Now Reading
Terleka Jalan-jalan Di Pantai, 3 Individu Cemas Kereta Hampir ‘Ditarik’ Masuk Laut

Terleka Jalan-jalan Di Pantai, 3 Individu Cemas Kereta Hampir ‘Ditarik’ Masuk Laut

Kereta jenis Mazda CX5 yang ditengglami air di Pantai Temalah, Kota Tinggi, Johor itu berjaya ditarik keluar dengan bantuan kenderaan 4×4.

Leka Jalan-jalan Di Pantai, 3 Individu Cemas Kereta Hampir 'Ditarik' Masuk Laut

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Bila nak ‘healing’, mesti ramai yang akan pergi ke pantai untuk menenangkan diri dengan menikmati pemandangan indah sambil mendengar deruan ombak. Ada pula angin sepoi-sepoi bahasa, memang lagi layan!

Ada juga yang suka pergi pantai sebab mahu mengutip siput lala bunga.

Bila sebut siput lala, teringat pula satu kisah yang pernah berlaku di mana sebuah kereta jenis Myvi terkandas di tengah laut berhampiran Pantai Sentosa, Sekinchan, Selangor kerana secara tiba-tiba air laut mula pasang secara mengejut.

Nasib baik pihak bomba sempat datang untuk memberikan bantuan.

BACA JUGA: [Video] Leka Kutip Lala Di Sekinchan, Pemilik Myvi Terkejut Kereta ‘Terdampar’ Tengah Laut


Satu Lagi Kejadian Kereta Hampir Hanyut Ke Dalam Laut

Kejadian hampir sama sekali lagi berlaku tetapi di lokasi yang berbeza iaitu di Pantai Temalah, Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor.

Sumber: Facebook Polis Balai Kuala Sedili

Menerusi hantaran dimuat naik di laman Facebook (Polis Balai Kuala Sedili), sebuah kenderaan jenis Mazda CX5 yang dinaiki oleh tiga orang individu telah ditenggelami air dan hampir dihanyutkan ke dalam laut.

Sebelum menyedari tentang kejadian itu, mereka bertiga sedang bersiar-siar sambil menyusuri kawasan Pantai Temalah.

Difahamkan, mereka terlalu asyik dan kurang berpengalaman tentang keadaan laut.

Susulan itu, Ketua Polis Balai Kuala Sedili Sarjan Mejar Saidon Hadzri Bin Hj Abu Hassan bersama dua orang anggotanya dan dua orang penduduk Tanjung Sedili tampil ke lokasi untuk memberikan bantuan.

Sumber: Facebook Polis Balai Kuala Sedili

Hasil usaha mereka membuahkan hasil apabila kereta jenis Mazda CX5 itu berjaya ditarik keluar menggunakan kenderaan 4×4 milik penduduk tempatan.

Tindakan dan usaha telah dijalankan bagi mengelakkan kenderaan tersebut dari terus ditenggelami air dan dihanyutkan ke dalam laut. Semua mangsa yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan dan dalam keadaan selamat.

Ketua Polis Kuala Sedili SM Saidon Hadzri Bin Hj Abu Hassan
Sumber: Facebook Polis Balai Kuala Sedili

Selepas selesai, mangsa yang terlibat hadir ke Balai Polis Kuala Sedili untuk membuat laporan polis berhubung kejadian.

Dalam pada itu, pihak polis turut menasihati orang ramai yang mengunjungi kawasan pantai untuk sentiasa berwaspada agar perkara yang sama tidak berulang lagi.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd