Now Reading
Penerbit Buku Daiyan Trisha Dakwa Pengkritik Langgar Akta Hak Cipta

Penerbit Buku Daiyan Trisha Dakwa Pengkritik Langgar Akta Hak Cipta

Penerbit Nukilan Biruni mendakwa bahawa individu tersebut telah melanggar Akta Hak Cipta 1987 kerana memuat naik kandungan buku di akaun X miliknya.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Penerbitan buku tempatan kini telah semakin ke hadapan, lebih-lebih lagi dengan kewujudan kancah buku alternatif. Semakin banyak rumah penerbitan telah muncul bagai cendawan selepas hujan yang menawarkan pelbagai pilihan kepada para pembaca.

Namun begitu, ada juga penerbitan yang kurang berkualiti. Malah, sebelum ini terdapat kes buku-buku yang diterbit mencuri kandungan dari buku lain tanpa kebenaran pemilik asal atau menterjemah dari bahasa lain tanpa dimaklumkan kepada pembaca.

Baru-baru ini, kecoh di laman X apabila seorang pengguna, Thia (@theiafaayhac), mengkritik buku ‘Tulisan’ karya Daiyan Trisha.

Dia turut memuat naik beberapa muka surat penulisan pelakon itu dan membandingkannya dengan karya oleh artis dari Kanada, Rupi Kaur.

Hantaran itu telah mencetuskan perdebatan antara pembaca buku tersebut, dengan ada yang mengatakan ia mengandungi penulisan yang bagus.


Penerbit Buku Minta Hantaran Dipadam

Namun, ia berubah menjadi perbincangan undang-undang yang hangat apabila penerbit buku Tulisan, Nukilan Biruni menghubungi Thia tentang kemungkinan berlakunya ‘pelanggaran hak cipta’.

Penerbit itu mendakwa bahawa dia telah melanggar Akta Hak Cipta 1987 kerana memuat naik kandungan buku ke akaun X miliknya.

“Isi kandungan buku itu dilindungi oleh undang-undang hak milik. Hantaran anda juga membawa kepada banyak tanggapan yang mengelirukan,” kata penerbit dalam mesej yang dihantar di Instagram.

Nukilan Biruni turut meminta agar hantaran berkenaan dipadam dan berkata akan mengambil tindakan undang-undang selanjutnya jika gagal berbuat sedemikian.


Pengguna X Tidak Kaut Sebarang Keuntungan Daripada Hantarannya

Di samping itu, pihak penerbit juga telah menyatakan di ruangan balas hantaran yang tular itu bahawa mereka telah menghantar mesej secara terus (DM) kepada Thia.

Dalam mesej balas, dia menjelaskan bahawa dia tidak mengaut sebarang keuntungan daripada hantarannya dan tidak berniat untuk menunjukkan kandungan buku itu seolah-olah hak miliknya.

Katanya lagi, dia tidak mengubah sebarang kandungan buku tersebut dalam hantarannya. Dia juga berkata hantaran itu boleh dianggap sebagai ulasan bagi buku ‘Tulisan’.

Bayangkan kalau hantaran saya menyebabkan dia [Daiyan] dipuji atas sajaknya, adakah ia masih dilihat sebagai satu masalah?

Pengguna X, Thia.

Netizen Persoal Tindakan Penerbit Buku

Hantaran balas oleh Nukilan Biruni menyebabkan orang ramai tertanya-tanya jika benar perkara tersebut merupakan satu bentuk pelanggaran hak cipta.

Terdapat juga yang mempersoalkan sama ada mereka juga akan diganggu sekiranya mengkritik buku yang diterbitkan oleh rumah penerbitan itu.


Peguam Jelaskan Hantaran Tidak Langgar Akta Hak Cipta

Seorang peguam (@ZackAvaricious) telah tampil memberi penjelasan bahawa menyiarkan semula kandungan buku bagi tujuan bukan komersial tidak melanggar undang-undang Akta Hak Cipta 1987.

Dia turut berkongsi beberapa seksyen berkaitan di bawah akta itu yang membuktikan bahawa tindakan Thia bukanlah satu bentuk pelanggaran undang-undang.

Berdasarkan Seksyen 9(4) Akta Hak Cipta 1987, kandungan buku yang dikongsi atas sebab penyelidikan, kajian peribadi, kritikan, ulasan atau melaporkan peristiwa semasa tidak dianggap sebagai pelanggaran hak cipta.

Malah, jika tajuk karya dan penulisnya dimaklumkan apabila melakukan siaran semula secara terbuka, ia dibolehkan, kecuali dalam situasi karya dipaparkan secara tidak sengaja dalam siaran.

Namun begitu, peguam tersebut juga mengingatkan orang ramai agar tidak berkata buruk ke atas penulis kerana ia boleh menjadi kesalahan di bawah Sekysen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia 1998.

Penjelasan oleh peguam ini menyebabkan orang ramai mengkritik pihak penerbit kerana tidak mengkaji terlebih dahulu sebelum menuduh seseorang melanggar undang-undang hak cipta.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd