Now Reading
Masih Ada Tak Tahu, Golongan Bekerja Sendiri Hanya Perlu Bayar 20% Caruman PERKESO Menerusi SKSPS

Masih Ada Tak Tahu, Golongan Bekerja Sendiri Hanya Perlu Bayar 20% Caruman PERKESO Menerusi SKSPS

Di bawah SPS Padanan Caruman, kerajaan akan menanggung lebihan 80% caruman bagi Orang Bekerja Sendiri yang layak dari 11 kumpulan sasaran.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, majikan perlu melakukan caruman bulanan bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi setiap pekerja yang layak mengikut kadar yang ditetapkan.

Terdapat dua jenis caruman mengikut kepada umur pekerja. Caruman jenis pertama adalah bagi pekerja berumur kurang 60 tahun yang meliputi Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan.

Kadar caruman terbabit merangkumi 1.75% syer majikan dan 0.5% syer pekerja berdasarkan gaji bulanan pekerja serta mengikut kadar jadual caruman yang telah ditetapkan.

Caruman jenis kedua adalah bagi pekerja 60 tahun ke atas dan hanya bagi perlindungan Skim Bencana Pekerjaan. Bayaran hanya dipotong daripada syer majikan sebanyak 1.25% daripada gaji bulanan pekerja mengikut jadual caruman yang telah ditetapkan.

Namun sewaktu Belanjawan 2023, kerajaan telah memperkenalkan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi Orang Bekerja Sendiri (OBS) dengan dua kategori iaitu SPS Padanan Caruman dan SPS Madani. Skim ini telah berkuatkuasa pada 1 Mei 2023.

Melalui SKSPS, pencarum yang terdiri daripada OBS dapat menikmati faedah-faedah berikut:

  • Faedah Perubatan – Rawatan perubatan percuma di klinik panel atau hospital kerajaan.
  • Faedah Hilang Upaya Sementara – Terima bayaran 80% daripada RM1,550 dengan bayaran harian RM41.33 ketika cuti sakit.
  • Faedah Hilang Upaya Kekal – Terima bayaran 90% daripada RM1,550 dan tertakluk kepada faktor umur dan taksiran peratus hilang upaya kekal.
  • Elaun Layanan Sentiasa – Terima RM500 sebulan jika alami hilang upaya kekal.
  • Faedah Orang Tanggungan – Tanggungan mendapat bayaran bulanan RM1,395 sepanjang hayat (mengikut kategori) jika pencarum meninggal dunia sewaktu bekerja.
  • Faedah Pinjaman Pendidikan – Anak diberi pinjaman pendidikan jika pencarum meninggal dunia atau alami hilang upaya kekal.
  • Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional – Pemulihan fizikal dan vokasional percuma di Pusat REHAB PERKESO dan bekalan alat bantuan.
  • Faedah Pengurusan Mayat – Keluarga menerima RM2,000 bagi pengurusan jenazah.

Kerajaan Subsidi 80% Perlindungan Melalui SPS Padanan Caruman

Di bawah SPS Padanan Caruman, kerajaan akan mensubsidi 80% daripada bayaran Pelan Caruman 2 iaitu RM232.80.

Ini bermakna RM186.20 akan dibiayai oleh kerajaan, manakala pencarum hanya perlu membayar sebanyak RM46.60. Bayaran ini adalah bagi satu tahun perlidungan.

Kumpulan sasaran yang terlibat di bawah kategori ini termasuk SPS Agro, SPS Sukan, SPS Seni 2.0, SUPS Usahawanita 2.0 dan SPS Gig 3.0 iaitu kerjaya yang menggunakan aplikasi digital di bawah syarikat pengantara.


Kerajaan Subsidi Perlindungan Sepenuhnya Melalui SPS Madani

Bagi kategori SPS Madani, kerajaan menyasarkannya bagi sukarelawan unit seperti BOMBA, PDRM dan KKM, pekhidmat rumah ibadat Islam (imam, bilal, dsb), penyelia dan petugas komuniti serta Contract for Service dalam sektor awam.

Di bawah SPS Madani, kerajaan menanggung sepenuhnya caruman SKSPS bagi Pelan Caruman 2 (RM232.80) dan Pelan Caruman 4 (RM592.80) bagi tempoh perlindungan satu tahun.


Tiada Had Umur, Namun Hanya Untuk Warganegara & PR

Kedua-dua skim caruman ini dibuka hanya kepada warganegara atau pemastautin tetap Malaysia yang bekerja sendiri secara sepenuh masa atau separuh masa di dalam negara. Tiada had umur yang ditetapkan bagi kedua-dua skim caruman SKSPS ini.

Untuk memohon inisiatif ini secara dalam talian, individu yang layak boleh ke laman web matrix.perkeso.gov.my dan mengisi borang yang disediakan.

Dokumen sokongan yang diperlukan hanyalah salinan kad pengenalan serta surat pengesahan atau surat pelantikan pekerjaan.

Bagi mereka di bawah SPS Padanan Caruman, tempoh perlindungan hanya bermula setelah membuat bayaran 20% setiap bulan. Pemohon juga boleh memilih untuk membuat bayaran bagi satu tahun.

Terdapat juga syarikat yang membayar sebahagian dari 20% caruman ini bagi pihak pekerjanya. Contohnya seperti penyedia perkhidmatan penghantaran dalam talian, foodpanda, yang membayar 10% daripada jumlah RM46.60.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd