Now Reading
Bagaimana OPR Mengawal Inflasi, Ini Yang Patut Anda Tahu

Bagaimana OPR Mengawal Inflasi, Ini Yang Patut Anda Tahu

Bagi menangani tekanan inflasi yang sedang berlaku, lazimnya bank pusat di sesebuah negara akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Tidak dapat dinafikan, kenaikan harga barangan akibat beberapa faktor seperti inflasi sememangnya membebankan sesiapa sahaja khususnya golongan B40. 

Bukan sahaja anda, malah kami sendiri turut merasainya memandangkan ia melibatkan barangan keperluan asas seperti ayam, daging, minyak, dan lain-lain.

Apa itu inflasi?

Persoalannya apakah maksud sebenar inflasi?

Secara ringkasnya, inflasi merupakan kenaikan harga pada sesuatu barangan atau perkhidmatan dalam satu tempoh masa. Buat masa ini, inflasi bukan sahaja melanda Malaysia, bahkan turut berlaku di seluruh dunia. 

Menurut laporan Berita Harian, pada Ogos 2022, kadar inflasi di Malaysia meningkat dari 4.4% kepada 4.7% berbanding sebulan sebelumnya.

Walau bagaimanapun, kadar inflasi Malaysia masih kekal antara yang terendah di dunia.

Inflasi kebiasaannya diukur melalui pengiraan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi perubahan harga item-item di dalam bakul tetap barangan dan perkhidmatan (constant basket of goods and services) dalam satu tempoh masa. 

Pemilihan item-item di dalam bakul tetap barangan dan perkhidmatan ini pula diperoleh melalui Survei Perbelanjaan Isi Rumah (HES) yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) iaitu sebanyak dua kali dalam tempoh lima tahun.

Kesan inflasi kepada masyarakat

Inflasi menyebabkan perubahan kuasa beli mata wang kita, khususnya pada pasaran semasa. Ini sekaligus menyebabkan kuasa pengguna atau pembeli menurun. 

Keadaan ini akan menyebabkan kenaikan harga barangan kegunaan semasa hingga menjadi lebih mahal. 

Apa penyebab berlakunya inflasi?

Banyak perkara yang boleh mendorong kepada kenaikan inflasi. Selain pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) dan peningkatan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) yang menyebabkan kejatuhan banyak mata wang di dunia termasuk ringgit, risiko geopolitik seperti perang Russia-Ukraine serta harga minyak dunia yang tidak stabil juga menjadi faktor yang tidak diduga. 

Selain itu pembukaan semula ekonomi di seluruh dunia selepas penularan wabak Covid-19 turut menjadi faktor berlakunya inflasi global ini.

Di Malaysia pula, permintaan daripada orang ramai telah semakin bertambah selepas ekonomi dibuka semula. Seiring dengan itu, harga barangan turut meningkat dengan lebih cepat.

Naikkan OPR untuk kawal inflasi

Jadi bagi menangani tekanan inflasi yang sedang berlaku, lazimnya bank pusat di sesebuah negara akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Sebelum kita pergi lebih jauh, kami rasa anda semua patut fahami apa itu OPR terlebih dahulu.

OPR atau Overnight Policy Rate merupakan satu kadar faedah PENTING yang menentukan rangka kerja hala tuju kewangan negara. Ini kerana sebarang perubahan pada aras OPR akan mempengaruhi kadar faedah yang ditawarkan oleh bank untuk tujuan pinjaman dan simpanan anda.

Mata asas OPR juga mungkin naik pada sesuatu masa dan mungkin juga turun pada beberapa bulan berikutnya bergantung kepada keadaan inflasi dan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

BACA JUGA : Ini Yang Anda Perlu Tahu Tentang Kenaikan Kadar Dasar Semalam (OPR)

Namun sebarang kenaikan atau penurunan berkaitan OPR tidak boleh dibuat sesuka hati. Sebaliknya ia akan dipantau dan ditentukan oleh satu badan khas yang berkecuali – bukan dikawal kerajaan atau mana-mana pihak.

Aras OPR ditentukan MPC BNM

Sebagai contoh di Malaysia, kita mempunyai Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) yang dianggotai oleh Gabenor, Timbalan Gabenor dan beberapa pakar ekonomi. 

Tugas mereka juga adalah jelas – bertanggungjawab memantau keadaan semasa bagi memastikan kesejahteraan ekonomi negara dapat dilindungi di bawah Akta Bank Negara 2009.

Ini boleh dilihat apabila MPC BNM pada 2020 bertindak menurunkan kadar OPR ke tahap yang lebih rendah sebanyak beberapa kali disebabkan beberapa faktor terutamanya keadaan ekonomi dunia yang tidak stabil ekoran dari penularan wabak Covid-19.

Perubahan OPR Malaysia dari 2019 hingga 2022

Tujuan kadar OPR ini diturunkan secara berkala hingga ke tahap terendah (mencapai 1.75%) adalah untuk memberi lebih tunai kepada pengguna memandangkan penurunan OPR bermakna akan ada pengurangan kadar bank, kadar faedah, dan yang pastinya jumlah ansuran bulanan pinjaman.

Justeru apabila orang ramai mempunyai lebihan tunai, mereka akan mula berbelanja seterusnya menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Ini dilihat ketara apabila ramai rakyat Malaysia yang mula melakukan perbelanjaan seperti membeli kereta baru, membuat pinjaman, berhibur bersama keluarga selain melancong dalam negara selepas hampir dua tahun ‘terkurung’ di dalam rumah akibat Covid-19. 

