Now Reading
Normah’s Place Di Kota London Jadi Tumpuan Lokal Dengan Sentuhan Sajian Melayu

Normah’s Place Di Kota London Jadi Tumpuan Lokal Dengan Sentuhan Sajian Melayu

Normah’s Place terletak di dalam Pasar Queensway, di antara Stesen Queensway dan Stesen Bayswater di tengah-tengah Queensway, London.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Umum mengetahui, ramai juga rakyat Malaysia yang semakin berani menyebarkan sayap ke luar negara untuk mencipta kelainan di negara orang. Tak kiralah sama ada pembelajaran, bekerja, ataupun membuka perniagaan.

BACA JUGA: [Video] Rakyat Malaysia Jual Sate Di Australia, Raih Jualan Hingga 400 Batang Dalam Tempoh 3 Jam

Sama seperti apa yang dilakukan oleh pemilik restoran dari Malaysia di Queensway Market, London di mana wanita yang merupakan anak kedua daripada 13 orang adik beradik ini telah membuka sebuah restoran hidangan Melayu pada tahun 2020 yang dikenali sebagai Normah’s Place.


Sejarah Di Sebalik Pemilik Restoran Normah’s Place, London

Normah’s Place diasaskan oleh Normah Abd Hamid.

Ia adalah sebuah restoran Malaysia yang autentik dan tradisional. Normah’s Place terletak di dalam Pasar Queensway, di antara Stesen Queensway dan Stesen Bayswater di tengah-tengah Queensway, London.

Peluang untuk memasak buat ahli keluarga pada hujung minggu memberikan peluang buat Normah mempamerkan kemahiran dan minatnya dalam aktiviti memasak.

Sumber: Normah’s Place.

“Aroma rendang menyelinap ke rumah jiran bercampur dengan bau kari laksa, membuat jiran-jirannya yang ingin tahu mula muncul di pagar taman belakang.

​”Makanan adalah seperti ritual mengumpulkan orang bersama dan berkongsi dengan orang lain, kerana ia adalah keperluan manusia, dia menyambut jirannya ke rumah dan dapur dengan tangan terbuka,” jelas Normah.

Maka di situlah bermulanya perjalanan untuk membuka Normah’s Place di London.

Menu Di Normah’s Place, London

  • Curry Laksa King Prawn.
  • Asam Pedas Seabass.
  • Nasi Lemak Beef Rendang.
  • Roti Beef Rendang, dan pelbagai lagi.

Anda boleh lihat sendiri menu di bawah ini berserta dengan harga setiap hidangan di mana kesemuanya dijual di bawah £16 untuk setiap pesanan.

Malah, untuk mereka yang ingin memilih hidangan vegan juga turut disediakan.

Paling best, siap ada Teh Tarik. Layan betul minum di Kota London.

Menu di Normah’s Place.

Normah’s Place turut menyediakan servis penghantaran makanan menggunakan aplikasi seperti Uber Eats, Just Eat, serta deliveroo. Jadi buat penduduk tempatan atau pelanggan yang ingin menikmati hidangan dari restoran ini, duduk di rumah pun boleh pesan secara online sahaja.

Normah’s Place Dikunjungi Oleh Pempengaruh “Eating With Tod”

Memiliki 1 juta pengikut di Instagram, @eatingwithtod dilihat telah mengunjungi Normah’s Place dan menghasilkan video yang bertajuk; “Secret Malaysian Cafe In London”.

Menerusi video berkenaan, Tod / Tody dilihat begitu menikmati hidangan roti dan juga Beef Rendang oleh Normah. Malah, dia juga tidak ketinggalan memberikan rating 10/10 untuk setiap hidangan yang dipesan dan juga memberitahu bahawa dia sanggup makan di restoran berkenaan setiap hari.

Bab harga pula, Tody menyifatkan restoran itu sebagai murah.

“Prices were unreal too,” kata Tody.


A Walk Down Memory Lane

Setiap perjalanan hidup yang dihadapi oleh seseorang itu pastinya memiliki cerita menarik yang ingin diungkapkan. Sama juga seperti Normah. Pembukaan restoran di Kota London ini sememangnya memiliki cerita di sebaliknya.

Normah menulis menerusi laman sesawang rasmi Normah’s Place untuk memberitahu kepada orang ramai bahawa dia memiliki sebuah kisah ingin dikongsikan dengan para pelanggan restoran tersebut.

Normah’s Place diasaskan oleh Normah Abd Hamid.

“Saya datang dari keluarga besar. Kami ada tiga belas orang, sembilan perempuan dan empat lelaki. Salah seorang adik saya meninggal sebab demam panas. Dia baru umur setahun. Saya anak kedua dalam keluarga.

“Ayah saya meninggal pada umur 43 tahun dan ibu saya masa tu 32 tahun. Mak saya kahwin muda lepas habis sekolah rendah, umur tiga belas tahun. Bila saya tanya kenapa, dia kata zaman tu susah masa pendudukan Jepun. Tak selamat untuk perempuan duduk rumah tanpa lelaki,” tulis Normah.

Arwah Bapa Normah Seorang Yang Romantik, Sering Bangun Awal Pagi Untuk Ke Pasar

Mengulas lanjut, Normah menceritakan bahawa ayahnya adalah seorang yang baik dan romantik. “Macam mana kami tahu? Kami baca semua surat cinta yang ayah tulis untuk ibu. Ayah jarang ada di rumah sebab kerja. Dia kerja dengan Jabatan Perhutanan Malaysia. Dia pandai masak juga.

“Dia belajar masak dari nenek saya yang dulu ada kedai kecil masa dia membesar. Hujung minggu selalu jadi masa yang dinanti-nantikan. Ayah akan tunjuk kemahiran memasak dan beri nama hidangan ikut nama anak-anak dan kegemaran mereka.

“Saya akan bangun awal pagi ikut ayah ke pasar. Salah satu kenangan terbaik yang saya tak lupa. Masa berbasikal, kami akan bercerita tentang macam-macam. Saya akan kongsi cerita harian saya dengan ayah. Bila sampai pasar, hampir semua orang kenal ayah; sebab ayah memang orang baik.

“Sentiasa sedia hulur tangan membantu. Ayah ajar saya cara pilih ikan, ayam dan sayur segar. Dia juga ajar bahan apa nak beli untuk asam pedas, rendang, kari dan lain-lain. Kebanyakan masa kami tak beli sayur dari pasar sebab kami tanam sendiri. Ayam dan telur pun sama sebab kami bela sendiri secara organik,” jelas Normah.

Kehilangan Ayah, Ibu Pikul Tanggungjawab Jaga 12 Orang Adik Beradik

Walau bagaimanapun, setiap orang memiliki ujian tersendiri. Normah memberitahu bahawa dia telah kehilangan ayah kesayangan ketika umurnya 13 tahun.

“Saya berumur tiga belas tahun masa ayah meninggal. Ibu terpaksa pikul tanggungjawab jaga kami dua belas beradik. Dia bertekad nak pastikan semua anak habiskan pelajaran walaupun banyak cadangan dari saudara mara suruh berhenti.

“Ibu mula hari awal pagi sebagai penoreh getah, jadi pencuci sampai tengah hari dan petani sampai lewat petang. Kami anak-anak bergilir bantu ibu ikut sesi sekolah; masa ni saya sedar pentingnya latihan yang saya dapat dari arwah ayah. Saya bantu ibu buat pemasaran dan masak untuk keluarga sebelum pergi sekolah,” jelas Normah.

Jadi, itulah serba sedikit penceritaan sejarah tentang pengasas Normah’s Place di Kota London ini. Jika ada rakyat Malaysia yang berkunjung ke London, bolehlah singgah untuk merasai sendiri air tangan Normah. 🙂


Normah’s Place

  • Lokasi: Normah’s 23-25 Queensway Market, Bayswater, London W2 4QJ, UK.
  • No Telefon: +447771630828
  • E-mel: normahinfo@gmail.com
  • Waktu Operasi: Selasa hingga Sabtu (5PM – 9PM).

BACA JUGA: Gadis 12 Tahun Dari Malaysia Hasilkan Kek Satay Dalam Rancangan Junior Bake Off

BACA JUGA: Kedai Nasi Kandar Pertama Di Tokyo Laku Keras


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd