Now Reading
Pelajar Tajaan JPA Di Luar Negara Boleh Tangguh Pulang Ke Malaysia Untuk Kerja Di Luar Negara

Pelajar Tajaan JPA Di Luar Negara Boleh Tangguh Pulang Ke Malaysia Untuk Kerja Di Luar Negara

Permohonan bagi kebenaran bekerja di luar negara harus dikemukakan ketika di tahun akhir Ijazah Pertama dan tidak diberikan secara automatik.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kerajaan menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menaja puluhan ribu pelajar untuk menyambung pelajaran ke peringkat pendidikan tinggi sama ada di dalam atau luar negara.

Bagi pelajar yang menerima tajaan ini, mereka harus berkhidmat dalam negara mengikut tempoh yang ditetapkan di dalam perjanjian atau perlu membuat pembayaran balik mengikut jumlah tajaan yang diterima.

Namun terbaharu semalam (7 Februari 2024), kerajaan bersetuju agar pelajar tajaan JPA di luar negara boleh membuat permohonan menangguhkan kepulangan ke Malaysia bagi tujuan bekerja di luar negara.

Menurutnya, keputusan tersebut dilakukan bagi memberi peluang kepada pelajar tajaannya mendapatkan pengalaman dan kemahiran pekerjaan di luar negara sebelum pulang ke Malaysia.


Perlu Buat Pembayaran Balik Pinjaman Sepanjang Penangguhan

JPA menerusi satu kenyataan media berkata penangguhan tersebut boleh dipertimbangkan kepada pelajar yang layak tertakluk kepada lima ketetapan yang harus diikuti iaitu:

  • Kebenaran bekerja haruslah berdasarkan permohonan yang dikemukakan oleh pelajar tahun akhir di peringkat Ijazah Pertama. Kebenaran bekerja ini tidak diberikan secara automatik.
  • Selain itu, terdapat had tempoh penangguhan yang ditetapkan bagi tujuan bekerja di luar negara iaitu tidak lebih daripada tiga tahun.
  • Bagi pelajar tajaan pinjaman, mereka perlu membuat pembayaran balik nilai pinjaman secara ansuran bulanan dalam tempoh penangguhan.
  • Dalam masa yang sama, tempoh pelajar tajaan bekerja di luar negara turut dikira sebagai Tempoh Ikatan Berkhidmat yang ditetapkan dalam perjanjian.
  • Di samping itu, pelarasan bayaran balik nilai pinjaman berdasarkan sektor pekerjaan dalam negara hanya boleh dilakukan sekali sahaja setelah pelajar tajaan pinjaman pulang ke Malaysia dan tertakluk kepada syarat ditetapkan.

Permohonan penangguhan kepulangan ke negara dibuka mulai 15 Februari ini dan boleh dibuat melalui laman sesawang https://myself.jpa.gov.my.


Tiada Lagi Biasiswa, Hanya Pinjaman Boleh Ubah

Sejak 2016, penajaan yang ditawarkan oleh JPA adalah berbentuk Pinjaman Boleh Ubah (PBU) berdasarkan tempat perkhidmatan pelajar tajaan.

PBU ditawarkan kepada pelajar-pelajar tajaan JPA bagi semua program penajaannya. Namun begitu, Program Dermasiswa B40 dikecualikan dan diberikan dalam bentuk biasiswa kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah untuk meneruskan pengajian tinggi.

Menerusi PBU, terdapat empat keadaan untuk pembayaran balik pinjaman berdasarkan kepada tempat perkhidmatan.

  • Perkhidmatan Awam: Pinjaman diubah kepada biasiswa penuh dan dikecualikan daripada bayaran balik sekiranya berkhidmat setelah tamat pengajian.
  • Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC): Bayaran balik sebanyak 25% daripada jumlah pinjaman sekiranya berkhidmat setelah tamat pengajian.
  • Syarikat Swasta dalam negara: Bayaran balik sebanyak 50% daripada jumlah pinjaman sekiranya berkhidmat setelah tamat pengajian.
  • Selain daripada keadaan di atas, pelajar dikehendaki membuat pembayaran penuh nilai pinjaman.

Sebagai rekod, selain JPA ada beberapa lagi agensi yang masih menawarkan biasiswa antaranya MyBrainSc di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk pelajar yang mengikuti bidang pengajian Fizik, Biologi, Kimia dan Matematik.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd