Lelaki Ini Kongsi Itinerari 10 Hari 9 Malam Di Jepun
Antara lokasi yang wajib anda pergi semasa di Jepun adalah FujiQ Highland, Universal Studios Japan dan Gundam Factory.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Setiap kali kalau nak pergi bercuti, perkara pertama yang kena buat adalah kumpul duit kerana segala tempahan memerlukan kos seperti penginapan, pengangkutan, makanan dan sebagainya.
Bagi seorang pengguna X (Twitter @IzreenNaim), penat lelahnya mengumpul wang selama lima tahun akhirnya membolehkan dia mencapai impian untuk bercuti ke negara Jepun.
Dalam tempoh 10 hari 9 malam di Jepun, lelaki ini berpeluang untuk berjalan-jalan semasa musim sakura pada bulan Mac lalu di lima lokasi berbeza iaitu di Osaka, Nara, Kyoto, Mount Fuji dan Tokyo.
Korang nak tahu lebih lanjut tentang percutiannya di Jepun? Jom baca perkongsian itinerari di bawah.
Day 1 (15 Mac).
Lelaki ini tiba di Lapangan Terbang Narita pada jam 8:00 pagi waktu tempatan dan mengambil JR Pass sebelum terus bergerak ke Tokyo menaiki Narita Express.
Pada hari pertama, lelaki yang dikenali sebagai Yeen ini bermalam di Tokyo kerana mahu bergerak awal ke Osaka pada keesokan harinya.
Day 2 (16 Mac).
Selepas mendaftar keluar dari hostel di Tokyo, Yeen menaiki Shinkansen Bullet Train ke Osaka seawal jam 7:00 pagi.
Pemandangan sepanjang berada di dalam kereta api itu sungguh menakjubkan. Siap boleh nampak Mount Fuji.
Selepas 2 jam 30 minit, Yeen tiba di Osaka sekitar jam 10:00 pagi dan meletakkan bagasi di hotel dahulu sebelum keluar untuk makan tengah hari di Halal Ramen Honulu Osaka.
Lepas perut sudah kenyang, masa untuk berjalan-jalan! Antara lokasi yang dilawati adalah:
- Glico Sign Dotonbori
- Osaka Castle
- Nara Park
Kalau korang nak pergi ke Dotonbori, baik pergi waktu malam kerana lebih meriah. Kawasan ini juga terkenal dengan papan tanda yang bersaiz gergasi di hadapan kedai.
Day 3 (17 Mac).
Destinasi pertama pada hari ketiga adalah Universal Studios Japan (USJ). Antara rides yang korang wajib cuba di lokasi ini adalah seperti:
- The Flying Dinosaur
- Mario Kart Koopa Challenge
- Spiderman 3D ride
- Harry Potter & Forbidden journey
- Hollywood Dream the ride/ backdrop
- JAWS
Selain bermain rides, korang boleh tengok persembahan mereka. Antara yang recommended adalah Waterworld dan Jujutsu Kaisen 4D.
Kalau korang nak masuk ke Super Mario World secara percuma, jangan lupa untuk imbas tiket dari aplikasi USJ, tetapi terhad ya. Siapa cepat dia dapat!
Tarikan utama di sini termasuklah Harry Potter World dan korang kena cuba untuk menaiki rides serta merasai minuman butterbeer. Kalau boleh beli yang dihidangkan dalam gelas sebab gelas itu boleh dibawa balik sebagai cenderahati.
PS: Butterbeer itu tiada alkohol ya, jangan risau.
Tips Untuk Individu Beragama Islam Ketika Di Universal Studios Japan
Di USJ, tiada makan halal yang dijual jadi digalakkan untuk membawa bekal makanan sendiri. Ketika pemeriksaan di pintu masuk, maklumkan kepada petugas bahawa bekalan tersebut adalah ‘muslim food’.
Atau korang boleh minta izin untuk keluar makan sekejap dan masuk semula ke dalam USJ.
Berkaitan solat pula, tiada surau yang disediakan tetapi anda boleh meminta izin untuk menggunakan bilik ‘lost and found’ atau ‘tourist information’ untuk melaksanakan solat.
Petugas akan memberikan tempoh sekitar 10 minit sahaja.
Day 4 (18 Mac).
Hari keempat pula Yeen bergerak ke Kyoto untuk berjalan seharian di bandar tersebut. Antara lokasi yang sempat dilawati adalah:
– Fushimi Inari Shrine
Tips untuk ke lokasi ini, kena datang awal pagi dan mendaki di kawasan yang lebih tinggi lagi jika tidak mahu bersesak dengan orang ramai. Difahamkan, bahagian bawah sahaja yang dipenuhi dengan pengunjung.
– Arashiyama Bamboo Forest
Ini merupakan satu lagi tarikan pelancong yang cantik dan berdekatan dengan sungai. Sesuai sangat kalau nak ‘healing’ dengan alam sekitar. Surau dan kedai makan halal bernama Yosiya Kyoto pun ada.
– Starbucks Tatami
Kalau korang sempat singgah di sini, jangan lupa untuk dapatkan kad Starbucks edisi terhad di Kyoto. Bolehlah ‘flex’ dekat kawan-kawan di Malaysia.
Kalau anda ada banyak masa lagi di Kyoto, boleh juga pergi ke Gion Street dan Kiyomizu-dera temple serta menerokai minuman matcha di sana.
Day 5 (19 Mac)
Tiba masa untuk mendaftar keluar dari hotel di Osaka dan perkara pertama yang dilakukan adalah menghantar bagasi mereka ke hotel seterusnya di Kyoto.
Kalau korang nak tahu, di Jepun mempunyai servis untuk menghantar bagasi ke hotel yang dinamakan sebagai Takkyubin. Anda boleh jumpa perkhidmatan ini di kedai serbaneka seperti 7E, Family Mart dan Lawson.
Bagus juga ada servis macam ini. Boleh melancong tanpa perlu bersusah payah ‘mengheret’ bagasi ke sana ke sini.
Dengan servis ini, bagasi korang akan sampai ke destinasi pada hari berikutnya.
Sementara itu, Yeen meneruskan perjalanannya ke Mount Fuji dari Osaka dan mengambil masa kira-kira lima jam kerana perlu transit di beberapa lokasi.
Setibanya di Kawaguchiko, Yeen mendaftar masuk hotel untuk satu malam dan berjalan-jalan di sekitar kawasan berhampiran.
Day 6 (20 Mac)
Yeen kemudiannya mendaftar keluar dari hotel pada jam 6:00 pagi dan lokasi pertama yang dituju adalah:
– Arakurayama Sengen Park
Dengan menaiki tren dari Stesen Kawaguchiko dan turun di Stesen Shimoyoshida, korang kena berjalan sedikit dan menapak dalam anggaran 400 anak tangga untuk sampai ke bahagaian puncak.
Fuh, pemandangan dia memang cukup mengagumkan.
– FujiQ Highland
Di sini, ada satu ride yang mendapat pengiktirafan dunia iaitu permainan roller coaster mereka. Bukan itu sahaja, FujiQ Highland turut mempunyai salah satu rumah paling berhantu di Jepun.
Perkara paling best di sini adalah tiada bayaran tiket masuk dikenakan. Masuk percuma! Tapi kena bayar ikut setiap ride yang korang naik.
Kepada peminat animasi Naruto, ada dua tempat di Jepun yang korang kena pergi. Selain di FujiQ Highland, Awaji Island pun best sebab katanya tempat dia lagi besar.
Untuk individu beragama Islam, tiada makanan halal yang dijual di sini tetapi korang boleh bawa masuk makanan sendiri, tiada masalah. Surau pun disediakan berhampiran Thomas Land.
Day 7 (21 Mac).
Kembali semula ke Tokyo untuk mencari ‘Tokyo Cherry Blossom’.
Lokasi yang korang boleh pergi adalah di Suga Shrine Otokodan dengan turun di Stesen Shinanomachi. Selepas itu, kena menapak sikit dan tidak boleh membuat bising sangat kerana ia berada di kawasan perumahan.
Tempat lain yang korang boleh jumpa pokok Cherry Blossom ini adalah di Megura River. Alang-alang dah sampai di sini, boleh singgah Starbucks terbesar di Jepun setinggi empat tingkat iaitu Starbucks Reserve Roastery.
Untuk makan tengah hari, korang boleh try makanan Melayu di Malay Asian Cuisine Shibuya. Bab harga tu, memang tutup mata sahaja lah dengan hidangan roti canai RM15.
PS: Bila travel, bab makan minum jangan kedekut dengan diri sendiri.
Selepas perut sudah kenyang, Yeen meneruskan perjalanan ke Takeshita Street yang dikenali dengan fashion street. Nak shopping baju pelik-pelik, inilah tempatnya.
Pada sebelah petang pula, Yeen kembali semula ke Shibuya untuk melihat matahari terbenam di Shibuya Skyview. Tiket masuk boleh dibeli menerusi aplikasi Klook.
Selain itu, benda paling wajib kena apabila berada di Shibuya adalah melintasi Shibuya Crossing yang dikategorikan sebagai lalu lintas paling sibuk di dunia.
Sebelum pulang ke hotel, Yeen menikmati makan malam di kedai halal ramen iaitu Ayam-ya Halal Ramen.
Day 8 (22 Mac)
Hari kelapan dimulakan dengan makan tengah hari di kawasan Ueno iaitu sebuah restoran bernama Halal Yakiniku Panga. Boleh tahan sedap juga katanya di sini.
Antara lokasi yang dilawati adalah :
- Gundam Factory
- TeamLab Tokyo
Untuk masuk ke Gundam Factory, korang kena beli tiket awal sebulan menerusi Klook manakala tiket untuk TeamLab pula boleh dibeli secara ‘walk-in’.
Day 9 (23 Mac).
Aktiviti seharian adalah membeli belah dan mencari figura anime serta cenderahati untuk dibawa balik ke Malaysia.
Kalau korang nak cari cenderahati, boleh pergi ke Ameyoko Street berhampiran Stesen Ueno.
Day 10 (24 Mac).
Selepas mendaftar keluar dari hotel, Yeen sempat ke Asakusa dan Sumida Park untuk melihat pokok bunga sakura dan membeli beberapa cenderahati lagi sebelum bergerak ke lapangan terbang untuk pulang ke tanah air.
Anggaran Kos Bercuti Di Jepun, Tak Sampai RM10,000 Pun!
Mesti ramai yang tertanya-tanya, berapa kos yang digunakan oleh Yeen semasa bercuti selama 10 hari 9 malam di Jepun kan?
Berikut adalah pecahannya:
- Tiket penerbangan pergi balik: RM3,400 menaiki ANA Airlines
- Hotel RM1,570
- Pengangkutan: RM1,298
- Makanan: RM1,000
- Simkad: RM60
- Insurans: RM55
- Tiket masuk TeamLab: RM105
- Tiket masuk Shibuya Sky: RM60
- Tiket masuk Universal Studios Japan: RM292
- Rides di FujiQ Highland: RM213
- Tiket masuk Gundam Factory: RM55
Jumlah keseluruhan: RM8,108 tidak termasuk barangan shopping dan cenderahati.
Mungkin kalau anda mahu lagi jimat, boleh kurangkan kos dari segi makanan dan tidak pergi ke taman tema.
Untuk korang yang teringin untuk menerokai Jepun, diharapkan perkongsian ini dapat membantu anda semua!
Trip ke Japan 🇯🇵 10 hari 9 malam pada Musim Sakura 🌸 2023
— Yeen™ (@IzreenNaim) October 1, 2023
Osaka-Nara-Kyoto-Mt Fuji-Tokyo
5 years of dreams and savings.
Finally able to step my foot there..serious rasa nak pergi lagi
This is my itinerary thread 🧵 pic.twitter.com/HFaHthjuYJ
Artikel Berkaitan: Lelaki Ini Kongsi Itinerari ‘Solo Trip’ Ke Bangkok, Sesuai Untuk Shopping & Jalan-jalan!
Artikel Berkaitan: Bercuti Ke Hat Yai Dengan Bajet RM450. Puas Makan & Berjalan!
Artikel Berkaitan: Lelaki Ini Kongsi Itinerari Trip Bajet Ke Turki. RM3,600 Je Seorang!
Sumber: X (Twitter @IzreenRahim)
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.