Now Reading
[Video] Tiada Istilah ‘Jahit Hidup-hidup’ Lepas Bersalin. Doktor Ini Beri Penjelasan

[Video] Tiada Istilah ‘Jahit Hidup-hidup’ Lepas Bersalin. Doktor Ini Beri Penjelasan

Doktor perubatan, Dr Irma Izzati berkata pemberian bius tidak akan menyebabkan luka lambat sembuh.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Para wanita mesti biasa dengar istilah ‘jahit hidup-hidup’ kan? Lagi-lagi bagi ibu yang sudah melahirkan anak, mungkin ia menjadi satu trauma buat anda!

Apabila wanita bersalin secara normal, sesetengah daripada mereka perlu menjalani prosedur episiotomi, iaitu guntingan pada bahagian perineum. Dalam masa sama, ada juga yang mengalami masalah koyakan perineum ketika melahirkan anak.

Jika perkara ini berlaku, ibu akan diberikan jahitan bagi menutup semula luka pada perineum.

Akan tetapi, ada ibu yang berkongsi pengalaman bahawa mereka dijahit tanpa dibius. Rata-rata masyarakat menamakannya ‘jahit hidup-hidup’.

Prosedur episiotomi dilakukan bagi mengelakkan masalah koyakan perineum. (Sumber: Anesthesia Key)

Doktor Ingatkan Agar Beri Ibu Hamil Bius Yang Mencukupi

Seorang doktor perubatan, Dr Irma Izzati berkongsi dia menerima banyak luahan daripada ibu-ibu berkenaan perkara ini. Katanya, sebenarnya tiada istilah ‘jahit hidup-hidup’.

Dr Irma menegaskan agar doktor yang bertugas mendengar luahan ibu bersalin dan memberi bius yang secukupnya agar mereka tidak terseksa sewaktu dijahit. Jangan biarkan sehingga mereka menangis!

Janganlah [cakap] sikit je, tahan sikit. Topup ubat bius tu.

Dr Irma Izzati.

Dia berkata apabila melakukan sebarang prosedur yang memerlukan anestesia setempat, doktor perlu memastikan pesakit tidak lagi merasa sakit.

Namun, dia juga mengingatkan bahawa pesakit masih dapat merasa seperti kulit tertarik apabila jahitan dilakukan, cuma tidaklah sehingga sakit.

Prosedur jahitan perineum (Sumber: Cambridge University Press)

Ubat Bius Tidak Menyebabkan Luka Lambat Sembuh

Kata Dr Irma, pemberian bius tidak akan menyebabkan masalah lain seperti luka lambat sembuh.

Fungsi bius adalah untuk tidak menyebabkan anda merasa sakit.

Dr Irma Izzati.

Menurut National Health Services UK, anestesia setempat adalah selamat dan amat jarang berlaku sebarang masalah serius yang disebabkan olehnya. Sesetengah individu mungkin menghadapi kesan sampingan sementara seperti pening dan muntah, sakit kepala serta rasa kebas berterusan.

Gambar sekadar hiasan. (Sumber gambar: Unsplash)

Satu kajian mendapati jenis ubat bius yang digunakan mempunyai kesan berbeza terhadap penyembuhan luka. Ubat bius lidocaine dan prilocaine tidak mempengaruhi penyembuhan luka, manakala bupivacaine dan levobupivacaine memberi sedikit kesan negatif setelah hari ke-21.

https://www.tiktok.com/@drirmaizzati/video/7363454043332545810

Netizen Kongsi Pengalaman Dijahit Selepas Bersalin

Menjenguk ke ruangan komen, ramai ibu-ibu berkongsi pengalaman mereka dijahit setelah selesai bersalin. Ada yang tidak merasa sakit langsung ketika dijahit, tetapi ada juga yang sehingga menangis dan menyifatkan ia lebih teruk berbanding ketika bersalin.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa pesakit tidak diberi bius? Ada yang berkata mereka diberitahu bahawa bius akan menyebabkan jahitan menjadi bengkak dan tidak cantik.

Seorang ibu dimaklumkan oleh jururawat bahawa bius tidak diberikan ketika jahitan agar luka cepat sembuh.

Di samping itu, beberapa ibu berkongsi pengalaman mereka langsung tidak merasa sakit apabila dijahit walaupun tidak diberi bius. Ini mungkin kerana mereka telah menahan sakit bersalin yang lebih kuat sebelum itu.

Sebaliknya, beberapa ibu memaklumkan bahawa walaupun diberi ubat bius tambahan, mereka masih terasa sakit ketika dijahit.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd