Now Reading
Lokasi Kejadian Tanah Runtuh Di Cameron Highlands Bukan Di Bawah Seliaan JKR – Menteri Kerja Raya

Lokasi Kejadian Tanah Runtuh Di Cameron Highlands Bukan Di Bawah Seliaan JKR – Menteri Kerja Raya

Sehingga kini, identiti mangsa yang terkorban serta empat individu yang disyaki tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Blue Valley, Cameron Highlands masih belum diketahui.

tanah runtuh blue valley cameron highlands

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


[Terkini] Dalam perkembangan terbaharu mengenai kejadian tanah runtuh yang berlaku di Cameron Highlands pada awal pagi hari ini (26 Januari), Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menjelaskan lokasi bencana itu tidak berada di bawah seliaan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

Memetik Kosmo, pihaknya telah dimaklumkan dengan situasi tanah runtuh yang berlaku di sana dan turut memberi kerjasama untuk menghulurkan bantuan.

Saya amat berdukacita dengan insiden tanah runtuh yang dilaporkan berlaku pada awal pagi tadi di Cameron Highlands. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa membabitkan bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Pihak JKR juga membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan melakukan kerja-kerja pembersihan runtuhan tanah di laluan masuk lokasi kejadian.

Nanta turut menasihati orang ramai agar yang menggunakan laluan berhampiran agar lebih berhati-hati serta mematuhi segala arahan pihak berkuasa.


Kejadian Tanah Runtuh Di Blue Valley, Cameron Highlands

Satu kejadian tidak diingini berlaku pada awal pagi hari ini (26 Januari) apabila penduduk di sekitar Batu 54, Blue Valley, Cameron Highlands telah berdepan dengan kejadian tanah runtuh yang meragut nyawa.

Memetik Berita Harian, kejadian yang dilaporkan kepada pihak bomba sekitar jam 2:51 pagi itu telah mengakibatkan lima orang mangsa dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan tanah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani memaklumkan seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands telah digegaskan ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Komander Operasi itu turut memberitahu bahawa anggota penyelamat berdepan cabaran apabila perlu berjalan sejauh tiga kilometer untuk ke kawasan tanah runtuh berkenaan.


Seorang Mayat Lelaki Dijumpai

Hasil operasi mencari dari menyelamat telah menemui seorang mayat lelaki yang disahkan maut manakala empat lagi mangsa yang dipercayai tertimbus masih belum dijumpai.

Berdasarkan maklumat awal, terdapat tiga lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa masih berada dalam kawasan runtuhan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani.
Sumber: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

Walau bagaimanapun, identiti mangsa yang terkorban serta empat individu yang lain masih belum diketahui.

Operasi mencari dan menyelamat yang masih berjalan ini perlu dilakukan secara berhati-hati kerana bimbang sekiranya berlaku kejadian runtuhan susulan.


Antara Kes Kejadian Tanah Runtuh Di Cameron Highlands

Pada Disember 2021, Laluan FT 185 Jalan Simpang Pulai – Blue Valley di Cameron Highlands dilaporkan pernah berdepan kejadian tanah runtuh yang mengakibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah lori serta Toyota Alphard tertimbus di bawah timbunan tanah.

Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira hampir 10 jam untuk mengeluarkan dua orang mayat mangsa iaitu Muhammad Hafiz Hamdi berusia 31 tahun dan pemandu Toyota Alphard Tan Chee Heng, 36 tahun.

Menurut Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak Ir Hamdan Ali, punca kejadian tanah runtuh itu adalah disebabkan oleh kadar penerimaan hujan yang tinggi iaitu sebanyak 217 milimeter sepanjang tempoh dua minggu.

Baca Artikel Berkaitan: Jabatan Kerja Raya Sahkan Punca Tanah Runtuh Di Cameron Highland Kerana Hujan Lebat


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd