Now Reading
Himpunan #Reformasi100%, BERSIH Ingin Tuntut Janji Kerajaan

Himpunan #Reformasi100%, BERSIH Ingin Tuntut Janji Kerajaan

Perhimpunan tersebut akan diadakan jam 8 pagi esok (27 Februari) di Plaza Tugu Negara.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Bagi mereka yang mengikuti isu politik Malaysia sejak dua dekad lalu, anda pasti tahu tentang demonstrasi jalanan yang diadakan oleh pertubuhan bukan kerajaan BERSIH atau The Coalition for Clean and Fair Election.

Terkini, pertubuhan itu akan menjalankan satu perhimpunan pada jam 8 pagi esok (27 Februari) di Plaza Tugu Negara.

Objektif perhimpunan tersebut adalah demi menuntut 100% janji reformasi dari kerajaan.

“Pakai baju hitam atau kuning. Jumpa anda di sana,” umum BERSIH menerusi akaunnya di laman X.

Menurut BERSIH, demonstrasi tersebut akan dijalankan pada Selasa pagi memandangkan ia merupakan hari pertama perbahasan dan lebih mudah bagi mereka mendapatkan perhatian Ahli Parlimen sebelum menghadiri sidang Parlimen.

Sebaliknya, jika ia dijalankan pada hari Sabtu atau Ahad, Ahli Parlimen sedang berada di kawasan pilihan raya masing-masing.

Pengerusinya, Faisal Abdul Aziz, berkata Malaysia sedang melalui fasa ‘peralihan demokrasi’ yang mustahak dan kerjasama semua pihak penting bagi melaksanakan perubahan yang sepatutnya.

“BERSIH tidak akan teragak-agak untuk menggerakkan orang ramai kembali ke jalanan, satu ‘bahasa’ yang boleh difahami oleh mereka yang berkuasa yang telah menafikan aspirasi rakyat dengan pelbagai alasan untuk tidak menyokong reformasi,” katanya kepada FMT.


BERSIH Ditubuhkan Hampir 19 Tahun Lepas

BERSIH yang telah ditubuhkan pada tahun 2005 pada mulanya dikenali sebagai Joint Action Committee for Electoral Reform.

Antara matlamat pertubuhan tersebut adalah bagi menuntut pilihan raya yang adil dan bersih serta mengubah sistem pilihan raya di Malaysia.

Pada tahun 2006, BERSIH telah pertama kalinya mengeluarkan satu kenyataan bersatu yang menggabungkan beberapa parti politik dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO).

Perhimpunan awam yang diadakan pada 10 November 2007 merupakan satu titik perubahan dalam sejarah pilihan raya Malaysia.

Selain daripada meneliti dan meningkatkan institusi demokrasi untuk kestabilan politik, pertubuhan itu masih memperjuangkan pilihan raya yang bebas, adil dan telus, tanpa mengambil kira hubungan politik.


Orang Ramai Dinasihati Tidak Hadiri Perhimpunan

Terdahulu, polis Kuala Lumpur telah menasihati orang ramai agar tidak menghadiri perhimpunan terbabit.

Menurut ketua polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, pihak BERSIH tidak mengemukakan notis 10-hari seperti yang termaktub di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, yang menjadikan perhimpunan tersebut sebagai satu kesalahan.

Perhimpunan tanpa pemberitahuan merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 9 (5) akta berkenaan dan polis menyeru orang ramai untuk tidak menyertai perhimpunan itu yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ketua polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid

Tambahnya, tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang menyertai perhimpunan terbabit.

Sehubungan dengan itu, BERSIH menerusi laman X mengeluarkan satu kenyataan bahawa mengadakan perhimpunan aman adalah sah di sisi undang-undang menurut Perlembagaan Persekutuan.

https://twitter.com/bersihofficial/status/1761770444317942172

Anwar Ibrahim Sertai Perhimpunan BERSIH

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri merupakan seseorang yang tidak asing dengan dunia protes, termasuk yang pernah dianjurkan BERSIH.

Pada tahun 2012, Anwar telah didakwa di mahkamah kerana menyertai perhimpunan BERSIH 3.0, tetapi telah diberikan pelepasan tidak berjumlah pembebasan (DNAA).

Sewaktu dalam hukuman penjara, Anwar menerusi Parti Keadilan Rakayat (PKR) telah meminta rakyat negara supaya menyertai perhimpunan BERSIH pada tahun 2016.

Namun begitu, dalam satu perbincangan bersama pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) tahun lepas, Anwar telah memaklumkan kepada pelajar bahawa tidak perlu untuk menjalankan demonstrasi jalanan.

Beliau berkata perhimpunan sedemikian dijalankan pada tahun 70an dan 80an kerana pelajar tidak mempunyai sebarang kaedah untuk menyatakan kekecewaan mereka, lapor Focus Malaysia.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd