Now Reading
Mangsa Banjir Cecah 24,400 Di Pantai Timur, 240 PPS Dibuka Di 18 Daerah

Mangsa Banjir Cecah 24,400 Di Pantai Timur, 240 PPS Dibuka Di 18 Daerah

Berdasarkan maklumat di Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), banjir melanda lapan daerah di Kelantan, tujuh di Terengganu, serta dua di Pahang.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Saban tahun, negara pasti mengalami bencana banjir pada bulan Disember, terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur. Kelantan, Terengganu dan Pahang mengalami banjir yang semakin memburuk dengan lebih banyak pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa.

Berdasarkan laman web rasmi Publicinfo Banjir, setakat artikel ini ditulis, lima sungai utama di Pahang, tiga di Kelantan dan 12 di Terengganu telah mencapai tahap bahaya.

Merujuk kepada Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 24,484 orang mangsa banjir ditempatkan di 240 pusat pemindahan sementara (PSS) di tiga negeri tersebut.

Jumlah mangsa banjir di Kelantan menunjukkan peningkatan yang mendadak, bermula dengan 1,991 pada pagi semalam (25 Disember), kepada 9,721 pada malamnya dan terus meningkat kepada 13,791 setakat 11 pagi ini (26 Disember).

Kesemua mangsa yang melibatkan 4,213 keluarga ditempatkan di 89 PPS di lapan daerah iaitu Pasir Mas, Kuala Krai, Machang, Tanah Merah, Gua Musang, Jeli, Pasir Puteh dan Kota Bharu.

Di Terengganu, jumlah mangsa terkini adalah 9,995 daripada 2,698 keluarga, meningkat daripada 4,294 orang malam semalam. Mereka diberi perlindungan di 132 PPS seluruh negeri, merangkumi daerah Dungun, Besut, Hulu Terengganu, Kemaman, Setiu, Marang dan Kuala Nerus.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu pagi ini, Hulu Terengganu merupakan daerah paling terjejas, dengan jumlah mangsa tertinggi.

Walaupun tidak seteruk situasi di Kelantan dan Terengganu, jumlah mangsa banjir turut meningkat di Pahang. Kini, seramai 698 orang mangsa daripada 170 keluarga ditempatkan di 14 PRS di daerah Raub dan Lipis.

Sebagai makluman, daerah Kuala Langat di Selangor turut mengalami sedikit banjir dengan satu PPS dibuka bagi menempatkan empat mangsa sekeluarga.


Paras Sungai Golok Tertinggi Sejak 2014

Akibat hujan berterusan sejak tiga hari lalu, paras air Sungai Golok menunjukkan peningkatan melebihi paras tertinggi direkodkan ketika bencana Bah Kuning pada tahun 2014.

Memetik sumber, paras 11.03 meter Sungai Golok merupakan tahap tertinggi dalam tempoh sembilan tahun, mengatasi rekod 10.84 meter sebelum ini.

“Tahun ini, paras air sungai itu lebih tinggi berkemungkinan disebabkan hujan yang berterusan sekaligus menyebabkan perkampungan berhampiran dilanda banjir,” jelas Jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan.

Penggerak badan bukan kerajaan (NGO) di Pasir Mas, Raja Shamri Raja Husin, membaut kenyataan melalui akaun Facebook bahawa kebanyakan kawasan di Rantau Panjang lumpuh akibat peningkatan paras Sungai Golok.


Tips Hadapi Banjir

Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah berkongsi tips persediaan mengalami banjir sebelum ini. Tips yang dikongsikan adalah bagi menjamin keselamatan mangsa. Sebelum banjir melanda, penduduk diingatkan supaya melakukan perkara berikut:

  • Simpan dokumen penting dan barang berharga dalam bekas kalis air.
  • Simpan air bersih sebagai minuman dan mandian.
  • Ambil maklum tentang lokasi PPS terdekat.
  • Menyediakan peralatan kecemasan.
  • Mengecas power bank bagi tujuan kecemasan.
  • Menunggu arahan pihak berkuasa dan bersiap sedia untuk perpindahan.

Dalam masa yang sama, penting juga untuk mengelakkan diri dan keluarga daripada sebarang bahaya yang timbul ketika situasi banjir.

  • Tidak kembali ke rumah tanpa kebenaran pihak berkuasa.
  • Mengikuti perkembangan semasa banjir.
  • Elakkan menyentuh peralatan elektronik.
  • Awasi kanak-kanak dan elakkan bermain dengan air banjir.
  • Pindah segera jika ada risiko banjir kilat.
  • Minum air dimasak atau air botol.

Apabila banjir telah surut, mangsa diingatkan supaya melakukan perkara berikut:

  • Jangan hampiri talian elektrik yang jatuh.
  • Elakkan makanan yang terdedah.
  • Tidak bermain dengan air banjir.
  • Periksa tangki septik bagi sebarang kerosakan.
  • Buang makanan dalam tin yang telah terendam dalam air.
  • Masuk rumah memakai kasut dan secara berhati-hati.

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd