Now Reading
Bila Sebenarnya Kena Bayar Fidyah Kalau Tak Sempat Ganti Puasa?

Bila Sebenarnya Kena Bayar Fidyah Kalau Tak Sempat Ganti Puasa?

Bayaran fidyah diwajibkan ke atas individu yang tidak sempat menggantikan puasanya sebelum masuk ke Ramadan yang seterusnya.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Ramadan tahun ini akan tiba dalam masa kurang seminggu sahaja lagi.

Dalam persediaan menjalani bulan suci Ramadan, pasti ada individu terutamanya para wanita kini sedang mengganti puasa Ramadan lepas yang ditinggalkan.

Orang ramai pasti tahu bahawa puasa yang ditinggalkan pada Ramadan lepas dan tidak sempat diganti sebelum tiba Ramadan tahun berikutnya wajib dikenakan bayaran fidyah.

Namun, timbul persoalan bilakah bayaran fidyah ini perlu dilangsaikan. Adakah ia harus dibayar serta-merta atau setelah menggantikan semua puasa yang tertangguh?

Fidyah perlu dibayar mengikut kadar makanan ruji tempatan, iaitu beras di negara kita. (Sumber: Unsplash)

Fidyah Boleh Dibayar Mula Ramadan

Secara umumnya, kewajipan membayar fidyah timbul sebaik sahaja puasa Ramadan lepas tidak sempat digantikan. Ini bermakna fidyah boleh mula dibayar pada bulan Ramadan tahun berikutnya dan digalakkan supaya dilangsaikan dengan cepat supaya tidak berhutang dengan Allah SWT.

Di samping itu, umat Islam juga lebih baik berpuasa berbanding membayar fidyah. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam ayat 184 surah al-Baqarah:

أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ ۚ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ ۚ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ ۖ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Yang bermaksud: “Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah, kalau kamu mengetahui.”

Menurut Ustaz Azhar Idrus, dalam keadaan seseorang perlu membayar fidyah dan ganti puasa, ia harus dilakukan secara serentak. Namun begitu, fidyah juga boleh dibayar lebih awal.


Pembayaran Fidyah Jika Tak Mampu Berpuasa

Tambahan pula, Ustaz Azhar menerangkan bahawa pembayaran fidyah boleh dilakukan dari sehari ke sehari dalam bulan Ramadan bagi individu yang tidak mampu lagi berpuasa kerana uzur.

Dalam masa yang sama, fidyah juga boleh dikumpulkan dan dibayar sekaligus di hujung Ramadan sebelum menginjak ke bulan Syawal.


Fidyah Tak Berganda Jika Telah Ganti Puasa

Pasti anda tahu bahawa rata-rata negeri di Malaysia, kecuali Perlis dan Selangor, mempraktikkan fidyah berganda. Sebagai contoh, puasa pada tahun 2021 yang gagal diganti sebelum masuk bulan Ramadan 2023 (dua tahun kemudian) akan dikenakan fidyah sebanyak dua kali ganda.

Walau bagaimanapun, jika puasa tersebut telah diganti pada tahun 2023 tetapi fidyah terlupa dibayar, ia tidak akan berganda lagi setelah masuk tahun 2024 dan seterusnya.

Ustaz Muhaizad Mohamed berkata fidyah yang terlupa dibayar pada bulan Ramadan boleh dibayar kemudian apabila teringat.


Tak Mampu Bayar Fidyah?

Untuk makluman, fidyah bukan sahaja wajib dibayar jika puasa tidak sempat diganti, tetapi juga wajib bagi orang tua yang uzur dan orang yang sakit sehingga tidak mampu lagi berpuasa.

Namun begitu, bagaimana pula jika individu seperti di atas tidak mampu membuat bayaran fidyah?

Merujuk kepada Sinar Harian, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah berkata hukum membayar fidyah tidak lagi diwajibkan ke atas individu berkenaan.

Katanya, ini kerana dia tergolong dalam kalangan orang susah (mu’sir) yang mempunyai harta cukup-cukup untuk dirinya sahaja. Dalam pada itu, sunat jika ada pihak lain yang dapat membayar fidyah bagi pihaknya setelah mendapatkan keizinannya.

Berdasarkan pandangan Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, kewajipan membayar fidyah yang telah gugur bermaksud individu tersebut tidak perlu lagi membayarnya apabila dia telah berkemampuan. 

Kadar fidyah dibayar mengikut jenis beras yang digunakan seseorang. (Sumber: Pexels)

Hutang Fidyah Perlu Dibayar Setelah Mampu

Bagi individu yang wajib ganti puasa dan bayar fidyah, dia hanya perlu melakukan salah satu daripadanya jika tidak berkemampuan. Ustaz Azhar berkata jika seseorang tidak berkemampuan, fidyah tidak perlu dibayar tetapi masih wajib qada puasa.

Tambahnya lagi, dalam keadaan ini individu tersebut perlu membayar semula fidyah jika telah berkemampuan.

Sebagai info tambahan, terdapat juga keadaan di mana seseorang tidak perlu membayar fidyah jika tidak sempat menggantikan puasanya.

Terdapat empat keadaan sebegini iaitu:

  1. Wanita yang menyusukan anak dan bimbang keselamatan dirinya jika berpuasa
  2. Wanita yang hamil dan bimbang keselamatan dirinya jika berpuasa
  3. Individu berbuka puasa kerana musafir
  4. Individu tidak boleh berpuasa kerana sakit tetapi kemudian sembuh semula
Pelbagai situasi tinggal puasa yang timbul. Sumber: JAKIM

Baca Artikel Berkaitan: Dah Ganti Puasa? Kalau Belum Kena Bayar Fidyah. Apa Itu Fidyah & Cara Kiraannya?

Baca Artikel Berkaitan: 5 Cara Persiapkan Diri Sebelum Bulan Ramadan Menjelang Tiba


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd