Now Reading
Zahid Hamidi Dilepaskan Tanpa Dibebaskan, Penasihat Undang-undang UiTM Jelaskan Makna Sebenar DNAA

Zahid Hamidi Dilepaskan Tanpa Dibebaskan, Penasihat Undang-undang UiTM Jelaskan Makna Sebenar DNAA

Penasihat Undang-Undang Universiti Teknologi Mara, Profesor Dr Haidar Dziyauddin, berkata banyak pihak salah faham tentang DNAA dan mengaitkannya dengan DNA.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Semalam (4 September) negara dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi sebanyak RM31 juta.

Sehubungan dengan itu, banyak pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu sehingga ada yang mengaitkannya dengan kegagalan Kerajaan Madani untuk melakukan reformasi ke atas sistem perundangan.

Baca Artikel Berkaitan: Zahid Hamidi Dilepaskan, Bersih Minta Pendakwa Raya Semak Semula Bukti DNAA

Peka dengan isu tersebut, Profesor Dr Haidar Dziyauddin, Penasihat Undang-Undang Universiti Teknologi Mara, menjelaskan tentang terma DNAA lebih lanjut melalui penulisannya.

Menurutnya, istilah DNAA atau ‘discharge not ammounting to acquittal’ sering disalah tafsir terutamanya oleh mereka yang tidak mempunyai latar belakang perundangan.

Beliau berkata apabila masyarakat tidak memahami makna sebenar DNAA dan tujuan ia diwujudkan, keputusan tersebut boleh mencetuskan spekulasi dan menimbulkan persepsi negatif terhadap badan kehakiman negara.

Perkara ini sering timbul apabila pihak media membuat liputan mengenai pendakwaan kes di mahkamah sebelum melaporkan keputusan DNAA oleh Hakim.

Penasihat Undang-Undang Universiti Teknologi Mara, Profesor Dr Haidar Dziyauddin.

Sebenarnya, ini bukanlah pertama kali keputusan DNAA membabitkan individu berprofil tinggi dalam negara.

Pada tahun 2020, Riza Aziz, anak tiri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut diberikan pelepasan tanpa dibebaskan. Beliau ketika itu berdepan pertuduhan mengubah wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion) yang dikaitkan dengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).


DNAA Bukan DNA, Ia Beri Ruang Tuduhan Semula Dengan Bukti Lebih Kukuh

Profesor Haidar berkata pihak yang gagal memahami makna sebenar DNAA akan menyalah tafsir keputusan itu sebagai DNA, yakni dilepaskan dan dibebaskan.

Melalui keputusan DNAA, orang kena tuduh (OKT) akan terlepas daripada pertuduhan yang dikenakan ke atasnya ketika itu. Namun begitu, OKT boleh dihadapkan semula ke mahkamah pada bila-bila masa sahaja atas pertuduhan yang sama.

Menurut Profesor Haidar, keputusan DNAA boleh disebabkan oleh pelbagai situasi seperti isu teknikal. Pada masa yang sama, DNAA sebenarnya membawa manfaat kepada kedua-dua belah pihak pendakwaan dan defendan.

Melalui DNAA, Pendakwa Raya boleh mengenakan tuduhan semula dengan bukti yang lebih kukuh, seterusnya menyukarkan pihak defendan untuk mencabar pendakwaan yang dikenakan ke atas OKT.


Najib Razak Pernah Diberi DNAA & Kemudian Disabitkan Bersalah

Profesor Haidar memberi contoh kes Najib Razak yang sebelum ini pernah diberikan DNAA oleh Mahkamah Tinggi atas tiga tuduhan tambahan pengubahan wang haram sejumlah RM47 juta.

Walau bagaimanapun, beliau didakwa semula atas pertuduhan sama keesokan harinya di Mahkamah Sesyen dan didapati bersalah.

Beliau juga ketika itu disabit bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan dana SRC.

Profesor Haidar menegaskan bahawa kegagalan orang ramai dalam memahami kerumitan penyiasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram menyebabkan mereka membuat kesimpulan yang salah terhadap keputusan DNAA.

Kes rasuah sudah tentu melibatkan sekurang-kurangnya dua individu, iaitu pemberi dan penerima. Jika lebih ramai individu yang terlibat dalam suatu kes dan membabitkan dana yang banyak, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memerlukan lebih masa untuk proses siasatan sebelum menahan pihak bersalah.

Tambahnya lagi, Malaysia tidak menetapkan had masa bagi DNAA untuk OKT didakwa semula atas pertuduhan sama. Perkara ini memberi masa kepada pihak yang berkenaan untuk melakukan siasatan dengan lebih terperinci.

Sumber: Sinar Harian


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd