‘Payunglah’ Kini Tersedia Di Stesen MRT Buat Anda Yang Terperangkap Dalam Hujan
Kemudahan Payunglah untuk kegunaan ketika cuaca hujan ditawarkan kepada orang awam di lebih 10 stesen MRT dalam negara.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pernahkah anda terperangkap dalam keadaan hujan lebat kerana tidak mempunyai payung?
Dengan cuaca tidak menentu ketika ini, kadangkala susah nak menjangka bila waktu yang akan hujan.
Usah risau, dengan menggunakan Payunglah iaitu sebuah syarikat perkhidmatan payung kongsi, anda tidak perlu lagi risau tentang cuaca hujan jika sedang berada berhampiran stesen MRT.

Menurut laman web rasmi MRT, inisiatif Payunglah boleh didapati di lebih daripada 10 stesen MRT seluruh negara.
Kemudahan itu terdiri daripada lebih 500 jumlah payung tersedia dan akan ditambah lagi pada masa akan datang.
Bukan sahaja di stesen MRT, malah Payunglah juga boleh didapati di beberapa hotel sekitar kawasan bandar seperti:
- The Royale Chulan Damansara
- AnCasa Hotel Kuala Lumpur
- Furama Bukit Bintang
- Royale Chulan The Curve
- KIP Hotel Kuala Lumpur
Sewa Payung Dengan Harga RM2 Untuk Tempoh Sehari
Buat mereka yang berminat, pengguna boleh menyewa payung dengan hanya RM2 sahaja dalam tempoh sehari menerusi aplikasi Payunglah.
Setelah selesai sahaja menggunakan kemudahan itu, pengguna boleh memulangkan semula payung di kiosk Payunglah yang sama atau di cawangan lain.
Untuk info, orang ramai juga boleh menggunakan aplikasi atau laman web Payunglah bagi mencari payung yang tersedia dan ‘unlock’ kunci dari lokasinya.
Aplikasi tersebut bertujuan untuk mengenal pasti lokasi sewaan payung dan tempat di mana anda melakukan bil pembayaran.
Reaksi Netizen Tentang Kemudahan Payunglah
Menjengah ke ruangan komen Facebook Adiba Azhani, terdapat netizen yang dilihat memberikan reaksi positif terhadap kemudahan baru itu susulan cuaca hujan pada waktu petang tidak menentu sejak kebelakangan ini.
Walaupun perkhidmatan tersebut adalah idea yang baik, namun ada juga warganet berpendapat bahawa sesetengah individu akan menyalahgunakan payung dan sistem berkenaan.
Bagi menguatkan kenyataan tersebut, individu tersebut berkongsi kisah tentang kemudahan awam lain yang pernah dirosakkan sebelum ini.
“Basikal dulu pun jahanam sebab pengguna tak ada common sense,” kata seorang pengguna laman Facebook.
Sementara itu, seorang lagi netizen berkata bahawa syarikat Payunglah akan memperoleh keuntungan daripada kemudahan baru yang diperkenalkan.
“Payunglah berfungsi menerusi sistem deposit. Kalau tak pulangkan payung, Payunglah dapat duit kerana anda tidak amanah,” ujar seorang netizen.

Semoga selepas ini, masyarakat di Malaysia akan lebih berhati-hati apabila menggunakan perkhidmatan seperti Payunglah dan bertimbang rasa kepada pengguna yang lain.

Baca Artikel Berkaitan: Selangor, Perlis, Perak & 9 Negeri Perlu Waspada Amaran Ribut Petir Hingga 7 Malam Ini
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram