Now Reading
Lelaki Kongsi Debaran Temani Isteri Di Dewan Bersalin & Dalam Kereta Sebelum Dipanggil

Lelaki Kongsi Debaran Temani Isteri Di Dewan Bersalin & Dalam Kereta Sebelum Dipanggil

Menurutnya, dia hanya boleh masuk ke bilik bersalin apabila isterinya sudah hampir mahu bersalin.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm atau ikuti berita kami menerusi aplikasi Lumi News untuk updates terkini & relevan!


Apabila seorang isteri sedang hamil, bukan mereka sahaja yang perlu melakukan persediaan secukupnya untuk proses kelahiran bayi. Suami juga perlu bersedia untuk menemani isteri ketika menunggu waktu bersalin dan sama-sama menyambut kelahiran si kecil.

Seorang pengguna Twitter (@AkeemSharyzal) telah berkongsi pengalamannya ketika menemani isteri di dalam dewan bersalin untuk menyambut kelahiran anak mereka yang pertama.

Menurut perkongsiannya, dia hanya menunggu di dalam kereta sementara isterinya masih belum dimasukkan ke dewan bersalin. Harus diingat bahawa setiap Wad Bersalin dilengkapi dengan ruangan menunggu bagi para suami dan ahli keluarga. Namun begitu, keadaan boleh menjadi kurang selesa dan sesak jika ramai orang.

Tambahnya lagi, sebarang maklumat hanya akan diketahui daripada isterinya sendiri. Oleh itu dia mengingatkan supaya para suami membawa ‘power bank’ dan kabel untuk mengecas telefon sementara menunggu dipanggil.

Minyak kereta juga lebih baik diisi penuh jika perlu menunggu lama di dalam kereta. Namun sebenarnya adalah lebih baik enjin kereta dihentikan kerana membiarkan enjin terpasang sewaktu tidak bergerak boleh merosakkan kereta.


Teman Isteri Di Dewan Bersalin

Dia kemudiannya tidur sebelum terjaga pada waktu pagi dan menerima panggilan telefon daripada isterinya sekitar jam 7 pagi. Isterinya memberitahu bahawa dia sudah hampir mahu bersalin dan memintanya untuk naik ke tingkat dua, di mana dewan bersalin terletak.

Menurutnya, suhu di dalam dewan bersalin tersebut terlalu sejuk. Oleh itu, para suami diingatkan supaya memakai pakaian yang bersesuaian seperti kasut dan sweater. Boleh juga singgah ke tandas dahulu, namun jangan terlalu lama kerana takut terlepas saat isteri bersalin.

Sebaik sahaja tiba di bilik, dia melihat isterinya sedang menahan sakit bersalin. Sebuah kerusi telah disediakan di sebelah katil untuk suami duduk.

Dia berkata ketika inilah waktu di mana kekuatan mental dan fizikal suami diuji. Isteri mungkin bertindak sedikit berang kerana sedang menahan sakit yang amat sangat.

Mengingatkan pesanan rakan-rakan, dia hanya mendiamkan diri sekiranya dimarahi isteri. Pada masa yang sama, dia cuba untuk kekal bertenang.

Sementara menunggu isteri benar-benar bersedia untuk bersalin, dia sempat membacakan surah Yassin buat isterinya.

Doktor tidak henti-henti melihat keadaan isterinya termasuk doktor praktikal dan pelajar perubatan Management Science University (MSU).


Sambut Kelahiran Bayi Bersama

Memandangkan mereka telah lama menunggu kelahiran bayi, doktor memaklumkan kepada pasangan itu bahawa bayi perlu dilahirkan sebelum jam 11.30 pagi. Kelahiran yang lebih lewat boleh memberi kesan kepada tahap oksigen bayi.

Tidak lama kemudian, isterinya berkata dia tidak tahan, yang menandakan dia sudah memasuki fasa peralihan dalam proses kelahiran. Secara serta-merta, enam hingga tujuh orang doktor masuk ke dalam bilik. Dia diarahkan untuk duduk di sebelah isterinya.

Dia berkata bahawa dia cuba memujuk isterinya dan memberikan kata-kata semangat. Pada masa yang sama, dia turut berdoa supaya urusan bersalin itu dipermudahkan.

Doktor kemudiannya mengumumkan bahawa kepala bayi sudah boleh dilihat. Namun begitu, doktor juga meminta isterinya supaya tidak pejam mata dan bangun. Isterinya yang mungkin sudah kepenatan, hampir tertidur ketika itu. Dia turut memujuk isterinya supaya kekal bangun.

Pada 12.40 tengah hari, bayi telah selamat dilahirkan dan diletakkan di atas dada isteri untuk sentuhan kulit ke kulit. Sentuhan kulit ke kulit ini penting untuk menenangkan ibu dan bayi, mengawal kadar degupan jantung dan pernafasan bayi, serta merangsang penghasilan hormon untuk menyokong penyusuan ibu.


Reaksi Para Suami Di Atas Perkongsiannya

Perkongsiaannya menerima pelbagai reaksi daripada para suami. Seorang pengguna Twitter (@abangshah_yoi) berkata perkongsian tersebut membantunya untuk membuat persediaan yang sepatutnya.

Selain daripada membawa ‘power bank’, sweater dan kasut, seorang pengguna lain turut mengingatkannya supaya membuang air kecil terlebih dahulu.

Pengguna Twitter (@hafizmdrahim) pula berkata keadaan ketika anak dilahirkan akan menjadi memori yang tidak dilupakan. Dia berkata tangannya telah dicengkam oleh isterinya yang kemungkinan ketika itu sedang menahan sakit sehingga kulit lengan hampir ditembusi kuku.

Seorang lagi pengguna Twitter (@IyzwanAng) berkata menemani isteri di dalam wad bersalin merupakan satu pengalaman yang sangat mahal baginya. Dia berkongsi bahawa isterinya sempat memakai ‘make up’ dengan alasan mahukan anak yang baru dilahirkan melihat ibunya cantik.

Harus diingat, proses kelahiran bayi bagi setiap wanita itu berbeza. Seperti yang dikongsikan oleh Akeem, ada wanita yang mengambil masa lama untuk bersalin. Namun ada juga wanita yang cepat bersalin, sehingga menyebabkan suami tidak sempat untuk menemaninya.


Langkah Seterusnya Setelah Isteri Bersalin

Tentu sekali tanggungjawab suami dalam menjaga isteri tidak terhenti di situ sahaja selepas menyambut kelahiran anak.

Suami seterusnya perlu menjaga isteri ketika dalam tempoh pantang. Seorang pengguna Twitter (@symtwittt) berkata emosi isteri rapuh sewaktu berpantang dan boleh menyebabkan mereka menjadi sedih tidak tentu hala.

Isteri juga harus diberikan rehat yang secukupnya. Dengan kehadiran bayi, tentu isteri selalu terjaga kerana perlu kerap menyusukan bayi. Jadi apabila bayi sedang tidur, biarkan isteri berehat sekali.

Suami juga perlu turut serta dalam penjagaan bayi seperti memandikan bayi dan menukar lampin. Bagi bayi yang meminum susu formula bayi, suami perlu membantu isteri untuk menyediakan susu, terutamanya pada lewat tengah malam.

Di samping itu, isteri tidak patut dibiarkan melakukan kerja-kerja rumah, apatah lagi ketika dalam tempoh berpantang.

Suami boleh menyediakan ‘confinement lady’ yang akan membantu isteri sewaktu pantang dan menguruskan bayi. ‘Confinement lady’ juga akan bertanggungjawab dalam menghasilkan makanan berpantang yang berkhasiat buat isteri.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd