Now Reading
Rantau Panjang Banjir: 60 Rumah Di Kampung Tersang Hampir Tenggelam Sepenuhnya

Rantau Panjang Banjir: 60 Rumah Di Kampung Tersang Hampir Tenggelam Sepenuhnya

Hampir 90% kawasan Rantau Panjang terkesan dengan banjir sehingga menyebabkan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok pecah.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Banjir hujung tahun gelombang ketiga kini terjadi terutamanya di kawasan Pantai Timur akibat hujan berterusan sejak tiga hari lalu.

Terkini, Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mencatatkan bilangan mangsa banjir sebanyak 25,793 di 164 buah pusat penempatan sementara (PPS). Kawasan Pantai Timur, terutamanya Kelantan dan Terengganu mengalami bencana banjir dalam skala yang besar.

Baca Artikel Berkaitan: Mangsa Banjir Cecah 24,400 Di Pantai Timur, 240 PPS Dibuka Di 18 Daerah

Lebih merisaukan lagi apabila hampir 90% kawasan Rantau Panjang digenangi air sehingga pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup bekalan elektrik di 45 tempat di sana.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan, Zainal@Jainal Madasin, beberapa jalan utama untuk ke Rantau Panjang ditenggelami air tinggi. Jalan tersebut hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat sahaja buat masa ini.

Katanya lagi, catatan tertinggi paras air Sungai Golok menyebabkan beberapa penempatan yang sebelum ini tidak mengalami banjir turut terjejas.

Walaupun paras air menurun sedikit semalam (26 Disember 2023), penduduk masih perlu berhati-hati kerana bimbang dengan hujan yang berterusan dan paras Sungai Jenob yang berada pada tahap amaran.

“JBPM Kelantan bersiap siaga 24 jam membantu mangsa banjir bukan sahaja di jajahan Pasir Mas, malah beberapa daerah lain seperti Kuala Krai, Machang dan Gua Musang yang turut dilanda banjir,” kata Zainal ketika ditemu bual pihak Berita Harian.

Turut membantu situasi di sana adalah agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).


60 Rumah Di Kampung Tersang Tenggelam Hanya Nampak Bumbung

Sehubungan dengan banjir teruk yang berlaku di daerah tersebut, 60 buah rumah di Kampung Tersang telah ditenggelami air hampir sepenuhnya.

Menurut salah seorang penduduk, Suriani Daud, ketika gelombang kedua banjir dua minggu lalu, paras air masih belum mencecah dalam rumah. Penduduk di sana telah dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh sejak itu.

Namun ketika Suriani melawat rumahnya baru-baru ini, ia didapati telah ditenggelami air dan hanya kelihatan bumbungnya. Nasib yang sama turut berlaku kepada rumah-rumah lain di kampung itu.

“Bila saya dan suami pergi lihat rumah, hanya nampak bumbung dan tahap sedih itu hanya Allah saja yang tahu apabila melihat semua barang tidak dapat diselamatkan. Hancur luluh hati saya,” kata Suriani ketika ditemui pihak Berita Harian.

Seorang lagi penduduk Kampung Tersang, Mohd Irwan Faizal, memaklumkan bahawa rumahnya yang paling tinggi di sana turut hampir tenggelam sepenuhnya.

Katanya, kejadian banjir kali ini menjadi kali ketiga bencana sedemikian berlaku di kampung itu dan yang paling teruk pernah dilalui penduduk.


Benteng ‘Puaka’ Sungai Lubok Jong Pecah

Satu video yang dimuat naik di TikTok oleh seorang pengguna (@taqiyuddin92) semalam (26 Disember) menunjukkan Benteng ‘Puaka’ Sungai Lubok Jong di Rantau Panjang pecah akibat air berlebihan.

Pemangku Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Marinamarican Abdullah, mengesahkan benteng berkenaan yang juga merupakan sebahagian daripada Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok telah pecah dengan kelebaran 20 meter.

JBPM Kelantan memaklumkan bahawa susulan benteng pecah itu, air yang melimpah akan menuju ke arah Tumpat. Pihak mereka telah bersedia jika berlaku kenaikan air secara mendadak di daeah Tumpat.

“Susulan benteng projek PLSB Sungai Golok pecah, banjir di sekitar Rantau Panjang sedikit berkurangan berikutan air mula turun di Meranti dan Tumpat,” kata Zainal.

Penduduk di kawasan berkenaan diingatkan supaya berpindah ke PPS sekiranya banjir semakin tinggi.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd