Now Reading
Warga Emas Di Ipoh Kumpul Sampah Dalam Rumah Lebih 3 Tan, MBI Terpaksa Buat Operasi Bersih & Buang

Warga Emas Di Ipoh Kumpul Sampah Dalam Rumah Lebih 3 Tan, MBI Terpaksa Buat Operasi Bersih & Buang

Tujuh aduan telah diterima berkenaan masalah mengumpul sampah di rumah tersebut dan pelaku pernah dikenakan denda RM500 pada tahun 2021.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kitar semula adalah proses di mana barang buangan ditukar menjadi bahan baharu. Antara bahan yang boleh dikitar semula adalah plastik, kertas dan kaca.

Tentu ada sesetengah daripada kita yang mengumpul sampah seperti plastik dan kertas untuk tujuan dikitar semula. Namun, pastikan sampah tidak dikumpul begitu banyak kerana ini pastinya menyebabkan kesulitan pada orang lain.

Begitulah yang terjadi kepada seorang warga emas di Taman Ipoh, Perak, apabila dia didapati mengumpul sampah tersebut dengan tujuan untuk dikitar semula, menyebabkan rumahnya tidak asing seperti tempat pengumpulan sampah.

Sehubungan itu, semalam (25 September), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menghantar tiga buah lori lapan tan ke sebuah rumah di Jalan Merpati, Taman Ipoh, bagi mengutip anggaran tiga tan timbunan sampah.

Menurut MBI, operasi pembersihan di rumah tersebut telah dilakukan sebanyak tiga kali kerana wanita berusia 60-an itu masih mengulangi perbuatannya.

Malah, warga emas itu dan suaminya pernah dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menjalani kaunseling sebelum ini.


MBI Terima Aduan Kali Ketujuh

Tambah MBI lagi, pihaknya telah menerima aduan berkenaan masalah itu sejak tiga tahun lalu iaitu pada tahun 2020.

Sehingga kini, sebanyak tujuh aduan telah diterima dengan warga emas tersebut pernah didenda RM500 di bawah Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976 pada 2021.

Sikap menyimpan sampah di kediaman itu menyebabkan masalah kacau ganggu pada orang sekeliling.

Tindakan mengumpul barang kitar semula dan disimpan di rumah kediaman dalam keadaan tidak terurus itu boleh menyebabkan kacau ganggu bau, menjadi tempat hurungan tikus dan haiwan berbisa serta tempat pembiakan nyamuk.

Majlis Bandaraya Ipoh.

Masalah itu mewujudkan risiko terhadap keselamatan dan kesihatan penduduk serta menurunkan nilai estetik di kawasan itu.

Pihak MBI memaklumkan bahawa kes ini telah dirujuk untuk tindakan mahkamah memandangkan ia merupakan kesalahan berulang.


Tabiat Suka Simpan Barang Merupakan Hoarding Disorder

Sebenarnya, tabiat gemar mengumpul barang sehingga bertahun lamanya boleh dianggap sebagai kecelaruan tabiat mengumpul barang atau ‘Hoarding Disorder’.

Naib Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA), Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata kecelaruan ini merupakan sebahagian daripada penyakit mental yang dikategorikan dalam ‘Diagnostic Manual and Statistical Manual of Mental Disorder’ (DSM-5).

Masalah ini bukan sahaja menyebabkan ruang menjadi sempit dan keadaan rumah tidak terurus, tetapi turut menjejaskan hubungan antara keluarga dan orang sekeliling.

Berdasarkan kajian oleh American Psychiatric Association pada tahun 2013, terdapat 2% penduduk seluruh dunia yang menghadapi kecelaruan ini.

Namun begitu, sekitar 66% penghidap tidak sedar bahawa mereka mempunyai masalah ini.

Sumber: Sinar Harian | Harian Metro


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd