Now Reading
“Jabatan Peguam Negara Tidak Perlu Jelaskan Pengguguran Kes” – AG Ahmad Terrirudin

“Jabatan Peguam Negara Tidak Perlu Jelaskan Pengguguran Kes” – AG Ahmad Terrirudin

Kenyataan Peguam Negara itu bagaimanapun dibidas oleh Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Zaid Malek yang menyifatkan ia bertentangan dengan kedaulatan undang-undang.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Di bawah Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara (AGC) mempunyai budi bicara yang sah di sisi undang-undang untuk memulakan dan menghentikan sesuatu tuduhan jenayah.

Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkata pelepasan kes mahkamah tidak memerlukannya sebagai Pendakwa Raya untuk memberikan sebarang penjelasan kepada mana-mana pihak.

“Tindakan memula dan menghentikan pertuduhan jenayah adalah di bawah budi bicara Pendakwa Raya selepas meneliti semua bukti yang sudah dikemukakan pihak penyiasat dan mengambil kira keperluan undang-undang dan prosedur Kanun Jenayah,” katanya dipetik Berita Harian ketika berucap di Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2024, semalam (15 Januari).

Beliau menerangkan bahawa pemegang taruh harus memahami dan menghormati kuasa prerogatif Pendakwa Raya dan perlu bertindak adil terhadap semua pihak tanpa bersikap pilih kasih.

Tambahnya lagi, perkara ini terpakai juga bagi kes yang kelihatan remeh kerana pihaknya masih perlu bertindak balas terhadap semua keadaan secara profesional.

“Saya mengakui dan menghargai tanggungjawab Badan Peguam dalam persaudaraan undang-undang. Saya tiada sebarang ragu-ragu untuk bekerja dengan cara yang progresif bersama Badan Peguam dalam pelbagai isu undang-undang untuk memperkukuhkan dan meningkatkan sistem undang-undang dan jurisprudens negara,” jelas Ahmad Terrirudin.


LFL Bidas Kenyataan AG

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Zaid Malek membidas kenyataan yang dibuat AG.

Dia meluahkan rasa kecewa kerana kenyataan sedemikian disampaikan semasa acara pembukaan Tahun Perundangan 2024.

Katanya, dakwaan Ahmad Terrirudin bahawa AG tidak perlu memaklumkan sebab keputusan mahkamah tersebut kepada orang awam, bermakna dia tidak bertanggungjawab terhadap orang awam.

“Ini adalah dakwaan baru dan tidak pernah dibuat sebelum ini. Ia juga bertentangan dengan kedaulatan undang-undang dan memang salah,” kata Zaid dalam satu kenyataan.

Malah, dia berkata bahawa sistem demokrasi Malaysia memerlukan penelitian awam dibuat terhadap penjawatan awam.


Mahkamah Persekutuan Sebelum Ini Tetapkan AG Tiada Budi Bicara Mutlak

Di samping itu, Zaid mengingatkan Mahkamah Persekutuan sebelum ini telah beberapa kali membuat keputusan dan kes yang menetapkan AG tiada budi bicara mutlak bagi memulakan mahupun menghentikan pendakwaan. Hal ini bermakna, AG perlu menerangkan sebab keputusan dibuat.

“Tiada pegawai awam, sama ada AG mahupun perdana menteri, yang boleh menggunakan kuasanya secara sewenang-wenangnya atau tanpa menyatakan sebabnya. Perbuatan itu adalah despotisme, bukannya demokrasi,” katanya lagi.

Pada 4 September 2023, Ahmad Zahid telah menerima keputusan DNAA daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas lapan tuduhan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Baca Artikel Berkaitan: Zahid Hamidi Dilepaskan, Bersih Minta Pendakwa Raya Semak Semula Bukti DNAA

Baca Artikel Berkaitan: Zahid Hamidi Dilepaskan Tanpa Dibebaskan, Penasihat Undang-undang UiTM Jelaskan Makna Sebenar DNAA


Badan Peguam Cabar Keputusan DNAA Zahid Hamidi

Terdahulu pada 2 Disember 2023, Badan Peguam telah mengemukakan kepada mahkamah permohonan untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan DNAA terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Namun begitu, Ahmad Zahid menyifatkan tindakan Badan Peguam sebagai “busy body” dan selektif kerana isu sama tidak dibangkitkan dalam kes-kes lepas membabitkan ahli politik lain.

Baca Artikel Berkaitan: Isu DNAA, Zahid Hamidi Gelar Badan Peguam ‘Busy Body’


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd