Now Reading
Pekerja Standard Chartered Nikmati Cuti Pelepasan Ibu Bapa 20 Minggu Tanpa Kira Jantina, Siap Dapat Gaji Penuh!

Pekerja Standard Chartered Nikmati Cuti Pelepasan Ibu Bapa 20 Minggu Tanpa Kira Jantina, Siap Dapat Gaji Penuh!

Manfaat ini bagaimanapun bukanlah satu manfaat baru sebaliknya program pelepasan yang dipertingkatkan tanpa mengira jantina.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Proses selepas bersalin dan melahirkan anak merupakan antara fasa kritikal dihadapi terutama buat pasangan yang baru pertama kali bergelar ibu bapa.

Walaupun telah menyiapkan diri dengan pelbagai ilmu terutamanya dalam hal berkaitan penjagaan bayi dan diri, namun ia pastinya berbeza dengan pengalaman sebenar yang dialami.

Tidak hanya pasangan yang baru pertama kali menjadi ibu bapa sahaja yang berdepan cabaran ini, malah mereka yang sudah bergelar ibu bapa juga turut mengalami perkara yang sama.

Ini kerana tempoh enam bulan pertama selepas proses melahirkan anak merupakan waktu yang kritikal dan perlu diberi penjagaan rapi terutama buat ibu dan bayi.

Beri Cuti 20 Minggu Kepada Pekerja Tanpa Kira Jantina, Siap Dengan Gaji Penuh

Prihatin dengan kebajikan pekerja, Standard Chartered atau turut dikenali sebagai Stanchart mengumumkan cuti pelepasan ibu bapa merangkumi cuti bersalin dan paterniti sekurang-kurangnya selama 20 minggu serta dengan gaji penuh.

Secara ringkasnya ini bermakna pelepasan yang diberikan adalah cuti bergaji selama hampir lima bulan buat mereka yang bergelar ibu bapa.

Manfaat global ini dinikmati oleh semua pekerja institusi perbankan tersebut tanpa mengira jantina, status hubungan dan proses bagaimana kanak-kanak itu menyertai keluarga berkenaan dan mula berkuatkuasa bermula 1 September 2023.

Pengumuman yang dibuat menerusi laman web rasmi itu terpakai di seluruh cawangan Standard Chartered di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Manfaat ini bagaimanapun bukanlah satu manfaat baru sebaliknya program pelepasan yang dipertingkatkan tanpa mengira jantina.

Sokongan Kepada Pekerja Syarikat

Menurut Ketua Sumber Manusia Standard Chartered Malaysia Mohd Rawi Abdullah, faedah ini bukan sahaja membantu pilihan perancangan keluarga malah dapat menangani urusan penjagaan anak secara bersama.

Ia juga merupakan antara komitmen syarikat dalam memupuk budaya yang inklusif bagi membentuk pekerja yang dapat mengimbangi kehidupan peribadi dan kerjaya.

“Kakitangan kami adalah teras kepada perniagaan, jadi kami sentiasa memerhati bagaimana untuk mencipta tempat kerja yang lebih inklusif agar mereka dapat mencapai potensi penuh,” katanya.

Ketua Sumber Manusia (Kumpulan) Standard Chartered, Tanuj Kapilashrami turut senada apabila menzahirkan harapan agar langkah ini dapat membuka mata dan dijadikan inspirasi oleh syarikat lain di seluruh dunia.

Untuk info, Standard Chartered bank pertama di Malaysia yang memberikan cuti bersalin selama 20 minggu bergaji penuh kepada pekerja wanita yang baru bergelar ibu pada tahun 2017.

Manakala, pekerja lelaki juga turut diberi cuti paterniti selama dua minggu bergaji penuh ketika isteri bersalin serta ibu bapa angkat yang baharu juga turut mendapat manfaat yang sama.

Ia merupakan satu langkah bagi merealisasikan budaya mesra keluarga bank tersebut dan manfaat ini merangkumi semua pekerja tanpa mengira tempoh perkhidmatan.

Sumber: Standard Chartered, Standard Chartered Malaysia, Berita Harian


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd