Now Reading
Serang Kem Pelarian Jabalia Di Gaza, Angelina Jolie Selar Tindakan Israel

Serang Kem Pelarian Jabalia Di Gaza, Angelina Jolie Selar Tindakan Israel

Apa yang lebih menyedihkan rakyat Palestin turut dihukum dengan kekurangan makanan, ubat-ubatan dan bantuan kemanusiaan yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Peperangan yang berlaku di antara Palestin dan Israel telah lama menjadi perhatian dunia sejak beberapa tahun lalu.

Malah ramai yang bersimpati dengan nasib yang menimpa rakyat Palestin selepas ramai yang terkorban termasuklah kanak-kanak.

Ekoran itu, ramai yang mengambil insiatif untuk menyuarakan solidariti mereka di pelbagai platform termasuklah media sosial dan mahukan serangan tersebut dihentikan oleh Israel.

Angelina Jolie kecam tindakan Israel bom kem pelarian Jabalia

Malah pelakon terkenal dari Amerika Syarikat, Angelina Jolie turut mengecam tindakan Israel yang bertindak membuat serangan udara terhadap kem pelarian Jabalia di Gaza pada beberapa hari lalu.

Lebih menyedihkan insiden tersebut telah mengorbankan ratusan penduduk di negara berkenaan.

Turut kongsi beberapa foto menunjukkan kehancuran rumah penduduk

Perkara itu dikongsikan bekas wakil khas Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Instagram miliknya.

Pelakon Mr and Mrs Smith itu turut berkongsi beberapa foto menunjukkan keadaan kediaman penduduk di Jabalia yang telah dihapuskan sepenuhnyasetelah dibedil oleh pesawat tentera penceroboh Israel.

“Ini adalah pengeboman disengajakan terhadap penduduk yang terperangkap, yang tidak mempunyai tempat untuk melarikan diri. Gaza telah menjadi penjara terbuka selama hampir dua dekad dan kini tempat pengebumian beramai-ramai.

“40% daripada mereka yang terbunuh adalah kanak-kanak yang tidak bersalah. Seluruh anggota keluarga dibunuh.

“Ketika dunia sedang memerhati dan dengan sokongan aktif pelbagai kerajaan, berjuta-juta rakyat Palestin – kanak-kanak, wanita, keluarga – tidak dibela dan dihina, sebaliknya dihukum dengan kekurangan makanan, ubat-ubatan dan bantuan kemanusiaan yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa,” tulisnya, lapor BuletinTV3 dipetik Bernama (WAFA).

Sifatkan pemimpin dunia terlibat jenayah

Dia dalam masa sama turut menyifatkan pemimpin dunia juga terbabit dalam jenayah tersebut kerana tidak mahu menuntut untuk gencatan senjata kemanusiaan serta menyekat Majlis Keselamatan PBB.

Untuk makluman setakat ini hampir 9,000 mangsa telah terbunuh manakala seramai 22,000 cedera dalam pengeboman Israel yang berlaku sejak 7 Oktober lalu di Semenanjung Gaza.

Melihat di ruangan komen, ramai yang menyokong kenyataan dikeluarkan pelakon itu.

Malah mereka turut berterima kasih kerana telah menyatakan kebenaran mengenai apa yang sedang berlaku.

“Terima kasih kerana menyatakannya walhal kebanyakan pemimpin dunia masih takut untuk mengatakan mengenainya”

“Salah satu daripada segelintir wanita Amerika yang kuat untuk mempertahankan perkara yang benar, kami bangga dengan anda”

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd