Now Reading
[Video] Influencer Israel Dakwa Rakyat Malaysia & Indonesia Telah Ditipu Media Tempatan

[Video] Influencer Israel Dakwa Rakyat Malaysia & Indonesia Telah Ditipu Media Tempatan

Influencer yang dikenali sebagai Hananya Naftali itu mendakwa tentera Israel tidak berperang dengan umat Islam, namun hanya menentang kefahaman radikal.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Seorang influencer warga Israel mendakwa rakyat Malaysia dan Indonesia selama ini telah ditipu oleh media tempatan kedua-dua negara berhubung konflik Palestin-Israel.

Lelaki yang dikenali sebagai Hananya Naftali itu menerusi video yang dimuat naik di akaun X (Twitter) miliknya menyatakan bahawa tentera Israel tidak memulakan perang pada 7 Oktober lalu namun pasti akan menamatkan perang tersebut.

“Saya warga Israel dan saya mempunyai pesanan untuk anda di Indonesia dan Malaysia. Media anda sedang menipu anda, menunjukan gambar-gambar memilukan rakyat Palestin yang menderita dan pengabaian di pihak Israel.

“Pada 6 Oktober, kami (Israel) tidak mempunyai gambar yang memilukan ini. Pada 6 Oktober, Israel tidak menyerang Gaza. Kami dalam gencatan senjata sebelum 7 Oktober. Israel tidak memulakan perang ini, tetapi Israel pasti akan mengakhiri perang ini,” katanya.

Dia juga kelihatan seperti ingin menarik sokongan daripada dua negara serumpun itu apabila bercakap dengan menggunakan bahasa Indonesia.

Namun tidak diketahui sama ada dia sememangnya fasih berbahasa Melayu atau hanya menggunakan suara dari Artificial Intelligence (AI).

Dakwa Hamas serang Israel, bunuh penduduk termasuk golongan wanita

Dakwanya lagi, Hamas selaku pejuang Palestin telah menyerang Israel terlebih dahulu dengan menyerbu festival muzik, rumah-rumah dan membunuh penduduk awam termasuk golongan wanita di sana.

Itu boleh jadi ibu, kakak, dan nenek anda. Jika jadi perkara tersebut di negara anda, anda pasti inginkan pasukan anda (tentera) bela dan melawan balik di negara anda dan itulah yang dilakukan Israel.

Hananya Naftali

Tuduh Hamas guna rakyat Palestin sebagai ‘perisai manusia’

Aktivis Israel itu turut menuduh pejuang Hamas menggunakan rakyat Palestin sebagai ‘perisai manusia’ untuk melindungi diri daripada serangan rejim Zionis.

“Mereka (Hamas) lakukan kejahatan perang, mereka tidak peduli rakyat Palestin. Israel peduli tentang rakyat Palestin lebih daripada Hamas.

“Sebelum perang ini, lebih daripada seribu rakyat Palestin masuk bekerja di Israel termasuk penduduk Gaza. Rakyat Palestin dirawat di hospital Israel dan bebas berjalan-jalan di sana tanpa halangan,”katanya lagi.

Namun dakwanya orang Yahudi tidak dibenarkan memasuki wilayah Semenanjung Gaza dan sekiranya berbuat demikian, mereka akan dihukum bunuh.

Dakwa tentera Israel tak berperang dengan umat Islam, cuma tolak radikalisme

Selain itu, Naftali juga turut mendakwa rejim Zionis tidak berperang dengan umat Islam dan Kristian kerana di dalam pasukan tentera mereka turut mempunyai askar daripada kedua-dua agama itu.

“Israel menentang kefahaman radikal. Berhenti berpura-pura. Jika keluarga anda diserang dan dibunuh, anda juga akan bertindak seperti yang dilakukan oleh Israel,” ujarnya.

Netizen tak termakan dengan dakwaan Hananya Naftali, tetap sokong Palestin

Bagaimanapun, menjengah ke ruangan komen, kelihatan rata-rata pengguna media sosial daripada Malaysia dan Indonesia tidak terpedaya dengan tipu helah dan putar belit cerita oleh Naftali.

Mereka juga tetap dengan pendirian untuk memberi sokongan sepenuhnya terhadap Palestin yang selama ini ditindas oleh kekejaman penceroboh Israel.

Sekadar info, Hananya Naftali cukup dikenali di media sosial kerana sering menyampaikan berita, gambar, dan video yang tidak benar mengenai konflik di Timur Tengah itu.

Malah dia juga dilaporkan sebagai ‘orang penting’ yang menguruskan akaun media sosial Presiden Israel, Benjamin Netanyahu.

Pelbagai tuduhan yang dilemparkan sebelum ini terhadap Palestin dan Hamas juga hanyalah penipuan semata-mata demi mengaburi mata dunia tentang kekejaman sebenar Israel.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd