Now Reading
Boleh Ke Batalkan Solat Sunat Sebab Laungan Iqamah? Ini Penjelasan Dr Zulkifli

Boleh Ke Batalkan Solat Sunat Sebab Laungan Iqamah? Ini Penjelasan Dr Zulkifli

Sebelum ini, seorang individu telah membuat demonstrasi dirinya membatalkan solat sunat yang dikerjakan sejurus mendengar lafaz iqamah dilaungkan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Umum sedia maklum, solat fardu merupakan ibadah yang wajib dilaksanakan buat mereka yang bergelar Muslim.

Malah, untuk mendapatkan ganjaran pahala dan keberkatan daripada-Nya, anda juga boleh menunaikan solat sunat dua rakaat bagi menampung sebarang kekurangan pada solat fardu yang dikerjakan.

Kalau anda nak tahu, solat sunat yang dilakukan sebelum solat fardu terbahagi kepada dua jenis iaitu sunat muakkad dan sunat tidak muakkad.


Lelaki Ini Minta Pencerahan Tentang Hukum Jika Tinggalkan Solat Sunat Untuk Tunaikan Solat Fardu

Baru-baru ini, sebuah klip video telah dikongsikan di laman X, menyaksikan demonstrasi seorang lelaki Muslim membatalkan solat sunat yang sedang dikerjakannya sejurus mendengar laungan iqamah.

Namun tindakan tersebut telah membuatkan individu lain berasa was-was dengan kelakuannya yang menghentikan solat separuh jalan.

Menurut penjelasan individu yang mengerjakan solat sunat itu, tiada solat dibenarkan selain solat fardu sekiranya telah mendengar laungan iqamah.

Berasa sangsi dengan kenyataan berkenaan, seorang pengguna laman X telah meminta bekas Mufti Wilayah Persekutuan iaitu Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri untuk memberikan pencerahan tentang situasi tersebut.


Dr Zulkifli Perjelaskan Hukum Tunaikan Solat Sunat Ketika Dengan Lafaz Iqamah

Menerusi perkongsian yang pernah dimuat naik sebelum ini di portal Maktabah Al-Bakri, beliau menjelaskan bahawa solat sunat merupakan antara amalan atau ibadah dituntut oleh syarak.

Bagi menjawab persoalan tersebut, Dr Zulkifli menjelaskan apakah yang perlu dilakukan oleh seseorang sekiranya sedang mengerjakan solat sunat ketika iqamah dilaungkan. Pencerahan itu dikategorikan mengikut empat jenis situasi.

#1. Keadaan Pertama

Sekiranya anda mendengar lafaz iqamah untuk solat fardu sejurus masuk ke dalam masjid, maka hukum menunaikan solat sunat pada ketika itu adalah makruh.

Para Muslim hendaklah bersiap sedia untuk menunaikan solat fardu secara berjemaah. Ini berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:

“إِذَا أُقِيمَتِ الصَّلاَةُ فَلاَ صَلاَةَ إِلاَّ الْمَكْتُوبَةُ”

Maksudnya: “Jika sudah diiqamatkan solat, maka tidak ada solat melainkan solat maktubah (fardhu).”

 [Riwayat Muslim (710)]

Al-Imam al-Nawawi turut menjelaskan tentang hadis tersebut dengan dengan mengatakan, “Makruh untuk mendapatkan nafilah (dengan menunaikan solat) selepas iqamah dilaungkan seperti solat sunat (ratib) Subuh, Zuhur dan selainnya  sama ada mengetahui dirinya akan mendapat rakaat bersama imam ataupun tidak.” 

Sumber: Aqiqah Centre
#2. Keadaan Kedua

Untuk situasi kedua pula, adalah disunatkan untuk menyempurnakan solat sunat tersebut sekiranya anda yakin tidak akan terlepas solat berjemaah bersama imam dengan ucapan salam.

Berdasarkan firman Allah SWT:

“يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَلَا تُبۡطِلُوٓاْ أَعۡمَٰلَكُمۡ”

Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan janganlah kamu membatalkan (yakni merosakkan pahala) amal-amalmu.”

[Surah Muhammad: 33]

Sumber: Unsplash
#3. Keadaan Ketiga

Sekiranya anda yakin akan terlepas daripada solat secara berjemaah, maka disunatkan untuk memutuskan solat sunat tersebut dengan memberikan salam.

Bagi solat Jumaat pula, jika ditakuti akan terlepas menunaikannya secara berjemaah, maka dalam situasi tersebut, wajib untuk memutuskan solat sunat berkenaan. 

Sumber: Harian Post
#4. Keadaan Keempat

Jika sedang solat sunat, kemudian terdengar laungan iqamah untuk ditunaikan solat jemaah dan diketahui jika diteruskan solat sunat tersebut, maka akan terlepas solat jemaah, namun kuat pada sangkaannya akan ada jemaah yang baru datang untuk menunaikan solat jemaah, maka pada keadaan tersebut, paling utama adalah dengan menyempurnakan solat sunatnya itu.

Sumber: Unsplash

Sebagai kesimpulannya, para jemaah dibolehkan untuk membatalkan solat sunat yang dikerjakan sekiranya anda takut tertinggal solat fardu secara berjemaah.

Manakala jikalau anda yakin sempat mengerjakan solat fardu secara berjemaah dengan imam selepas iqamah, maka adalah paling afdal sekiranya solat sunat itu diselesaikan terlebih dahulu.

Baca Artikel Berkaitan: Orang Ramai Boleh Tunaikan Solat Jenazah Ghaib Untuk Syuhada Palestin – Dr Zulkifli

Baca Artikel Berkaitan: Solat Ketika Banjir Jadi Persoalan Netizen. Sah Atau Tidak?

Baca Artikel Berkaitan: Sujud Atas Telekung Ketika Solat Sah Atau Tak? Ini Penjelasan Ustaz


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd