Now Reading
Nurul Ain & Suami Berjaya Keluar Dari Semenanjung Gaza

Nurul Ain & Suami Berjaya Keluar Dari Semenanjung Gaza

Nurul Ain dan suaminya Mohamed A.M. Shaat berjaya diselamatkan melalui sempadan Rafah pada 13 November jam 2.23 pagi waktu Malaysia.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Tidak hanya mengorbankan ribuan nyawa dan kerosakan infrastruktur, konflik di antara Palestin dan Israel turut memberi kesan kepada individu lain terutama buat mereka yang berasal dari negara luar yang menetap atau melawat Gaza.

Ini kerana konflik yang melanda menyebabkan proses menyelamatkan individu menjadi rumit hingga perlu melibatkan campur tangan daripada pelbagai pihak terutamanya kerajaan.

Warga Malaysia Berjaya Keluar Dari Gaza

Terbaharu, warganegara Malaysia Nurul Ain binti Haron dan suaminya berjaya keluar daripada Gaza selepas terperangkap dengan konflik Palestin dan Israel sejak 37 hari yang lalu.

Perkara itu disahkan oleh Kementerian Luar Negeri menerusi satu kenyataan yang dimuat naik melalui Facebook mereka.

Menerusi kenyataan tersebut, Ain dan suaminya Mohamed A.M. Shaat yang merupakan warganegara Palestin berjaya diselamatkan melalui sempadan Rafah pada jam 2.23 pagi tadi (13 November) waktu Malaysia.

“Ketibaan Nurul Ain Haron dan suami di lintasan sempadan Rafah telah dimudah cara oleh Duta Besar Malaysia ke Kaherah bersama pegawai-pegawai kedutaan yang lain.

“Sejurus selepas Nurul Ain dan suami tiba di Rafah, beliau telah dihubungi oleh Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri untuk bertanya khabar melalui panggilan video,” kata mereka menerusi kenyataan tersebut.

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah. Semasa berada di Mekah, kami mendapat berita gembira berkenaan rakyat Malaysia,…

Posted by Zambry Abd. Kadir on Sunday, 12 November 2023

Berjaya Diselamatkan Selepas Pertemuan PMX & Presiden Mesir

Tambah mereka lagi, proses menyelamatkan Nurul Ain dan suaminya berjaya dilaksanakan selepas pertemuan di antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi diadakan ketika lawatan kerja Perdana Menteri ke Mesir pada 23 Oktober yang lalu.

Tindakan evakuasi ini juga berjaya dilaksanakan dengan berkesan dengan bantuan penyelarasan lanjut oleh Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Kedutaan Besar Malaysia di Amman.

“Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah juga sedang menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada mereka.

“Kementerian Luar Negeri ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Mesir, Kerajaan Qatar, Kedutaan Besar Mesir di Kuala Lumpur dan Kedutaan Besar Qatar di Kuala Lumpur atas jalinan kerjasama serta keutamaan yang telah diberikan kepada Malaysia dalam usaha menjalankan proses evakuasi warganegara Malaysia yang berada di kawasan konflik Gaza dengan selamat,” ujarnya lagi.

Nurul Ain Luah Rasa Syukur, Ucap Terima Kasih Kepada Pihak Terlibat

Dalam pada itu, Nurul Ain meluahkan rasa syukur dan lega kerana masih terselamat dan berjaya keluar daripada Semenanjung Gaza tanpa sebarang kecederaan walaupun wilayah tersebut diserang tanpa henti sejak 7 Oktober yang lalu

Namun, dia menzahirkan rasa sedih kerana terpaksa meninggalkan keluarga mentuanya yang masih berada di Khan Younis.

“Perasaan bercampur baur, hendak tinggalkan mereka sa­yang tapi jika kami tidak keluar bagaimana hendak terus membantu keluarga dan penduduk Gaza lain.

“Saya juga rasa masih belum puas untuk memberi lebih bantuan kepada rakyat Gaza,” katanya yang dipetik daripada Utusan Malaysia.

Nurul Ain turut mengucapkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Duta Malaysia ke Mesir Zamani Ismail dan pegawai kedutaan kerana membantu proses pergerakan keluarnya dari wilayah tersebut.

Untuk info, Nurul Ain yang berasal dari Keramat Kuala Lumpur telah berkahwin dengan suaminya sejak enam tahun yang lalu.

Pada 1 Oktober 2023, dia dan suaminya pulang ke Gaza setelah pasangannya sudah sembilan tahun tidak menjejakkan kaki ke Palestin.

Malah, ia juga merupakan detik pertama kali Ain berjumpa dengan keluarga mentuanya sejak mereka mendirikan rumah tangga.

Pasangan tersebut yang tinggal di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dijadualkan meninggalkan Gaza pada 25 Oktober yang lalu melalui sempadan Rafah menuju ke Mesir sebelum menaiki penerbangan ke UAE pada hari berikutnya.

Namun, mereka terkandas di Khan Younis akibat peperangan antara Pejuang Hamas dan Tentera Zionis.

Memetik Bernama, Nurul Ain dan suaminya dijangka berlepas ke Malaysia pada malam tadi (13 November 2023).

[TERKINI] SIARAN AKHBAR : WARGANEGARA MALAYSIA DI GAZA TELAH SELAMAT DIEVAKUASI MELALUI LINTASAN SEMPADAN RAFAH #WismaPutra #MalaysiaPalestin #MalaysiaMADANI

Posted by Wisma Putra on Sunday, 12 November 2023

Baca Artikel Berkaitan: Warga Malaysia Kongsi Keadaan Di Palestin, Siap Tunjuk Kawasan Yang Baru Lepas Dibom [Video]

Baca Artikel Berkaitan: “Tolong Sensitif Sikit” – Warga Malaysia Di Palestin Kecewa Orang Hubungi Untuk Dengar Bunyi Bom


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2021 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd