Now Reading
BDS Malaysia Kecewa Siti Nurhaliza Sertai Konsert David Foster Di Jakarta

BDS Malaysia Kecewa Siti Nurhaliza Sertai Konsert David Foster Di Jakarta

BDS Malaysia turut berharap semua pihak menunjukkan sikap yang lebih peka terhadap kesengsaraan yang telah dialami oleh rakyat Palestin.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Boycott, Divestment, Sanctions Malaysia (BDS Malaysia) menzahirkan rasa kecewa sebaik dimaklumkan bahawa penyanyi terkenal tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza akan terlibat dalam konsert `Hitman Returns David Foster and Friends’ yang akan berlangsung di Jakarta, Indonesia malam ini (15 Jun).

BDS Malaysia menerusi satu kenyataan berkata, penganjur konsert itu, David Foster yang berasal dari Kanada sememangnya dikenali sebagai seorang yang sangat kuat menyokong rejim Zionis Israel.

“Dia (David Foster) sering terlibat dalam usaha menyumbang dana kepada tentera rejim Zionis Israel dalam acara yang dianjurkan oleh `Friends of Israel Defence Forces’ (FIDF). 

“Dalam keadaan sekarang di mana lebih daripada 36,000 rakyat Palestin telah dibunuh dengan kejam oleh tentera rejim Zionis Israel semenjak Oktober 7, 2023 dan masih terus melakukan pembunuhan kejam di Gaza dan Tebing Barat, keputusan Datuk Seri Nurhaliza untuk menyertai pertunjukan yang dianjurkan oleh David Foster adalah sangat mengecewakan.”

Semua pihak perlu tunjuk sikap peka terhadap rakyat Palestin

BDS Malaysia dalam masa sama turut berharap semua pihak, sama ada artis, ahli perniagaan, ahli sukan, pihak kerajaan dan rakyat biasa menunjukan sikap yang lebih peka terhadap kesengsaraan yang telah dialami oleh rakyat Palestin semenjak dari tahun 1948 lagi.

“Tindakan paling minima yang boleh dilakukan ialah memboikot rejim Zionis Israel serta organisasi dan individu yang terlibat secara langsung dengan kezaliman yang sedang berlaku di Palestin.”

Semakan kami di Instagram mendapati Siti Nurhaliza ada memuat naik poster mengenai pembabitannya pada konsert itu semalam (14 Jun).

Namun beliau juga masih berkongsi tentang kesengsaraan rakyat Palestin pada posting-posting lain dan di Instagram Story (IGS).

Selain Siti, selebriti lain yang turut dijemput adalah Rossa dan Afgan.

Bergelar selebriti dan usahawan, Siti Nurhaliza juga dikenali sebagai seorang yang sangat lantang menyuarakan nasib mereka di sana dan banyak menyumbang kepada rakyat Palestin antaranya dengan membuka sebuah sekolah buat anak Gaza di Palestin.

Baca artikel berkaitan: Siti Nurhaliza Syukur Berjaya Buka Sekolah Untuk Anak Gaza di Palestin

Siti pernah bergandingan bersama Foster sejak 2014

Sebagai info Siti Nurhaliza juga pernah menyertai Konsert Hitman: David Foster and Friends Asia Tour 2023 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada Ogos tahun lalu.

Namun itu bukanlah kali pertama Siti Nurhaliza bergandingan bersama Foster sebaliknya mereka pernah sepentas apabila komposer antarabangsa itu mengiringinya pada Malam Gala Sapura Kencana Petroleum Malaysia Grand Prix pada Mac 2014.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd