[Video] Fenomena Ikan Bilis Terdampar Di Pulau Pangkor, Jabatan Perikanan Perak Akan Terus Pantau
Menurut Pengarah Jabatan Perikanan Perak, fenomena terbabit menyebabkan penduduk dan pengunjung mengambil kesempatan dengan mengutip ikan bilis yang terdampar.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPBM untuk updates terkini yang relevan dan menarik!
Sejak semalam (15 Ogos), tular di media sosial beberapa video menunjukan fenomena ribuan ikan bilis naik ke darat dan terdampar di Pulau Pangkor.
Menerusi perkongsian video yang dimuat naik di laman Facebook akaun Hairul Abdul Karim, terlihat menerusi rakaman ikan-ikan terbabit bergelimpangan di atas persisiran pantai.
Jabatan Perikanan Perak akan pantau fenomena terbabit
Susulan kejadian itu, Jabatan Perikanan Negeri Perak memaklumkan akan memantau fenomena yang berlaku di pantai Pasir Bogak, Pulau Pangkor itu dari semasa ke semasa.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Perak, Noraishah Hashim berkata pihaknya menerima maklumat bahawa insiden itu berlaku kira-kira pada 7.30 hingga 8.00 malam Sabtu lalu (14 Ogos).
“Insiden yang sama berlaku pada Jumaat, didapati anak ikan tamban juga naik dan terdampar di pantai tersebut dalam kuantiti yang kecil,” ujarnya dalam kenyataan media semalam.
Insiden hanya berlaku di pantai Pasir Bogak
Menurut Noraishah, fenomena terbabit menyebabkan penduduk dan pengunjung di sekitar kawasan itu mengambil kesempatan dengan mengutip ikan bilis yang terdampar di tepi pantai.
Tambahnya, dianggarkan lebih dua kilogram ikan bilis telah dikutip oleh mereka di sepanjang kawasan di pantai Pasir Bogak.
Menurutnya lagi, berdasarkan siasatan yang dijalankan, kejadian tersebut hanya berlaku di sekitar kawasan pantai Pasir Bogak sahaja.
Kemungkinan ikan besar mengejar ikan bilis terbabit
“Maklumat daripada nelayan yang menangkap ikan di kawasan sekitar memaklumkan kemungkinan ikan besar terutama ikan alu-alu yang mengejar dan memakan ikan bilis menyebabkan ikan bilis melompat ke pantai.
“Ada maklumat juga memaklumkan kemungkinan lambakan ikan bilis di kawasan pantai Pasir Bogak disebabkan cahaya lampu di kawasan tersebut,” katanya lagi.
Ada 3 faktor saintifik penyebab ikan naik ke pantai
Bagaimanpun Noraishah berkata, berdasarkan kajian saintifik terdapat tiga faktor penyebab ikan bilis terbabit naik ke pantai, antaranya ialah perubahan drastik suhu air laut, pertumbuhan alga serta plankton selain arus dan gelombang yang tinggi.
Sekitar Disember tahun lalu, orang ramai di kawasan Pantai Pontian, Rompin turut berdepan fenomena sama apabila hidupan laut seperti lala, siput dan kepah naik dan terdampar di pesisir pantai itu.
Kredit gambar: FB Hairul Abdul Karim
Kongsikan cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRP: Facebook, Twitter, and Instagram.