Now Reading
Meta Lancar Threads, Adakah Ia Bakal Jadi Pesaing Twitter?

Meta Lancar Threads, Adakah Ia Bakal Jadi Pesaing Twitter?

Meta melancarkan Threads yang kelihatan serupa dengan Instagram tetapi mempunyai ‘rasa’ seperti Twitter, cuma tanpa Elon Musk.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Twitter telah bertahun lamanya menjadi pemain utama dalam kategori blog mikro media sosial. Namun, kini ia mungkin berhadapan dengan satu pesaing utama.

Meta secara rasminya melancarkan Threads hari ini (6 Julai), satu aplikasi Instagram yang berfungsi bersama-sama akaun Instagram, jika pengguna memilih untuk mengaktifkannya.

Pengguna perlu memuat turun aplikasi Threads dari Google Play Store atau Apple App Store dan memilih akaun Instagram yang hendak digunakan dengan aplikasi tersebut.

The Rakyat Post kini boleh ditemui di Threads dan kami amat menghargai mereka yang mengikuti kami di platform tersebut. Kami boleh ditemui di sini untuk laman Bahasa Melayu atau di sini untuk laman Bahasa Inggeris.

Hanya dua jam setelah Meta melancarkan Threads, ia telah dimuat turun lebih 2 juta kali. Statistik ini dikongsi oleh pengasas Meta, Mark Zuckerberg dalam satu hantaran Threads hari ini.

Namun begitu, Threads masih belum boleh digunakan di peranti desktop. Pautan Threads ini akan mengarahkan pengguna ke satu kod QR untuk memuat turun aplikasi tersebut.

Pada masa yang sama, jika anda terjumpa threads.com melalui peranti desktop, ketahuilah bahawa ia bukan aplikasi Meta yang dimaksudkan. Threads.com merupakan satu alat kerja untuk pasukan kerja, dan setelah Meta menggunakan nama yang serupa, mereka terpaksa menyatakan di halaman log masuk bahawa mereka bukan “aplikasi sosial dari Instagram.”


Masalah Yang Memeningkan Kepala Pengguna Twitter

Sejak jutawan Elon Musk mengambil alih Twitter, platform tersebut telah dilanda pelbagai isu serta memeningkan kepala pengguna dengan pelaksanaan ‘paywall’.

Bukan itu sahaja, akaun yang telah disahkan turut tertakluk kepada ‘paywall’ tersebut yang bermakna pengguna perlu melanggan Twitter jika ingin mengekalkan tanda ‘verified’ berwarna biru.

Terkini, pengguna berdepan dengan isu untuk melihat ciapan dan Musk mengumumkan bahawa mereka mengenakan had sementara “untuk menangani tahap pengikisan data dan manipulasi sistem yang melampau.”

Pada mulanya, dia berkata akaun yang disahkan dihadkan untuk membaca 6,000 ciapan sehari, manakala akaun tidak disahkan hanya boleh membaca sehingga 600 ciapan. Akaun tidak disahkan baharu pula cuma boleh melihat 300 ciapan sehari. Nilai ini kemudian dinaikkan kepada 10,000, 1,000 dan 500 masing-masing.

Aplikasi tersebut dilihat telah kembali kepada asal, tetapi tidak jelas sama ada had tersebut masih diguna pakai atau tidak.


Aplikasi Baharu Dalam Dunia Media Sosial

Threads menggunakan susun atur dan antara muka (interface) Instagram yang berasaskan teks. Pengguna boleh berkongsi gambar, tetapi garis masa disusun menyerupai Twitter dengan teks sebagai fokus utama berbanding gambar di platform itu.

Berbeza dengan Twitter, Threads meletakkan 500 had karakter bagi setiap hantaran. Twitter mengekalkan had 280 bagi akaun percuma, manakala pemilik akaun yang dilanggan boleh mengarang sehingga 10,000 karakter.

Video yang dimuat naik di Threads boleh sehingga 5 minit lamanya.

Satu-satunya kekurangan Threads yang dilihat setakat ini adalah pengguna hanya boleh log masuk ke satu akaun Threads bagi satu peranti, tidak seperti Instagram yang membenarkan penggunaan banyak akaun.

Di samping itu, terdapat pertanyaan tentang perbendaharaan yang sesuai untuk Threads. Dengan Twitter yang telah wujud lebih satu dekad, ia telah mempunyai perbendaharaan katanya yang tersendiri. Walaupun mungkin tidak diketahui di seluruh dunia, perkataan “tweet” kelihatan telah menjadi satu perbendaharaan kata yang diterima pakai.

Jadi, bagaimana dengan perbendaharaan kata untuk Threads? Kami mengalu-alukan cadangan dari anda!


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd