‘Hasrat’ yang menampilkan konsep solidariti bersama penduduk Palestin mendapat pujian para netizen.

Malah, penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza turut menyatakan bahawa lagu itu memberi rasa luar biasa menerusi Instastory miliknya.

“Lagu Amir sampai lain macam. Boleh buat kejutan ni,” tulis Siti yang diakhiri emoji menadah tangan.

Siti pada mulanya meramalkan Aisha Retno, Ernie Zakri, Aina Abdul atau kumpulan Masdo yang akan tampil sebagai juara.

Sumber: @ctdk/ Instagram

Lagu ‘Hasrat’ Untuk Arwah Ayah

Menurut Amir, lagu yang dinobatkan sebagai juara itu turut mengabadikan kisah kesedihannya sewaktu kehilangan ayahnya akibat kanser pada 20 Mei 2022.

Ketika persembahan, dia membayangkan wajah arwah ayahnya yang menyaksikannya.

Ketika hendak buat persembahan, saya sangat teruja. Namun, pada masa sama, saya sebak kerana terbayang arwah ayah duduk di hadapan saya. Perasaan itu terkait kerana kisah kesedihan saya akibat kehilangan ayah diabadikan dalam lirik lagu itu.

Pemuzik, Amir Jahari

Dia juga berkata proses pembikinan lagu ‘Hasrat’ disiapkan hanya dalam 10 minit kerana ia dicipta berdasarkan pengalaman peribadinya.

Dicipta sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 lalu, lagu itu hanya dirakam di rumah sahaja.


Perjalanan Kerjaya Muzik Amir Jahari

Amir sebelum ini merupakan peserta Akademi Fantasia musim kesembilan pada tahun 2011. Ketika itu, dia bersama Ayda Jebat digugurkan dari rancangan tersebut atas alasan tidak menunjukkan sebarang peningkatan.

Perkara ini tidak menjadi halangan buat anak kelahiran Sarawak itu untuk meneruskan kerjayanya dalam dunia muzik sehingga menjadi finalis pada AJL ke-27 dengan lagu ‘Tanpamu’.

Menerusi hantaran di akaun Instagramnya (@amirjaharimuzik), Amir berkata dia telah bergiat di dalam industri muzik selama 14 tahun, dengan lagu pertama ditulis olehnya ketika berusia 16 tahun.

Amir sebenarnya baru sahaja berkecimpung kembali dalam bidang muzik pada tahun 2022 setelah membuat keputusan bersara dari dunia muzik empat tahun lalu.

Juara AJL itu telah menghasilkan dua album iaitu ‘Penghibur Jalanan’ dan ‘Siang Dan Malam’. Dia yang ditemui setelah diumumkan sebagai Juara berkata akan mengeluarkan album ketiga tahun ini.

Busana Amir Jahari kelihatan seperti bendera Palestin. (Sumber: @lrszf/ X)

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd