Masih Ada Yang Tak Tahu, Lelaki Kongsi Tips & Pengalaman Buat Pasport Di KLIA
Individu terbabit yang telah ke dua cawangan Pejabat Imigresen sebelum itu, akhirnya ke Pejabat Pasport KLIA bagi permohonan pasport baharu.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm atau ikuti berita kami menerusi aplikasi Lumi News untuk updates terkini & relevan!
Adakah anda pertama kali akan ke luar negara untuk melancong ataupun atas urusan kerja? Jika ya, ini bermakna anda perlu memohon pasport baharu untuk kegunaan perjalanan antarabangsa.
Tentu anda pernah membaca perkongsian tentang perjalanan membuat pasport yang memakan masa begitu lama.
Hantaran kali ini mengutaran satu perkongsian oleh seorang pengguna Twitter (@dohankhairudin) berkenaan tips mudah dan pantas membuat pasport.
Kajang > Putrajaya > KLIA1.
— dohan (@dohankhairudin) July 10, 2023
Umur dah 26, baru ada akal nak buat passport. Buat pun atas keperluan business travel once in a while.
Yang pernah buat pssport, mesti tahu journey buat pasport bukan benda yang senang. Dari sejam jadi seharian. Meh i nak share tips buat passport✨ pic.twitter.com/ycbYeVn76O
Dia berkongsi pengalamannya sendiri membuat pasport. Menurutnya, dia pada mulanya pergi ke Pejabat Imigresen Kajang apabila diberitahu oleh ibu saudaranya bahawa di sana tidak ramai orang seperti di pejabat yang terletak di Urban Transformation Centre (UTC).
Dia tiba sekitar jam 7.40 pagi dan menjadi antara 10 orang terawal yang beratur ketika itu. Namun, apabila pejabat dibuka pada jam 8 pagi, dia dimaklumkan bahawa permohonan pasport baharu tidak boleh dilakukan di sana. Sebaliknya, pemohon baru diminta untuk ke cawangan di Shah Alam atau Putrajaya.

Mengetahui perkara itu, dia kemudiannya segera ke cawangan Putrajaya. Namun begitu, nombor giliran pada hari tersebut telah habis walaupun dia tiba di sana sebelum pukul 9 pagi. Menurutnya, hanya terdapat 100 nombor giliran yang dikeluarkan di setiap cawangan bagi permohonan pasport setiap hari.
Rakan Cadang Mohon Pasport Di Pejabat Pasport KLIA
Apabila dia menceritakan masalah tersebut kepada rakannya, dia diberitahu supaya ke cawangan di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) untuk mengemukakan permohonan pasport baharu.
Cawangan ini yang dinamakan Pejabat Pasport KLIA dibuka pada 16 Disember tahun lepas bertujuan untuk mengurangkan kesesakan di pejabat pasport berdekatan.
Tawaran servisnya merangkumi permohonan kali pertama, pembaharuan pasport, serta pengambilan gambar untuk pasport.
Menurut Dohan, dia terus ke KLIA dan tiba di sana sekitar jam 10.30 pagi. Dia berjaya mendapatkan nombor giliran bagi slot petang. Oleh itu, dia perlu datang semula selepas jam 2.45 petang.
Berdasarkan maklumat yang dikongsinya, tiada had 100 pemohon sehari seperti di cawangan lain, tetapi sudah tentu ia bergantung kepada waktu pejabat.
Apabila tiba gilirannya, dia terus dipanggil untuk urusan pengambilan gambar. Seterusnya, dia membuat bayaran dan hanya perlu tunggu pasport siap sekitar 30 hingga 45 minit.
Tips Mohon Pasport di KLIA
Dohan berkongsi beberapa tips penting bagi mereka yang ingin memohon pasport di Pejabat Pasport KLIA.
Waktu operasi Pejabat Pasport KLIA adalah pada hari Isnin hingga Jumaat, antara jam 8 pagi hingga 5 petang. Pada hari Jumaat, pejabat akan tutup dari jam 12 tengah hari hingga 2.45 petang untuk memberi ruang kepada waktu solat Jumaat.
Dia mencadangkan supaya individu datang seawal jam 7 pagi untuk beratur mengambil nombor giliran. Sebaliknya, bagi individu yang mempunyai masa terluang boleh datang sekitar jam 10 pagi untuk mengambil nombor giliran bagi sesi petang.
Bagi memohon pasport, individu perlu membawa kad pengenalan dengan cip yang masih elok berfungsi, serta satu salinan kad pengenalan hitam putih.
Pembayaran di Pejabat Pasport juga menggunakan pembayaran nirtunai dan tidak menerima sebarang wang kertas. Oleh itu, pastikan terdapat baki yang mencukupi dalam kad debit, kad kredit atau e-wallet. Harga bagi pasport adalah mengikut kategori seperti dalam jadual di bawah.

Tambahnya, pemohon juga tidak perlu mengisi sebarang borang kerana ia akan menggunakan data yang diambil daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Di samping itu, pemohon juga akan ditanya mengenai ukuran ketinggian serta status perkahwinan mereka. Jadi pastikan anda tahu ketinggian anda.
Pakai Pakaian Yang Bersesuaian Untuk Gambar Pasport
Pemohon diingatkan supaya memakai pakaian yang bersesuaian seperti yang tertera di laman web Jabatan Imigresen Malaysia.
- Pakaian berwarna gelap serta menutupi bahu dan dada
- Tidak memakai topi
- Rambut tidak melindungi wajah dan tidak menutupi dahi bagi yang memakai tudung
- Pemakaian lensa mata (berwarna) dan cermin mata tidak dibenarkan
- Pemohon yang memakai tudung harus memakai tudung berwarna gelap
Common: baju warna gelap. Tudung warna gelap.
— dohan (@dohankhairudin) July 10, 2023
Lelaki: sisir rambut elok. Dahi jangan berkilat. Baju berkolar.
Wanita: rambut tak boleh tutup dahi. Make up allow, tapi minimal to none. No lashes extension. Muka jangan berkilat
Rambut kalau boleh jgn blonde.
Dohan juga berkongsi tips yang diterima daripada pegawai imigresen sendiri, iaitu datang ke pejabat berkenaan antara hari Selasa hingga Khamis kerana tidak ramai pemohon pada hari-hari tersebut.
Mereka yang berminat untuk membuat permohonan pasport di Pejabat Pasport KLIA boleh mencari LTPC KLIA1, Sepang di Waze. Bayaran tempat letak kereta adalah sebanyak RM3 bagi setiap jam.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.