Now Reading
Tiada Yang Terabai, Belanjawan 2023 Bantu Semua Agama

Tiada Yang Terabai, Belanjawan 2023 Bantu Semua Agama

Belanjawan 2023 sememangnya memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Agama merupakan aspek penting dalam kehidupan majoriti rakyat kerana ia menjadi pegangan dan panduan dalam melayari kehidupan seharian.

Di Malaysia, meskipun Perlembagaan Persekutuan menetapkan agama Islam sebagai agama rasmi, namun kepercayaan agama lain termasuk sambutan perayaan boleh diamal dan disambut dengan aman damai di mana sahaja di seluruh negara.

Kerajaan Perpaduan melalui Belanjawan 2023 turut membuktikan bahawa kepentingan bidang agama tidak diketepikan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dengan tema “Membangun Malaysia Madani”, pembentangan belanjawan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dilihat bersifat inklusif dan menyeluruh serta mampu menjana ekonomi yang mampan.

Namun, bagi golongan agamawan, tumpuan kepada setiap agama dilihat suatu usaha membantu mereka dari sudut kewangan selain penghargaan terhadap jasa dan sumbangan mereka kepada masyarakat.

Berikut, kami kongsikan senarai inisiatif kerajaan yang melibatkan kepentingan agama dan golongan agamawan untuk makluman anda:

#1. Bantuan Tunai Secara Sekali Bayar RM600 Bagi Imam, Bilal, Tok Siak, Noja, Marbut, Guru KAFA & Guru Takmir

Foto: Malay Mail

Sebagai menghargai jasa bakti golongan ini dalam mendidik masyarakat, kerajaan turut memperuntukkan RM40 juta bagi tujuan bayaran khas secara sekali bayar kepada 70,000 imam, bilal, tok siak, noja, marbut, guru KAFA dan guru takmir.

Bantuan ini telah diagihkan secara berperingkat mulai 17 April 2023 kepada Kerajaan Negeri. Selain daripada menghargai jasa mereka, ia juga bertujuan untuk meringankan beban golongan ini dalam membuat persiapan sambutan Aidilfitri yang lalu.

#2. Kenaikan Elaun Guru KAFA Sebanyak RM100

Guru KAFA berperanan mengajar dan menyemai Pendidikan Islam kepada kanak-kanak bagi membentuk sahsiah dan pembangunan diri selaras dengan kehendak al-Quran dan Sunnah.

Sejak tahun 2020, guru KAFA menerima elaun bulanan sebanyak RM1,000. Namun, bagi menghargai sumbangan mereka dalam menyebarkan syiar Islam, kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM40 juta bagi kenaikan kadar elaun sebanyak RM100 buat 35,000 guru KAFA di seluruh negara. Ini menjadikan pendapatan bulanan golongan pendidik ini sebanyak RM1,100.

Memetik Sinar Harian, bayaran kenaikan elaun ini dilakukan secara tunggakan bermula Januari 2023.

#3. Penyelenggaraan Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Tahfiz dan Institusi Pondok Berdaftar

Foto: Pexels

Dalam usaha memperkasa Pendidikan Islam, kerajaan tekad memastikan pusat penyebaran ilmu agama seperti sekolah dan pondok menerima manfaat dan tidak dipinggirkan.

Sehubungan itu, sebanyak RM150 juta diperuntukkan bagi tujuan baik pulih dan penyelenggaraan beberapa institusi seperti:

  • Sekolah Agama Rakyat
  • Sekolah Tahfiz
  • Institusi Pondok Berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

#4. Penubuhan Jawatankuasa Nasional Tanah Wakaf Islam

Menurut syarak, wakaf bermaksud seseorang menyerahkan hak miliknya (harta yang boleh digunakan tanpa susut nilai) kepada pengguna wakaf tersebut dari mula ia diwakafkan hingga ke akhirnya semata-mata kerana Allah. Lazimnya, harta yang diwakafkan tidak boleh dikembalikan semula atau dimiliki oleh mana-mana individu.

Di Malaysia, pentadbiran harta wakaf terletak di bawah bidang kuasa dan kelolaan Majlis Agama Islam Negeri. Bagi memastikan pentadbiran wakaf yang lebih sistematik dan berpusat, kerajaan telah membuat keputusan untuk menubuhkan Jawatankuasa Nasional Tanah Wakaf Islam.

Penubuhan jawatankuasa ini antaranya bertujuan untuk mencapai sasaran sumbangan wakaf sebanyak 20% kepada pengembangan sektor kewangan sosial menjelang tahun 2030. Difahamkan, jawatankuasa ini akan dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri.

Bagaimanapun, inisiatif ini masih belum diperincikan oleh kerajaan atau jabatan berkaitan.

#5. Pembangunan Tanah & Wakaf Berkonsepkan MADANI

Dalam masa yang sama, kerajaan juga akan mewujudkan Wakaf MADANI sebagai usaha memajukan pembangunan wakaf.

Melalui ucapan belanjawan pada Februari yang lalu, Anwar berkata tanah wakaf berdaftar yang berjaya dibangunkan setakat ini hanya sekitar 3,500 hektar atau 12%.

Oleh itu, bagi membangunkan dan mengembangkan ekonomi dan kewangan Islam, kerajaan telah menerima komitmen daripada swasta dengan aset bernilai RM1 bilion bagi membangunkan aset Wakaf MADANI ini.

Antara aset yang dibangunkan untuk golongan fakir miskin, berpendapatan rendah dan golongan rentan terdiri daripada:

  • Tanah
  • Masjid
  • Bangunan
  • Kemudahan kesihatan
  • Pendidikan

#6. Pengenalan Pengurusan Risiko Institusi Perbankan Islam

Foto: Freepik

Pengurusan risiko amat penting khususnya buat Institusi Perbankan Islam dan kerajaan telah mewujudkan satu rangka kerja yang bertujuan untuk meningkatkan penyediaan pembiayaan Islam dan bertindak sebagai panduan dalam pengurusan risiko.

Malah, bagi memastikan sektor kewangan Islam di Malaysia mencapai keupayaan penuh serta dapat memenuhi keperluan ekonomi dan sosial semasa, kerajaan melalui Bank Negara telah memperkenalkan Climate Risk Management and Scenario Analysis, Towards A Greener Financial System and Financial Inclusion Framework 2023-2026.

Bagi membantu institusi perbankan Islam di peringkat global, the General Council for Islamic Banks and Financial Institutions juga telah mengeluarkan Sustainability Guide for Islamic Financial Institutions sebagai panduan buat institusi perbankan.

#7. Pengasingan Aset Syariah KWSP

Foto: Malay Mail

Buat anda yang tidak tahu, simpanan berkonsepkan syariah di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah diperkenalkan sejak tahun 2017. Simpanan ini membolehkan ahli sama ada yang beragama Islam atau bukan Islam menikmati faedah mengikut syariah Islam antaranya seperti kadar dividen dan pelaburan beretika yang dibenarkan.

Sebelum ini, aset dilaburkan bersama-sama dengan aset patuh syariah dalam simpanan konvensional. Namun, bermula tahun 2024, aset berkonsepkan syariah ini akan diasingkan sepenuhnya bagi memastikan pulangan yang kompetitif kepada 1.25 juta pencarum yang memiliki akaun syariah.

#8. Pembiayaan Islam Berteraskan Ekuiti

Foto: Freepik

Bagi membangunkan sektor kewangan Islam yang memberi impak sosial dan tidak hanya menumpukan kepada keuntungan syarikat semata-mata, kerajaan melalui Kementerian Kewangan, Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti akan meningkatkan penyediaan pembiayaan Islam berteraskan ekuiti dengan konsep perkongsian risiko Mudarabah & Musyarakah.

Apa itu Mudarabah & Musyarakah

Mudarabah merupakan satu bentuk kontrak pelaburan dalam kewangan Islam yang bersifat perkongsian. Ia merupakan konsep usaha sama antara pemodal dan pengusaha di mana kedua-duanya akan menikmati keuntungan mengikut pecahan yang ditetapkan. Namun, sekiranya berlaku kerugian, hanya pemodal sahaja yang menanggung rugi manakala pengusaha mengalami kerugian dari segi masa dan tenaga.

Musyarakah juga merupakan bentuk pelaburan yang bersifat perkongsian. Namun berbeza dengan Mudarabah, ia merupakan sumbangan modal oleh satu pihak atau lebih bagi membentuk sebuah perniagaan. Melalui konsep ini, keuntungan akan dibahagikan mengikut nisbah yang dipersetujui manakala kerugian adalah bergantung kepada sumbangan modal yang dilaburkan.

Tidak hanya fokus pada agama Islam, kebajikan agama lain turut diambil perhatian

Foto: Pexels

Namun, dalam usaha kerajaan meningkatkan syiar Islam, keperluan dan pembangunan agama lain juga tidak diabaikan.

Ini boleh dilihat apabila kerajaan memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi baik pulih rumah ibadat bukan Islam di seluruh negara.

Peruntukan ini yang diumumkan sewaktu Belanjawan 2023 adalah bertujuan bagi memastikan keselesaan kepada penganut agama lain untuk beribadat.

Secara keseluruhannya, kepimpinan negara sememangnya tidak mengenepikan pembangunan dalam bidang agama. Perbelanjaan yang diperuntukkan jelas memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

Oleh itu, setiap individu di Malaysia berpeluang menerima manfaat daripada inisiatif yang digariskan dalam belanjawan tahun ini.

Untuk mendapatkan sebarang maklumat berhubung skim bantuan atau inisiatif yang ditawarkan, anda boleh melayari belanjawan.mof.gov.my/manfaat untuk maklumat penuh berhubung kaedah permohonan, manfaat dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd