Now Reading
[Video] “Harini Abang Belanja” – Peniaga Kantin Sekolah Halalkan Sepinggan Nasi Kepada Murid

[Video] “Harini Abang Belanja” – Peniaga Kantin Sekolah Halalkan Sepinggan Nasi Kepada Murid

Murid perempuan itu difahamkan hanya membawa RM1 dan tidak mempunyai wang mencukupi untuk membeli sepinggan nasi berharga RM2.

[Video] Abang Kantin Dipuji Lepas Halalkan Makanan Murid Sekolah Tak Cukup Duit

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Umum sedia maklum, sesi persekolahan pada tahun 2023 sudah bermula sejak 20 Mac lalu di seluruh Malaysia.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak masih bersekolah, pastinya persediaan dari segi kewangan agak mencabar kerana perlu membayar segala yuran dan kelengkapan seperti baju seragam, alat tulis, buku dan sebagainya.

Selain itu, para peniaga di kantin sekolah juga perlu bersiap sedia dari segi jenis hidangan jualan yang berkhasiat dengan harga berpatutan untuk memastikan murid-murid tidak kelaparan sepanjang sesi pembelajaran.


Peniaga Ajar Murid Sekolah Cara Untuk Membeli Makanan Di Kantin

Menerusi perkongsian video oleh seorang peniaga di sebuah kantin sekolah yang dimuat naik di laman TikTok miliknya (@apex2.0), lelaki itu menunjukkan situasi ketika sesi rehat murid-murid.

Rata-rata murid di dalam video berkenaan masih belum mahir untuk menggunakan wang bagi membeli makanan mereka.

Peniaga menjual hidangan seperti mi goreng dan nasi itu dilihat membantu setiap murid yang datang untuk membeli makanan dengan nada yang lemah lembut sambil mengajar mereka.

Namun kelibat seorang murid perempuan telah menarik perhatian petugas kantin itu kerana dia tidak mempunyai wang mencukupi untuk membeli sepinggan nasi berharga RM2.

Difahamkan murid tersebut hanya membawa RM1 sahaja ke sekolah pada hari tersebut.

Selepas melihat keadaan murid itu, petugas kantin berkenaan memberikan sepinggan nasi secara percuma kepada kanak-kanak tersebut dan memberi nasihat tentang jumlah wang yang perlu dibawa untuk hari seterusnya.

Adik ada lagi RM1? Kalau tak ada, tak apa. Ambil dulu makanan ini abang belanja. Esok bagitahu dekat ibu ayah bawa RM3, RM2 untuk beli nasi, RM1 beli air.

Peniaga kantin.

Video tersebut meraih perhatian ramai netizen sehingga meraih 800,600 jumlah tontonan setakat artikel ini ditulis.


Tindakan Peniaga Kantin Terima Pujian Dari Orang Ramai Di Media Sosial

Menjengah ke ruangan komen video tersebut, ramai yang memuji tindakan peniaga itu yang membantu para murid sekolah ketika membeli makanan sewaktu sesi rehat.

Malah, ibu bapa yang melihat video itu juga meluahkan berasa lega jika ada peniaga yang baik sepertinya bagi memudahkan urusan anak-anak mereka yang masih belum mahir menggunakan wang.

Dalam pada itu, netizen turut tersentuh hati melihat seorang kanak-kanak perempuan yang tidak mempunyai wang mencukupi untuk membeli sepinggan nasi.

Sesetengah netizen juga berkongsi pengalaman sama ketika berada di zaman sekolah dan hanya membawa wang belanja yang sedikit untuk makan ketika waktu rehat.

Sebak pula tengok situasi murid perempuan itu sebab kita tak tahu situasi keluarga dia sebenarnya macam mana kan?

Pada masa yang sama, bersyukur juga bila ada peniaga yang baik dan jujur seperti ‘abang kantin’ di dalam video tersebut.

Murid-murid yang baru nak belajar beli makanan sendiri pun tak takut dan seronok untuk mempelajari kemahiran baharu.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd