Now Reading
“Agak Sedih Dia Tak Ingat Saya” – Lelaki Kongsi Kisah Isteri Lupa Ingatan Lepas Otak Dijangkiti Kuman

“Agak Sedih Dia Tak Ingat Saya” – Lelaki Kongsi Kisah Isteri Lupa Ingatan Lepas Otak Dijangkiti Kuman

Isterinya, Noor Syamimi Rohim bukan sahaja lupa ingatan malah mengalami masalah hilang daya penglihatan dan tidak mampu berjalan selepas otak dijangkiti kuman pada Jun 2022.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Bila berbicara tentang orang tersayang, pasti hati anda akan remuk apabila mereka dijangkiti sebarang penyakit terutamanya yang kronik.

Mana tidaknya, sebelum ini selalu sahaja lihat mereka sihat seperti biasa namun kali ini, ada yang sampai tidak mampu untuk meneruskan kehidupan harian seperti manusia yang lain.

Dalam kes seperti itu, kita boleh lihat ramai individu yang telah kentalkan hati mereka untuk menjaga insan tersayang walaupun terdapat pelbagai cabaran dan rintangan.

Baca Artikel Berkaitan: Pelajar SPM Jaga Ibu Sakit Hingga Akhir Hayat Raih 11A Kini Ditaja Lesen Motor & Kereta Selepas Tawaran Biasiswa


Isteri Lupa Ingatan Lepas Dijangkiti Kuman Pada Otak

Baru-baru ini, satu kisah telah mendapat perhatian warganet iaitu tentang seorang lelaki dikenali sebagai Asdina Arffin Suwadi, 32, yang kental untuk menjaga si isteri selepas lupa ingatan.

“Remuk hati apabila isteri tak ingat yang kami sudah berkahwin dan saya adalah suaminya, malah dia ingat kami masih berkawan. Tetapi itu bukan sebab untuk saya meninggalkannya dalam keadaan diri yang tidak berdaya,” kata Asdina Arffin.

Menurut lelaki itu, isterinya Noor Syamimi Rohim, 33, telah dijangkiti kuman di bahagian otak pada Jun 2022 lalu yang menyebabkan dia kini tidak mampu berjalan selain hilang daya penglihatan.


Isteri Ingat Kenangan Pada 2018

Jelas si suami, pasangannya itu sebelum ini merupakan seorang yang sangat aktif, namun kehidupannya berubah setelah dijangkiti kuman di mana dia memerlukan pertolongan individu lain bagi menguruskan diri sendiri.

Difahamkan, Noor Syamimi mengalami masalah daya ingatan dan kebanyakan memori yang diingatinya adalah kenangan pada tahun 2018. Bahkan, dia juga beranggapan bahawa beberapa ahli keluarga yang sudah meninggal dunia masih lagi hidup hingga ke hari ini.

“Isteri sudah menjalani dua pembedahan di kepala termasuk membuang cecair yang menyebabkan dia tak boleh berjalan tetapi tangannya boleh digerakkan. Ketika ini, keadaan kesihatannya nampak ada perubahan,” ujar si suami.

Sumber: TikTok (@asdinaarffin)

Noor Syamimi Tak Ingat Pernah Berkahwin

Apa yang lebih membuatkan Asdina berasa sedih adalah isteri tercinta tidak ingat bahawa mereka sudah berkahwin. Walau bagaimanapun, memori mereka berkawan masih segar di ingatannya.

“Saya agak sedih dan terkilan kerana dia tak ingat saya sebagai suami tetapi dia tahu kami memang berkawan, nama penuh saya dan nama panggilan saya yang dia panggil iaitu ‘shuben’.

“Apabila saya cakap kami sudah berkahwin, dia cakap belum lagi dan perasaan itu memang sedih terutama ketika mula-mula dia tak ingat saya sebagai suaminya. Ketika itu hati belum betul-betul reda menerima ujian ini,” jelasnya.

Lelaki yang juga merupakan seorang tukang rumah itu berkata dia mengumpul segala kekuatan dan semangat untuk menjaga Noor Syamimi kerana dia sedar ia merupakan tanggungjawabnya sebagai seorang suami.

“Saya bukan saja berjanji dengan isteri yang mahu sentiasa bersama di saat susah dan senang tetapi turut berjanji pada keluarganya dan Allah SWT saat akad nikah dilafazkan. Jadi saya akan cuba menjaganya dengan baik selagi ada daya.

“Perkahwinan kami belum dikurniakan anak dan sekarang kami juga diuji dengan keadaan kesihatan isteri tetapi bagi saya perkahwinan ini bukan hanya berlandasan nafsu tetapi sebenarnya mencari keredaan Allah SWT,” luahnya, lapor Harian Metro.


Si Suami Risau Akan ‘Pergi’ Dahulu Sebelum Isteri Sihat

Asdina Arffin turut mengganggap tiada alasan buat dirinya untuk tidak menjaga si isteri yang berada dalam keadaan sebegitu.

Dalam pada insan kesayangan diuji dengan masalah kesihatan, dia juga tidak pernah berhenti berharap dan mendoakan isterinya kembali pulih seperti sedia kala.

“Perkara yang paling saya takuti seandainya saya ‘pergi’ dulu sebelum dia yang masih belum sihat sebab itu saya doa kalau berlaku apa-apa kepada saya biarlah isteri sihat dulu.

“Ketika ini saya yang menguruskannya dan adik bantu jika ada kerja di luar. Kalau boleh selagi ada daya saya memang mahu menguruskan isteri,” katanya.

Untuk info, lelaki itu sedang memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk Noor Syamimi.

Semoga perkongsian ini membakar semangat orang di luar sana yang kini turut menjaga orang sedang sakit atau uzur. Ingatlah bahawa mereka yang meluangkan masanya untuk menjaga orang sakit akan dikurniakan ganjaran pahala oleh Allah SWT.

Baca Artikel Berkaitan: Bapa Terpaksa Berhenti Kerja Demi Jaga Anak Kesayangan Hidap Leukemia

Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Sanggup ‘Downgrade’ Kerja Untuk Jaga Ibu Bapa, Kisah Pilu Ini Undang Air Mata


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd