Now Reading
Majikan Langgar Terma & Syarat Atau Tak Bagi Cuti Sepatutnya? Ini Cara Untuk Report!

Majikan Langgar Terma & Syarat Atau Tak Bagi Cuti Sepatutnya? Ini Cara Untuk Report!

Enam jenis cuti yang wajib diberi oleh majikan adalah Cuti Tahunan, Cuti Sakit, Cuti ‘Hospitalisation’, Cuti Bersalin, Cuti Paterniti dan lima Cuti Umum.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Setelah beberapa tahun bekerja, korang tahu tak jenis-jenis cuti yang majikan wajib berikan? Kebiasaannya majikan akan menyenaraikan cuti-cuti tersebut dalam kontrak pekerjaan.

Mungkin ada juga yang tidak tahu mengenai jenis-jenis cuti, terutamanya bagi yang baru menjejakkan kaki ke alam pekerjaan. Jom kita tengok apa cuti yang korang layak dapat daripada majikan!

Berdasarkan perkongsian oleh pengguna laman X (Twitter) @jeffrazi dan menurut undang-undang pekerjaan di Malaysia, terdapat enam jenis cuti yang wajib diberikan oleh majikan kepada pekerja.

1. Cuti Tahunan Berbayar

Jumlah Cuti Tahunan Berbayar atau Annual Leave (AL) yang layak diterima oleh seorang pekerja dalam masa setahun adalah berdasarkan kepada tahun perkhidmatannya.

  • Bekerja antara 1-2 tahun: 8 hari
  • Bekerja antara 2-5 tahun: 12 hari
  • Bekerja lebih 5 tahun: 16 hari

Namun begitu, ia juga menurut budi bicara majikan kerana ada yang memberi AL lebih kepada pekerja. Jadi, kalau korang dapat AL lagi banyak, jangan lupa ucapkan terima kasih pada majikan.

Sebagai tambahan, pekerja kerajaan menikmati jumlah AL atau Cuti Rehat yang lebih tinggi iaitu antara 20 hingga 35 hari berdasarkan gred dan tahun perkhidmatan. Bestnya!

2. Cuti Sakit Berbayar

Lebih dikenali sebagai MC, Cuti Sakit Berbayar wajib diberi oleh majikan dan jumlah tahunannya juga mengikut tahun perkhidmatan pekerja.

  • Bekerja antara 1-2 tahun: 14 hari
  • Bekerja antara 2-5 tahun: 18 hari
  • Bekerja lebih 5 tahun: 22 hari

Pastikan korang maklumkan kepada bos dalam tempoh masa 48 jam dan dapatkan Sijil Cuti Sakit atau MC untuk gunakan kelayakan cuti ini. Kalau tak, korang dianggap sebagai ponteng bekerja.

Tak ramai yang tahu, tapi kalau korang tengah ambil AL dan tiba-tiba jatuh sakit, korang layak mendapatkan MC. AL yang dah diambil pula dianggap tidak digunakan jika ada MC. Oleh itu, jangan lupa maklumkan kepada majikan jika perkara ini terjadi pada korang.

3. Cuti ‘Hospitalisation’

‘Hospitalisation’ merujuk kepada situasi seseorang dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Jika seorang pekerja harus dimasukkan ke hospital, dia akan mendapat cuti tambahan 60 hari di samping jumlah MC yang layak diterimanya.

4. Cuti Bersalin

Bagi ibu mengandung, mereka layak mendapatkan Cuti Bersalin daripada majikan. Pada tahun 2023, Cuti Bersalin telah ditingkatkan daripada 60 hari ke 98 hari.

Namun begitu, seorang pekerja tidak layak mendapat Cuti Bersalin jika mempunyai lima atau lebih anak.

Pekerja perlu memaklumkan kepada majikan dan telah diambil bekerja sekurang-kurangnya empat bulan sebelum tarikh bersalin untuk menikmati kelayakan tersebut.

Sumber gambar: Pexels

Ibu mengandung juga boleh memulakan Cuti Bersalin 14 hari lebih awal daripada tarikh bersalin jika pegawai perubatan menyatakan dia tidak lagi boleh menjalankan tugasannya.

Di samping itu, majikan dilarang menamatkan perkhidmatan seorang pekerja wanita yang sedang mengandung dan dianggap telah melakukan kesalahan jika berbuat sedemikian.

5. Cuti Paterniti

Selain daripada Cuti Bersalin, kerajaan juga telah memperkenalkan Cuti Paterniti bagi suami yang isterinya baru melahirkan anak. Terkini, Cuti Paterniti ditetapkan sebanyak tujuh hari termasuk hari Sabtu, Ahad dan cuti umum jika ada.

6. Cuti Umum

Pekerja juga layak menerima sekurang-kurangnya 11 hari cuti umum selain daripada lima cuti berbayar di atas. Daripada 11 cuti umum yang perlu diberikan oleh majikan, terdapat lima cuti yang diwajibkan berdasarkan Akta Kerja 1955 iaitu:

  • Hari Kebangsaan (31 Ogos)
  • Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong
  • Hari Keputeraan Yang di-Pertua Negeri atau Hari Wilayah di Wilayah Persekutuan
  • Hari Pekerja (1 Mei)
  • Hari Malaysia (16 September)
Majikan wajib memberikan cuti pada Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong. (Sumber gambar: Pejabat Perdana Menteri)

Jika korang perlu bekerja pada mana-mana cuti umum di atas, pastikan korang menerima bayaran tiga kali ganda daripada biasa bagi hari tersebut.

Enam hari lain yang boleh dipilih oleh majikan adalah mana-mana hari yang diwartakan sebagai hari kelepasan am di bawah Jadual Pertama Akta Hari Kelepasan 1951. Antara cuti tersebut termasuk hari perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali.


Majikan Tak Beri Korang Cuti Yang Sepatutnya? Laporkan Pada JTK

Dalam pada itu, seorang jurulatih kerjaya, Farid Affy, membuat perkongsian di Laman X (Twitter) tentang cara-cara untuk melaporkan majikan jika melanggar terma dan syarat pekerjaan.

Laporan boleh dibuat oleh pekerja kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) melalui kaedah-kaedah berikut:

  1. Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA)
  2. Aplikasi Working For Workers
  3. Pejabat JTK berhampiran
  4. Surat kepada JTK
  5. E-mel kepada JTK

Untuk melakukan aduan tersebut, pekerja juga perlu menyediakan beberapa maklumat berkaitan terutamanya maklumat lengkap berkenaan pengadu sendiri dan majikan.

Selain itu, pengadu perlu menyatakan masalah yang terjadi. Sudah tentu lebih elok jika dapat menyertakan bukti-bukti yang berkaitan.

Laporan juga perlu dilampirkan dengan dokumen sokongan seperti surat tawaran pekerjaan, kontrak pekerjaan dan slip gaji. Lebih mudah bagi pihak JTK untuk melakukan siasatan jika pengadu melampirkan dokumen berkenaan.

Borang aduan boleh didapati melalui laman web JTK. Laporan juga boleh dilakukan secara berkumpulan dengan menyertakan nama, kad pengenalan dan warganegara pengadu-pengadu lain.

Aduan yang dilakukan kepada JTK bukan sahaja jika pihak majikan tidak memberi korang cuti yang sepatutnya, tetapi juga bagi masalah lain seperti tidak membayar gaji dan tidak memberi pampasan berkaitan.

Sumber: Akta 265 | Akta 369 | Twitter @jeffrazi & @faridaffy


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd