Now Reading
KBS Umum Penginapan Y-Capsule, Hanya RM10 Sehari Untuk Belia 18 Hingga 40 Tahun

KBS Umum Penginapan Y-Capsule, Hanya RM10 Sehari Untuk Belia 18 Hingga 40 Tahun

Kemudahan penginapan tersebut terletak di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) di Bandar Tun Razak, Cheras dan dibuka kepada warganegara sahaja.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Golongan belia terutamanya yang baru menamatkan pengajian dan sedang mencari pekerjaan, sememangnya menghadapi pelbagai cabaran ekonomi. Antara isu yang perlu diambil kira dalam pencarian kerja termasuklah tempat tinggal dan pengangkutan.

Rumah mahupun bilik terutamanya di kawasan bandar-bandar utama seperti ibu negara Kuala Lumpur, sering kali disewakan dengan kadar yang tinggi. Keadaan ini seterusnya menyukarkan mereka dengan pendapatan rendah untuk mendapatkan tempat tinggal yang selesa.

Semalam (13 September), inisiatif Youth Capsule (Y-Capsule) @IYCResidence oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah dilancarkan sebagai tujuan penginapan kepada golongan belia warganegara di ibu negara.

Menterinya, Hannah Yeoh, mengumumkan dalam satu sidang media bahawa tempat penginapan tersebut akan beroperasi bermula Jumaat ini. Ia boleh disewa oleh mereka yang berusia 18 hingga 40 tahun pada kadar RM10 sehari.

Beliau berkata ia disasarkan kepada mereka yang mahu menjalani latihan industri, sedang mencari kerja, mahupun telah bekerja tetapi tidak mempunyai tempat penginapan.

Saya harap ia akan menggalakkan lebih ramai belia memperoleh motivasi untuk mendapatkan pekerjaan khususnya yang datang daripada luar bandar dengan kadar yang murah.

Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan.

Youth Capsule (Y-Capsule) itu terletak di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) di Bandar Tun Razak, Cheras dan diusahakan menerusi pengurusan bangunan berkenaan. Ia mempunyai lima bilik dormitori yang dilengkapi dengan sejumlah 54 katil dan kelengkapan lain seperti peralatan memasak, dobi layan diri, kemudahan internet.

Y-Capsule juga terletak berdekatan satu perhentian bas yang berguna bagi penginap untuk menggunakan kemudahan pengangkutan awam. Antara bas yang melalui kawasan tersebut adalah T402 (MRT Taman Midah), T400 (MRT Cochrane) dan GOKL-11 (MRT Maluri).


38% Gelandangan Di Kuala Lumpur Berusia 18 Hingga 30 Tahun

Menurut Hannah yang juga ahli Majlis Pekerjaan Negara, statistik menunjukkan bahawa 38% daripada golongan gelandangan di ibu negara adalah dalam kalangan golongan belia berusia antara 18 hingga 30 tahun. Perkara inilah yang memulakan usaha inisiatif Y-Capsule oleh kementerian tersebut.

Kita susah untuk dapatkan dana untuk bina fasiliti baharu, sebab itu itu kita lihat fasiliti yang sedia ada dan buat seperti program ini. Saya gesa agensi kerajaan untuk buka ruang sama seperti ini kepada golongan belia.

Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan.

Di samping itu, Hannah berkata data setakat suku kedua tahun ini oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menujukkan 6.08 juta daripada 16.15 juta pekerja dalam negara merupakan golongan belia.

IYC merupakan satu pertubuhan bukan kerajaan yang terletak di bawah KBS. Ia telah ditubuhkan pada 6 Februari 1985 melalui keputusan Jemaah Menteri. Sebelum itu, mendiang Tan Sri Kampo Harada dari Nihon Shuji Educational Federation, Jepun telah bersetuju menderma 1 Billion Yen (RM10 Juta) bagi pembinaan IYC.

IYC kemudiannya dirasmikan pada 16 April 1998 oleh Tun Dr Mahathir Mohamed selaku Perdana Menteri ketika itu. Antara inisiatif yang dijalankan oleh IYC adalah IYC4Peace, Sekolah SDG dan IYC Urban Farming.

Sebarang maklumat lanjut dan urusan tempahan Y-Capsule boleh dilakukan dengan menghubungi talian +603-9171 9204 atau +603-9171 9205.

Sumber: Berita Harian | IYCKUL


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd