Kenapa Ada Logo ‘Dolphin Friendly’ Pada Tin Tuna? Ini Sebabnya
Logo ‘dolphin friendly’ yang tertera pada tin tuna berkait rapat dengan proses penangkapan ikan.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Lazimnya, setiap produk makanan yang dibeli di pasaran pasti tersedia dengan maklumat penting pada bungkusan. Sebagai contoh kandungan nutrisi, logo halal, lokasi pembuatan dan sebagainya.
Namun adakah anda sedar terdapatnya logo ‘dolphin friendly’ di belakang tin tuna yang sedia dimakan?
Wanita Ini Perjelas Mengapa Tin Tuna Ada Logo ‘Dolphin Friendly’
Baru-baru ini, tular satu hantaran oleh (@buttersy4_) apabila wanita itu membalas ciapan tentang tips makan secara sihat. Dalam ciapan tersebut, seorang lelaki telah berkongsi satu gambar tin tuna beserta dengan logo ‘dolphin friendly’.
Hantaran tersebut kemudian mencuri perhatian wanita tersebut yang dikenali sebagai Betty untuk mengulas dengan lebih lanjut tentang logo tertera.
Menurutnya, tiada sebarang ikan lumba-lumba yang berada dekat dengan proses menangkap tuna. Tambah Betty, logo itu juga bermaksud tiada satu pun ikan lumba yang mati atau tercedera.
Kenapa Logo ‘Dolphin Friendly’ Wujud?
Memetik National Geographic, penggunaan logo ‘dolphin friendly’ telah diguna pakai sejak beberapa abad lalu oleh sesetengah negara. Perkara tersebut bermula apabila satu fenomena muncul pada pertengah tahun 1900-an.
Di Lautan Pasifik tropika timur, kelihatan banyak jenis ikan lumba-lumba berenang di atas sekumpulan tuna bersirip kuning. Bagaimanapun, ahli saintis tidak dapat mengesahkan perkara yang sebenarnya berlaku.
Sejak fenomena itu terjadi, para nelayan mula mencari ikan lumba-lumba untuk dijadikan sebagai ‘pancing’ bagi menangkap tuna.
Pada lingkungan tahun tersebut, bot telah mengepung ikan lumba-lumba dan melontarkan pukat bagi menangkap haiwan tersebut. Menjelang 1970 pula, ratusan ribu ikan lumba-lumba dilaporkan mati pada setiap tahun.

Susulan keganasan terhadap ikan lumba-lumba, orang ramai mula mengambil berat dan ingin menyelamatkan haiwan yang tidak bersalah itu. Oleh itu, pelbagai kempen selamatkan ikan lumba-lumba mula muncul di televisyen sekitar tahun 1988.
Manakala syarikat tuna mula membeli tuna daripada nelayan yang tidak membunuh ikan lumba-lumba dan melabelkan tin mereka dengan logo ‘dolphin friendly’.
Logo ‘Dolphin Friendly’ Digunakan Sebagai Teknik Pemasaran?
Sesetengah tin tuna juga dilabel sebagai ‘dolphin safe’ yang membawa maksud sama.
Namun begitu, banyak juga syarikat pembuatan tin tuna yang menyalahgunakan label tersebut. Hal ini kerana syarikat tersebut dikatakan hanya menggunakan logo ‘dolphin friendly untuk tujuan pemasaran dan keuntungan semata-mata.
Terdahulu, satu produk dikenali sebagai Chicken of the Sea’s didakwa menyalahgunakan label tersebut kerana syarikatnya tidak menyokong pengharaman atau mengawal teknik memancing yang tidak mampan.

Ramai Netizen Baru Tahu Tentang Maksud Logo ‘Dolphin Friendly’
Menjengah ke ruangan balas, sesetengah daripada netizen berkata mereka baru sahaja tahu tentang info berkenaan.
“Ingatkan label tu maksudnya boleh bagi makan dekat dolphin,” ujar seorang warganet.

Malah, ada juga yang berterima kasih kepada Betty kerana sudi berkongsi ilmu baru kepada orang ramai.
“Ini ilmu baru, terima kasih. Saya ingat ikan lumba-lumba ni baik dan membantu nelayan menangkap ikan,” jelas seorang individu.

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram