Now Reading
Banjir Johor: 3 Sekolah Ditutup & 7 Sekolah Agama Tangguh Peperiksaan

Banjir Johor: 3 Sekolah Ditutup & 7 Sekolah Agama Tangguh Peperiksaan

Empat sekolah agama di Kota Tinggi menangguhkan peperiksaan penggal kedua kerana dijadikan pusat penempatan sementara.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Musim tengkujuh di negara telah mengakibatkan beberapa kawasan dilanda banjir. Sebelum ini, bencana alam itu tertumpu di kawasan Pantai Timur. Namun kini ia telah mula melanda Johor yang terletak di selatan tanah air.

Berdasarkan Portal Info Bencana Jabatan Kemajuan Masyarakat, seramai 7,803 mangsa daripada 2,184 keluarga dicatatkan di Johor setakat 11 pagi ini. Kesemua mangsa ditempatkan di 52 pusat pemindahan sementara (PPS).

Jumlah ini menunjukkan peningkatan berbanding 6,564 orang daripada 1,819 keluarga pada jam 7 pagi, dan 4,834 mangsa daripada 1,413 keluarga tengah malam tadi.

Enam daerah di negeri itu terjejas susulan kejadian banjir iaitu Kluang, Kota Tinggi, Segamat, Johor Bahru, Kulai dan Pontian.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani, memaklumkan bahawa Kota Tinggi merupakan daerah paling terjejas banjir, mencatatkan 2,964 mangsa setakat pagi tadi.

Baca Artikel Berkaitan: Banjir Johor: Kota Tinggi Catat Mangsa Paling Ramai


3 Sekolah Kebangsaan Di Johor Bahru Ditutup Akibat Banjir

Berikutan dengan keadaan banjir yang semakin meruncing, tiga sekolah di Johor Bahru telah diarahkan tutup, lapor Berita Harian.

Berdasarkan kenyataan ringkas oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor Norlizah Noh, tiga sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Maju Jaya, ⁠SK Bukit Mutiara dan SK Sungai Tiram.

Norlizah memaklumkan bahawa tiada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tersangkut akibat banjir setakat ini.

Menurutnya, seramai 48,276 pelajar di Johor dijangka menduduki peperiksaan SPM dengan ujian lisan bermula semalam diikuti ujian bertulis hingga 7 Mac.

Di samping itu, 8,831 pelajar akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada 22 Januari hingga 6 Februari.

Pada 2 Januari sebelum ini, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengumumkan bahawa kementeriannya mengizinkan mangsa banjir memakai baju biasa ke sekolah.


7 Sekolah Agama Di Kota Tinggi Tangguh Peperiksaan

Menurut laporan oleh Sinar Harian, peperiksaan penggal kedua bagi Tahun Empat dan Lima terpaksa ditangguhkan di tujuh sekolah agama ekoran keadaan banjir.

Sekolah yang terlibat adalah Sekolah Agama (SA) Taman Sri Saujana, SA Bandar, SA Ladang Nam Heng, Sekolah Rendah Agama Bersepadu Kota Tinggi, SA Rantau Panjang, SA Teluk Mahkota dan SA Taman Kota Jaya.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, penangguhan di SA Taman Sri Saujana dibuat kerana ramai guru tidak dapat ke sekolah akibat banjir.

“SA Bandar dan SA Ladang Nam Heng pula ditutup kerana terjejas banjir, manakala empat lagi sekolah dijadikan sebagai PPS mangsa banjir,” kata Mohd Fared.

Dia berkata sekolah yang terjejas akibat banjir atau dijadikan sebagai PPS boleh memberi cuti kepada pelajar dan menangguhkan peperiksaan.

Malah, dijangkakan akan ada lagi SA lain yang perlu ditutup kerana air banjir yang semakin meningkat.


Permaisuri Johor Berkenan Santuni Mangsa Banjir

Sementara itu, menerusi hantaran Facebook The Royal Johor, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Idris Shah berkenan menyantuni mangsa banjir di tiga PPS di Kota Tinggi.

Menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ), setiap keluarga telah menerima kit penjagaan kebersihan diri. Baginda turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada mangsa.

Selain itu, mangsa banjir diberikan bakul makanan daripada Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ), serta bantuan lain daripada Jawatankuasa Khidmat Masyarakat (JKM), Kesihatan Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Southern Volunteers (SV).


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd