Now Reading
Harga Bayar Tidak Sama Dengan Yang Dipamerkan? Lakukan Aduan Menerusi ezAdu KPDN

Harga Bayar Tidak Sama Dengan Yang Dipamerkan? Lakukan Aduan Menerusi ezAdu KPDN

Pengguna berhak mendapatkan harga terendah yang ditawarkan jika harga dalam sistem berbeza dengan yang dipamerkan di rak jualan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Adakah anda pernah mengalami situasi di mana harga semasa membuat pembayaran berbeza dengan harga dipamerkan? Kalau lebih murah tak apa lagi, tapi selalunya harga yang kena bayar tu lagi mahal!

Bila situasi ini berlaku, sesetengah orang memilih untuk bayar sahaja mengikut harga di kaunter pembayaran. Ini mungkin kerana tidak tahu mengenai hak pengguna ataupun enggan ‘bergaduh’ dengan juruwang.

Namun begitu, sebagai pengguna, anda sebenarnya ada hak untuk mempertikaikan perkara ini.

Untuk makluman, Malaysia mempunyai Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) yang merangkumi undang-undang berkenaan harga barangan dan penandaan harga.


Pengguna Bayar Harga Lebih Murah Yang Ditawarkan

Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh sebelum ini mengingatkan pengguna supaya memastikan harga yang dipamerkan sama dengan harga sistem sebelum melakukan pembayaran.

Sehubungan dengan itu, jika harga dipamerkan di rak atau tanda harga tidak sama dengan harga di kaunter bayaran, pengguna layak mendapat harga terendah antara keduanya.

Namun begitu, penjaga kaunter bayaran mungkin enggan memberikan harga terendah kerana tidak tahu mengenai undang-undang ini. Jadi, apa yang boleh anda lakukan?

KPDN menasihati pengguna supaya tangkap gambar harga di rak jualan atau tanda harga dan semak resit pembelian untuk kenal pasti perbezaan harga.

Jika pembelian dilakukan di kedai atau pasaraya yang mempunyai kaunter perkhidmatan, pengguna boleh memohon untuk mendapatkan harga terendah supaya pemulangan perbezaan dapat dilakukan.

Kegagalan peniaga untuk melakukan perkara sedemikian boleh dilaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).


Aplikasi ezAdu Permudahkan Proses Aduan

Anda tak dapat hak sebagai pengguna? Jangan lupa untuk buat aduan kepada pihak berkuasa.

Salah satu cara yang boleh digunakan bagi melakukan aduan tersebut adalah menerusi aplikasi ezAdu yang dikeluarkan oleh pihak KPDN.

Sumber gambar: @xxseasighs/ X

Menerusi aplikasi tersebut, anda boleh memfailkan aduan secara pantas dan mudah supaya tindakan dapat diambil oleh pihak KPDN.

Pengguna juga boleh menyemak status aduan dan tindakan yang telah dibuat menerusi ezAdu. Malah, sejarah aduan turut akan disimpan di dalam aplikasi itu untuk rujukan pada masa akan datang.

Ia merangkumi 26 kategori aduan termasuk berkenaan harga barangan, iklan mengelirukan, perihal halal dan barang kawalan.

Aduan yang dilakukan akan melalui enam proses seperti berikut:

  1. Aduan diterima oleh pihak KPDN.
  2. Aduan ditapis untuk menentukan ia di bawah seliaan KPDN atau agensi lain.
  3. Pelantikan Pegawai Penyiasat.
  4. Proses penyiasatan.
  5. Penyelesaian aduan dan kemaskini maklumat dalam sistem e-Aduan 2.0.
  6. Pengadu menerima makluman hasil siasatan.

Wanita Guna ezAdu Terus Dapat ‘Refund’

Seorang pengguna laman X, Niesa (@xxseasighs), telah berkongsi pengalamannya menggunakan aplikasi ezAdu untuk mengemukakan aduan.

Menurut perkongsiannya, dia telah dikenakan bayaran RM15 di sebuah restoran untuk makanan yang sepatutnya berharga RM8 berdasarkan menu. Hampir dua kali ganda lebih mahal!

Hasil aduannya, seorang Pegawai Penyiasat telah melawat restoran tersebut sebanyak dua kali untuk melakukan siasatan, sehingga ke tahap premis itu hampir didenda. Tidak lama kemudian, pengurus restoran menghubungi Niesa untuk memberi pengembalian wang dan menawarkan satu hidangan percuma.

Bagi Niesa, aplikasi tersebut bersifat mesra pengguna. Berdasarkan gambar yang dikongsikan olehnya, dapat dilihat ezAdu sentiasa mengemaskini maklumat kepada penggunanya.

Ia juga mempunyai fungsi koordinat supaya pengguna dapat memastikan aduan dilakukan terhadap premis yang betul.


Selain daripada aplikasi ezAdu, anda juga boleh mengemukakan aduan melalui cara-cara di bawah.

  • Portal e-Aduan
  • Talian hotline 1-800-88-6800
  • Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC)
  • E-mel KPDN: e-aduan@kpdn.gov.my
  • Surat dihantar ke Ibu Pejabat atau mana-mana Pejabat KPDN
  • Bilik Gerakan Penguatkuasaan Negeri
  • WhatsApp KPDN: 019-279 4317

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd