Now Reading
Kurma Israel: Akui Terlepas Pandang, Syarikat Matahari Mohon Maaf

Kurma Israel: Akui Terlepas Pandang, Syarikat Matahari Mohon Maaf

Jelas syarikat itu, pihaknya hanya menyedari perkara tersebut selepas ia menjadi perbualan di media sosial.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sebelum ini, pihak Jabatan Kastam Diraja (JKDM) telah merampas 14.6 kilogram kurma yang disyaki daripada Israel.

Jumlah rampasan bernilai RM678 itu adalah serbuan daripada tiga lokasi yang melibat satu syarikat pembekal makanan organik di negara ini.

Ekoran itu, seorang lelaki yang dipercayai merupakan pemilik kepada perniagaan berkenaan kemudiannya telah ditahan untuk membantu siasatan.

Rampasan ini dilakukan selepas tular video mendakwa adanya aktiviti jualan kurma dari Israel di Malaysia membabitkan sebuah syarikat yang dikenali sebagai Matahari Sdn Bhd.

Baca artikel berkaitan: Kastam Rampas Kurma Disyaki Produk Israel


Syarikat Matahari Sdn Bhd tampil mohon maaf & akui terlepas pandang

Terbaharu, Syarikat Matahari Sdn Bhd yang menjalankan perniagaan import, pemborong, peruncit, serta pengedar produk organik dan semula jadi telah tampil memohon maaf terhadap rakan kongsi termasuk pelanggannya berhubung isu rampasan terbabit.

Matahari dalam satu kenyataan media berkata pihaknya menerima produk kurma tersebut dari pembekal yang berada di Greece.

Walau bagaimanapun, syarikat itu mengakui mereka terlepas pandang berhubung asal usul produk terbabit sewaktu proses pelabelan.

“Sijil yang diberikan oleh pengedar kami menyatakan kurma itu berasal dari Israel atau wilayah Palestin yang dijajah.

“Kerana terlepas pandang dan tidak sensitif dengan isu itu (Palestin), kami terus melabelkan produk termasuk meletakkan Israel sebagai negara asal,” jelasnya lapor FMT.


Sedar mengenai produk tersebut selepas ia menjadi perbualan hangat di media sosial

Katanya lagi, perkara itu hanya disedari oleh syarikat berkenaan selepas ia menjadi perbualan di media sosial. Ekoran itu tindakan segera dilakukan untuk memanggil semula produk berkenaan dari pasaran.

“Kami ingin menyatakan bahawa Matahari tidak pernah secara sedar atau sengaja memesan produk atau menjalankan sebarang perniagaan dengan Israel, dan tidak pernah melanggar sebarang peraturan.

“Kami berkongsi kebimbangan sesama rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat Islam, dan ingin mengesahkan bahawa kami tidak menyokong Israel dalam apa cara sekalipun,” ujarnya.

Syarikat itu turut memaklumkan mereka akan memberi kerjasama dengan pihak berkuasa serta membuat semakan proses pembekalan agar masalah sama tidak berulang lagi di masa hadapan.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd