Puasa Asyura Beri Peluang Dosa Diampun Setahun, Jom Rebut Pahala Ini
Umat Islam yang ingin berpuasa pada Hari Asyura (10 Muharram) digalakkan untuk berpuasa sehari sebelum atau selepasnya juga bagi membezakan dari amalan bangsa Yahudi.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Permulaan tahun dalam kalendar Islam dimulakan dengan perkara yang cukup istimewa dengan pelbagai amalan sunat yang dituntut pada 10 hari terawal bulan Muharram.
Artikel Berkaitan: [Video] Ustaz Don Perjelas Apa Perlu Umat Islam Buat Ketika Menjelang Awal Muharram
Antara amalan sunat yang digalakkan pada bulan pertama dalam kalendar Hijrah adalah dengan berpuasa pada 10 Muharram atau dikenali sebagai Hari Asyura.
Apa itu Hari Asyura?
Ia merupakan hari di mana Allah SWT mengurniakan kemenangan kepada Nabi Musa AS selepas berjaya menyelamatkan diri dari Firaun dengan cara membelah Laut Merah dan menyeberanginya.
Kisah ini juga terdapat di dalam riwayat yang direkodkan oleh Imam Muslim yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدِمَ الْمَدِينَةَ فَوَجَدَ الْيَهُودَ صِيَامًا ، يَوْمَ عَاشُورَاءَ ، فَقَالَ لَهُمْ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَا هَذَا الْيَوْمُ الَّذِي تَصُومُونَهُ ؟ فَقَالُوا : هَذَا يَوْمٌ عَظِيمٌ ، أَنْجَى اللَّهُ فِيهِ مُوسَى وَقَوْمَهُ ، وَغَرَّقَ فِرْعَوْنَ وَقَوْمَهُ ، فَصَامَهُ مُوسَى شُكْرًا ، فَنَحْنُ نَصُومُهُ ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : فَنَحْنُ أَحَقُّ وَأَوْلَى بِمُوسَى مِنْكُمْ فَصَامَهُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَأَمَرَ بِصِيَامِهِأَ
Maksudnya : Sesungguhnya Rasulullah SAW datang ke Madinah dan mendapati orang Yahudi sedang berpuasa pada hari Asyura. Lalu Nabi SAW berkata kepada mereka ‘Sempena apakah kalian berpuasa pada hari ini?’. Mereka menjawab ‘Hari ini adalah hari yang agung di mana Allah SWT menyelamatkan Nabi Musa dan kaumnya. Juga hari di mana Allah menenggelamkan Firaun dan kaumnya. Lalu Nabi Musa berpuasa sebagai tanda syukur. Maka kami pun berpuasa’. Nabi SAW lantas bersabda ‘Kami lebih berhak dan utama mengikut Nabi Musa daripada kalian’. Lalu Rasulullah SAW berpuasa dan memerintahkan yang lain untuk turut berpuasa. Riwayat Muslim (2628)
Amalan Sunat Dalam Agama Islam Untuk Berpuasa Pada Hari Asyura
Sempena meraikan kejayaan Nabi Musa AS, Rasulullah SAW mengalakkan umat Islam untuk berpuasa tetapi menyarankan para sahabat agar berpuasa juga pada sehari sebelum atau sehari selepas Hari Asyura.
Rasulullah SAW membimbing sedemikian bagi membezakan amalan yang dilakukan dengan orang Yahudi seperti mana yang dinyatakan dalam sabda baginda:
صُومُوا يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَخَالِفُوا فِيهِ الْيَهُودَ، صُومُوا قَبْلَهُ يَوْمًا، أَوْ بَعْدَهُ يَوْمًا
Maksudnya: Berpuasalah kamu pada hari Asyura dan lakukanlah perbezaaan dengan Yahudi. Berpuasalah juga pada hari sebelumnya atau hari selepasnya. (HR Ahmad)
Kelebihan Berpuasa Pada Hari Asyura
Berpuasa sunat pada Hari Asyura mempunyai pelbagai fadilat dan kelebihannya seperti:
- Dihapuskan dosa setahun yang lalu
Daripada Abu Qatadah al-Ansari:
وَسُئِلَ عن صَوْمِ يَومِ عاشُوراءَ، فَقالَ: يُكَفِّرُ السَّنَةَ الماضِيَةَ
Maksudnya: Rasulullah SAW ditanya mengenai puasa pada hari Asyura. Maka, Baginda menjawab: ‘Puasa itu menghapuskan dosa setahun yang lalu’. (Riwayat Muslim, 1162)
- Berpuasa di bulan Muharram adalah yang paling afdal selepas puasa Ramadhan
Di antara amalan soleh yang sangat digalakkan untuk umat Islam lakukan pada bulan Muharram adalah dengan memperbanyakkan berpuasa sunat. Ini dapat dilihat berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ
Maksudnya: Seafdhal-afdhal puasa setelah bulan Ramadan adalah berpuasa pada bulan Allah al-Muharram. (Riwayat Abu Daud, 2429)
Selain itu, riwayat At-Tirmizi juga menyebut tentang kelebihan yang diceritakan oleh Rasulullah SAW berkaitan bulan Muharram dalam satu hadis:
إِنْ كُنْتَ صَائِمًا بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَصُمِ الْمُحَرَّمَ فَإِنَّهُ شَهْرُ اللَّهِ
Maksudnya: Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadan maka berpuasalah kamu pada bulan al-Muharram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah.
Pada tahun ini, puasa Hari Asyura (10 Muharram) jatuh pada tarikh 28 Julai (Khamis) iaitu esok.
Kepada umat Islam yang berniat mahu berpuasa pada Hari Asyura, anda digalakkan untuk berpuasa sehari sebelum (27 Julai) atau sehari selepas (29 Julai) bagi membezakan amalan dengan bangsa Yahudi.
Yang penting, jangan lupa untuk baca niat ya.
نَوَيْتُ صَوْم عَاشُورَاء سُنَّة لله تَعَالى
Bacaan rumi: Nawaitu Sauma ‘Asyura Sunnata Lillahita’ala
Maksudnya: Sahaja Aku Puasa Sunat Hari Asyura Esok Hari Kerana Allah Ta’ala.
Sumber: Maktabah Al-Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.