Malah lebih positif lagi apabila ada juga yang dilihat sudah mula melancong ke luar negara di saat ringgit masih lagi lemah. 

Kadar OPR kekal rendah untuk tempoh yang lama tidak baik untuk negara 

Namun tindakan mengekalkan kadar OPR pada aras yang rendah untuk satu tempoh yang lama bukanlah jalan terbaik. Ia sebaliknya perlu seiring dengan keadaan semasa demi kebaikan ekonomi negara.

Sebagai contoh, situasi di Turkiye menunjukkan bahawa kadar OPR yang rendah selain dasar monetari yang digunakan telah menyebabkan inflasi di negara itu terus melonjak melebihi 80% pada September. 

Pasti anda tak mahu perkara sebegini menimpa negara kita bukan? 

Memandangkan ekonomi Malaysia sedang dalam proses pemulihan, banyak penganalisis dan pakar ekonomi mula menjangkakan akan berlaku sedikit kenaikan OPR. Malah ianya disuarakan beberapa minggu atau bulan sebelum pengumuman kenaikan dilakukan BNM. 

MIDF Research menerusi satu nota tinjauan pada September lalu menyifatkan kenaikan mata asas OPR pada bulan itu sudah diramal berikutan peningkatan ekonomi domestik.

Malah organisasi ini menyifatkan tumpuan semasa penetapan dasar monetari BNM itu adalah bagi memastikan pemulihan ekonomi Malaysia yang lebih mampan dan sejajar dengan aliran kenaikan inflasi asas serta permintaan domestik yang lebih kukuh daripada jangkaan.

OPR perlu dinaikkan bagi mengawal kenaikan harga 

Menurut Penganalisis Ekonomi Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Profesor Madya Dr Baharom Abdul Hamid pula, orang ramai perlu sedar bahawa OPR perlu dinaikkan atau polisi penguncupan dilakukan bagi mengawal kenaikan harga barang dari terus melonjak.

“Orang ni kadang-kadang dia silap mengatakan BNM menaikkan kadar faedah ini menyusahkan tetapi sebenarnya mereka menaikkan OPR itu demi untuk memperlahankan kenaikan harga barang atau memberhentikan kenaikan harga barang.”

Penganalisis INCEIF, Prof Madya Dr Baharom Abdul Hamid.

Sebaiknya jimat berbelanja, banyakkan simpanan

Namun pelarasan OPR pastinya akan memberikan kesan kepada kadar pinjaman.

Buat orang awam khususnya peminjam, seiring dengan kenaikan tersebut maka bank-bank lain akan turut menaikkan kadar faedah yang mereka guna pakai dalam perjanjian dengan kita sebagai peminjam.

Antara yang terkesan pastinya pinjaman perumahan, dan pembiayaan ASB financing sedia ada. 

Meskipun kenaikan dilakukan secara berperingkat dan perlahan-lahan (setakat ini 25 mata asas bagi setiap kenaikan), kita seharusnya sudah bijak merancang dan berhemah dalam pengurusan kewangan masing-masing antaranya dengan mengelakkan diri dari membuat pinjaman atau pembiayaan baharu selain bijak membuat pilihan dengan tidak membeli barangan import.

Banyak menyimpan lagi banyak pulangan!

Dari sudut positifnya pula, pelarasan OPR juga akan menggalakkan orang ramai untuk lebih  berjimat dan menyimpan memandangkan kenaikannya akan memberikan faedah kepada pendeposit tetap (Fixed Deposit) dan mereka yang menyimpan wang di bank. Ini kerana kenaikan OPR akan turut menyebabkan berlakunya kenaikan dividen. 

Dengan ini, individu yang menyimpan di dalam akaun simpanan tetap (FD) bakal menikmati pulangan yang lebih tinggi akibat daripada kenaikan OPR. 

Malah ianya telah dibuktikan menerusi beberapa siri peningkatan kadar faedah FD yang pastinya membuatkan kalian tidak senang duduk berikutan pelarasan OPR oleh bank pusat itu sepanjang tahun 2022 ini.

Bagi memudahkan anda, rujuk perbezaan kadar FD oleh salah satu bank tempatan, Maybank yang berjaya kami kumpulkan di bawah iaitu pada September 2021 (sebelum OPR dinaikkan), Julai 2022 (OPR kali ke-2 dilaraskan), dan September 2022 selepas kenaikan ke-3 tahun ini.

(I) Kadar FD semasa OPR 1.75%
(II) Kadar FD semasa OPR 2.25%

(III) Kadar FD semasa OPR 2.50%

Diringkaskan lebih banyak anda menyimpan pada masa ini, lebih tinggi ‘ganjarannya’.
Jadi dapat dirumuskan, kenaikan OPR bukanlah dilakukan secara membuta tuli. Ianya dilakukannya secara berhati-hati dan beransur-ansur selepas MPC melakukan penelitian berkala. Ianya juga diputuskan demi kebaikan ekonomi negara untuk jangka masa panjang.

Meskipun perit buat segelintir kita khususnya golongan B40 dan M40, percayalah kenaikan OPR ini adalah untuk membendung peningkatan kadar inflasi dan mengukuhkan nilai ringgit.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd