Now Reading
Kos Sara Hidup Naik, CUEPACS Minta Naikkan Gaji Penjawat Awam RM300

Kos Sara Hidup Naik, CUEPACS Minta Naikkan Gaji Penjawat Awam RM300

Kesatuan itu mencadangkan peningkatan gaji penjawat awam sebanyak RM300 sementara menunggu Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dilaksanakan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Tahun demi tahun, kos sara hidup dirasakan meningkat dengan kebanyakan barangan dan servis telah dinaikkan harga. Namun begitu, peningkatan gaji tidak berlaku sejajar dengan kenaikan kos sara hidup.

Laporan Panduan Gaji 2023 oleh platform pekerjaan dalam talian, JobStreet, mendapati lebih 97% penyenaraian pekerjaan menawarkan tahap gaji yang sama seperti tahun 2022.

Terbaharu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat berkata gaji penjawat awam dilihat tidak dapat menanggung peningkatan kos sara hidup.


“Tak Perlu Tunggu SSPA Dilaksanakan Untuk Naikkan Gaji” – CUEPACS

Sehubungan dengan itu, CUEPACS merasakan wajar bagi gaji penjawat awam ditingkatkan tanpa menunggu pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), lapor Astro Awani.

Walaupun kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyatakan sistem ini mungkin siap penghujung tahun ini namun bagi CUEPACS, sama ada siap atau tidak, ia adalah perkara yang baik. Tetapi kami mahu kenaikan gaji penjawat awam dinaikkan lebih awal.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat.

Adnan berkata, saranan itu dilakukan kerana ramai penjawat awam tidak lagi berkemampuan dalam menghadapi kos sara hidup yang tinggi dengan kedudukan gaji semasa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan di pembentangan Belanjawan 2024, bahawa SSPA akan dilaksanakan sepenuhnya bermula 2025.


CUEPACS Cadang Gaji Penjawat Awam Naik RM300

CUEPACS mencadangkan supaya gaji penjawat awam ditingkatkan sebanyak RM300 sebelum SSPA siap, dan diselaraskan semula setelah ia dilaksanakan.

Menurut satu laporan oleh media Kosmo, terdapat kira-kira 1.6 juta penjawat awam di Malaysia setakat Ogos 2023. Oleh itu, jika kesemua penjawat awam menerima peningkatan gaji sebanyak RM300, kerajaan perlu menanggung perbelanjaan tambahan sekitar RM480 juta sebulan.

Kesatuan itu akan meneruskan tuntutannya walaupun kerajaan tidak mampu melaksanakan peningkatan gaji tersebut.

Ia memberi cadangan lain selain peningkatan gaji, iaitu tuntutan dalam bentuk elaun khas sistem saraan yang akan ditutup setelah SSPA dilaksanakan dan pelarasan gaji dilakukan.


Laporan Interim 1 Kajian SSPA Diserahkan Kepada PM

Di samping itu, Adnan memaklumkan bahawa kerajaan memandang serius semua semua tuntutan yang dikemukakan oleh pihaknya. Namun, kelewatan pelaksanaan sistem saraan ini membuatkan kesatuan itu meminta supaya gaji ditingkatkan lebih awal.

Perdana Menteri menyebut agar penjawat awam mendapat pulangan yang baik dan diberi gaji yang lebih adil dengan pekerjaan mereka.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat.

Untuk makluman, Perdana Menteri telah menerima Laporan Interim 1 Kajian SSPA dari Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KKPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, pada 19 Januari lalu.

Penyerahan dilakukan ketika mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) Bilangan 1/2024 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd