Now Reading
Wanita & 3 Anak Asuhan Cemas Lepas Kediaman Diceroboh 2 Perompak Berparang Dan Kayu

Wanita & 3 Anak Asuhan Cemas Lepas Kediaman Diceroboh 2 Perompak Berparang Dan Kayu

Menurut Ketua Polis Daerah Muallim, Mohd Hasni dua suspek berkenaan turut membawa lari duit bernilai sekitar RM5,000 serta barang kemas yang dianggarkan berjumlah RM50,000.

Seorang pengasuh wanita bersama tiga anak asuhannya telah berdepan detik cemas selepas kediaman di Bandar Behrang, Perak diceroboh oleh dua lelaki pada pagi 21 Februari.

Dua penceroboh berkenaan turut memasuki rumah mangsa dengan membawa senjata iaitu sebilah parang serta kayu.

Menurut Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir insiden tersebut telah berlaku pada jam 6.30 pagi sewaktu wanita berkenaan tinggal bersama tiga anak asuhannya yang berumur enam hingga 10 tahun.


Dengar pintu rumah dibuka sebelum didatangi 2 lelaki

Jelasnya, mangsa yang berusia 59 tahun itu awalnya menyedari kehadiran penceroboh berkenaan semasa ingin ke bahagian dapur sebelum terdengar pintu pagar rumah dibuka.

“Ketika berada dalam bilik, mangsa didatangi dua lelaki bertopeng hitam terus menggeledah rumah mencari wang dan barang kemas.

“Mangsa kemudian disuruh masuk ke dalam bilik kedua yang diduduki anak asuhan yang ketika itu sedang nyenyak tidur.

“Mangsa telah mengejutkan anak asuhan terbabit dan memaklumkan rumah mereka dimasuki perompak,” katanya, lapor Berita Harian.

Wanita dan tiga kanak-kanak berkenaan kemudian diawasi oleh seorang suspek dan seorang lagi bertindak menggeledah biliknya.


Duit dan barang kemas bernilai sekitar RM50,000 turut dibawa lari

Dalam kejadian itu mereka telah mengambil beg milik mangsa yang mempunyai duit sekitar RM5,000 selain turut membawa lari barang kemas yang bernilai lebih kurang RM50,000 bersama telefon.

“Suspek juga melarikan sebuah kereta mangsa sebelum dijumpai semula kira-kira empat kilometer dari tempat kejadian dekat Taman Wangsa, Behrang.”

Walau bagaimanapun, mangsa dan tiga kanak-kanak dilaoprkan tidak mengalami sebarang kecederaan ekoran daripada kejadian itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, polis juga giat mencari dua suspek berkenaan.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd