Now Reading
Kapal Selam Titan Hilang: Identiti 5 Mangsa Dikenalpasti

Kapal Selam Titan Hilang: Identiti 5 Mangsa Dikenalpasti

Salah seorang mangsa yang hilang dalam misi ekspedisi kapal selam Titan untuk melawat bangkai kapal Titanic ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif OceanGate Expeditions, Stockton Rush.

5 Identiti Mangsa Hilang Dalam Kapal Selam 'Titan' Lawat Titanic Dikenalpasti

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm atau ikuti berita kami menerusi aplikasi Lumi News untuk updates terkini & relevan!


Pada Ahad lalu (18 Jun), sebuah kapal selam Titan milik OceanGate Expeditions yang dinaiki oleh lima orang individu dilaporkan telah hilang ketika ingin melawat bangkai kapal Titanic di Lautan Atlantik Utara.

Operasi mencari dan menyelamat kini sedang dilakukan di tengah Lautan Atlantik untuk mencari kapal selam berukuran 6.5 meter panjang itu.

Kapal selam tersebut dipercayai terputus hubungan dengan permukaan kira-kira satu jam 24 minit selepas melakukan selaman.

Firma pelancongan OceanGate berkata kesemua kaedah sedang dikaji untuk menyelamatkan lima orang yang berada di dalamnya.

Namun misi pencarian kapal selam Titan yang berukuran seperti trak itu menjadi agak sukar kerana cabaran dari segi masa dan juga bekalan oksigen.

Sumber: OceanGate Expeditions

Ini kerana kapal selam Titan berkenaan hanya mempunyai bekalan oksigen kecemasan yang bertahan sehingga empat hari sahaja. Selain itu, faktor kawasan yang terpencil juga menyukarkan operasi mencari dan menyelamat.

BACA JUGA: Kapal Selam ‘Titan’ Bawa Pelancong Untuk Lawat Titanic Dilaporkan Hilang Sejak Ahad


Lima Identiti Mangsa Yang Hilang Telah Dikenalpasti

Memetik laporan New York Times, identiti mangsa lima penumpang yang hilang di dalam kapal selam Titan ketika melakukan misi untuk melawat bangkai kapal Titanic adalah:

1. Hamish Harding

Harding berusia 58 tahun merupakan seorang ahli perniagaan bergelar jutawan, pengembara dan juga pengerusi kepada syarikat jualan dan operasi udara berpangkalan di Dubai iaitu Action Aviation.

2. Stockton Rush

Rush merupakan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif OceanGate Expeditions yang mula membina syarikat berkenaan pada tahun 2009 dan berpangkalan di Everett, Washington, Amerika Syarikat. Beliau adalah individu yang mengemudi kapal selam Titan dalam ekspedisi ini.

3. Paul-Henri Nargeolet

Nargeolet pula seorang pakar maritim dari Perancis yang telah merekodkan lebih 35 selaman dilakukan ke lokasi bangkai kapal Titanic kerana juga menggalas jawatan sebagai pengarah penyelidikan bawah air untuk syarikat RMS Titanic Inc. Syarikat ini diberi hak untuk menyelamatkan artifak dari bangkai kapal Titanic.

4. Shahzada Dawood

Shahzada yang berusia 48 tahun adalah seorang ahli perniagaan yang juga merangkap Naib Pengerusi syarikat Engro Corporation. Beliau berketurunan Britain-Pakistan dan keluarganya antara golongan terkaya di Pakistan.

5. Suleman

Suleman adalah anak lelaki berusia 19 tahun kepada Shahzada Dawood yang turut mengikut misi untuk melawat bangkai kapal Titanic.


Maklumat Terkini Tentang Kehilangan Kapal Selam Titan Yang Bawa Pelancong Untuk Lawat Kapal Titanic

Semalam (21 Jun), Pesawat Kanada jenis P-3 telah mengesan bunyi di bawah permukaan air berhampiran kawasan pencarian kapal selam Titan yang hilang berhampiran bangkai kapal Titanic.

Pasukan penyelamat mengerahkan robot ‘underwater’ untuk mencari kawasan di tempat bunyi tersebut dihasilkan. Sehingga kini, kapal selam itu masih tidak ditemui tetapi operasi pencarian tetap diteruskan.

Pengawal Pantai Amerika Syarikat dilaporkan berkata pihak mereka tidak pasti sumber dari mana datangnya bunyi tersebut. Walau bagaimanapun, ia memberi sinar dalam misi pencarian mereka.

Kapal selam Titan. (Sumber: OceanGate Expeditions)

Menurut Rolling Stone, e-mel dalaman Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS mengenai pencarian mengatakan bahawa pasukan penyelamat mendengar bunyi seakan-akan dentuman di kawasan itu pada setiap 30 minit.

Menurut seorang pengembara dan rakan kepada Hamish Harding iaitu Chris Brown, dia berpendapat bahawa kru yang tidak dapat berkomunikasi dengan permukaan akan menghentak badan kapal selam supaya dapat dikesan oleh sonar.

Jika anda membuat bunyi yang berterusan, ia tidak akan didengari, tetapi apabila ia dilakukan setiap 30 minit, boleh jadi dentuman itu datang dari manusia. Saya pasti mereka semua sedang menjimatkan oksigen dan tenaga kerana di sana sejuk dan gelap.

Pengembara dan rakan kepada Hamish Harding, Chris Brown.

Tahap Keselamatan Kapal Selam Milik OceanGate Dipersoalkan

Memetik laporan CBS News, sebelum ini terdapat pihak yang mempertikaikan tentang tahap keselamatan kapal selam milik OceanGate ini iaitu wartawannya sendiri, David Progue.

Menurutnya, kapal selam tersebut pernah mengalami kes hilang komunikasi ketika beliau menyertai misi untuk melawat bangkai kapal Titanic pada musim panas lalu.

Bukan itu sahaja, bekas Pengarah Operasi Marin OceanGate, David Lochridge juga membuat satu tuntutan mahkamah pada tahun 2018 membabitkan kebimbangannya tentang isu keselamatan kapal selam terbabit.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd