Now Reading
Zahid Hamidi Dilepaskan, Bersih Minta Pendakwa Raya Semak Semula Bukti DNAA

Zahid Hamidi Dilepaskan, Bersih Minta Pendakwa Raya Semak Semula Bukti DNAA

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memutuskan Pelepasan Tanpa Pembebasan (DNAA) bagi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 4 September lalu.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Semalam (4 September), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah diberikan Pelepasan Tanpa Pembebasan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur setelah diminta oleh pihak pendakwaan.

Beliau sebelum ini berdepan dengan tuduhan 47 kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi sebanyak RM31 juta.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah setelah mengizinkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) ingin menghentikan segala prosiding terhadap Timbalan Perdana Menteri itu.

Namun begitu, keputusan ini tidak diterima baik oleh rata-rata pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bekas pengamal perundangan, malah rakyat biasa.

Dalam satu hantaran di laman X (Twitter), Bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan, memohon penjelasan dilakukan kepada orang ramai. Dia berkata keputusan DNAA bagi Presiden UMNO itu merupakan satu bentuk pembaziran dana awam dan kerja kelas ahli AGC.

Dalam sebuah kenyataan media, Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mempersoalkan keputusan DNAA tersebut yang dirasakan tidak boleh diterima pakai kerana pihak pendakwaan telah mewujudkan prima facie sebelum ini.

Sehubungan itu, pihak Pendakwa Raya harus menyemak semula bukti DNAA dan membuat pertuduhan semula ke atas 47 tuduhan tersebut jika perlu. Katanya, tanpa pertuduhan semula, Zahid Hamidi akan mempunyai peluang untuk memohon perlepasan penuh.

Dalam pada itu, Bersih turut memberi gambaran kes sama melibatkan bekas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan Unit Perisikan Luar di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Allahyarham Datuk Hasanah Abdul Hamid yang mana Mahkamah Tinggi membenarkan pembebasan dan perlepasan penuh terhadap pertuduhan pecah amanah RM50 juta, setahun selepas DNAA beliau.


Wawasan Anti Rasuah & Reformis Kerajaan Madani Diragui

Keputusan DNAA Zahid Hamidi menimbulkan keraguan terhadap Kerajaan Madani yang mempunyai iltizam untuk memerangi rasuah dan melakukan reformasi terhadap institusi kerajaan.

Memandangkan iltizam anti rasuah dan reformis Kerajaan Madani kini diragui berikutan keputusan ini, Bersih menggesa Perdana Menteri (Datuk Seri) Anwar Ibrahim untuk mengumumkan dalam masa seminggu pelan hala tuju dan garis masa yang jelas untuk pemisahan Pendakwaan Awam (PP) daripada AGC.

Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Peguam Negara sekarang merupakan seorang lantikan politik yang turut bertanggungjawab dalam menasihati kerajaan. Beliau juga berperanan sebagai Pendakwa Raya yang berkuasa dalam memulakan atau menggugurkan tuduhan.

Kata Bersih, kuasa yang diberi melalui lantikan politik boleh disalahgunakan. Pihaknya dan kumpulan masyarakat sivil telah sekian lama meminta agar kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara dipisahkan.


Adakah Pertuduhan Ke Atas Najib Razak Akan Digugurkan?

NGO itu turut mempersoalkan jika keputusan DNAA itu menjadi permulaan kepada pengguguran baki pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada masa hadapan.

Bersih menegaskan bahawa penangguhan dalam reformasi institusi kehakiman untuk memisahkan kuasa antara Pendakwa Raya dan Peguam Negara akan memburukkan kredibiliti Kerajaan Madani.

Menurutnya, selagi mana reformasi tersebut tidak berlaku, AGC tidak seharusnya menarik balik pertuduhan dalam mana-mana kes politik berprofil tinggi. Bagi kes-kes yang lemah, Bersih memohon supaya hanya hakim yang membuat keputusan berkenaannya dan bukan Pendakwa Raya yang terletak di bawah Perdana Menteri.

Rakyat Malaysia sudah muak melihat korelasi ini (iaitu) mereka yang kekal berkuasa selama-lamanya kekal tidak bersalah, manakala mereka yang kehilangan kuasa juga hilang rasa tidak bersalah.

Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Sumber: Harian Metro | Sinar Harian | Sinar Harian


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd