Now Reading
“Terima Kasih PM” – Bapa Lega Anak Boleh Kembali Ke Sekolah Lepas 1 Tahun Terlibat Masalah Kewarganegaraan

“Terima Kasih PM” – Bapa Lega Anak Boleh Kembali Ke Sekolah Lepas 1 Tahun Terlibat Masalah Kewarganegaraan

Menurut si bapa, Shivaani bukan sahaja tidak dibenarkan ke sekolah, malah dia juga sukar mendapatkan rawatan perubatan di hospital atau klinik swasta akibat masalah dokumentasi kewarganegaraan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Segelintir masyarakat masih mempunyai isu mendapatkan status kewarganegaraan. Hal ini boleh terjadi disebabkan beberapa faktor seperti status perkahwinan atau kelahiran yang tidak didaftarkan melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Terdahulu, seorang murid perempuan terkesan dengan isu status warganegara di mana dia tidak dibenarkan untuk ke sekolah ketika darjah empat.


Bapa Berterima Kasih Kepada PM Kerana Cakna Dengan Isu Anak

Namun baru-baru ini, kes tersebut dilaporkan telah diselesaikan dengan bantuan beberapa pihak berkuasa berkaitan yang membolehkan Shivaani dibenarkan ke sekolah semula.

P Rajheswaran, 44, iaitu bapa kepada murid perempuan berusia 10 tahun itu telah menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana cakna dengan surat yang ditulis oleh anak tentang isu tidak dapat bersekolah.

“Terima kasih PM kerana dengar suara anak saya,” katanya.

Menurut Rajheswaran, dia dimaklumkan anaknya boleh kembali ke sekolah untuk sesi persekolahan akan datang selepas bertemu dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) pada 28 Disember lalu.

“Ini kerana sesi persekolahan sekarang nak tamat dalam masa sebulan. Malah saya juga akan dibantu dalam isu kewarganegaraan anak saya ini.

“Sebagai bapa, saya mengharapkan Shivaani dapat bersekolah seperti biasa demi masa depannya. Rasa lega apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah respon isu anak saya ini,” ujar Rajheswaran.

Sumber: Sinar Harian

Anak Sudah 1 Tahun Belajar Di Rumah

Jelas Rajheswaran selepas menerima kunjungan Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Bersatu pada Ahad (7 Januari), anaknya sudah setahun tidak bersekolah dan hanya menuntut ilmu di rumah ibu saudaranya.

Sejak dihantar ke sana, si bapa menyedari kesungguhan Shivaani untuk belajar selain kerap bertanya bila dia boleh ke sekolah agar dapat berjumpa dengan rakan-rakan sebaya yang lain.

Sumber: Sinar Harian

Perkahwinan Ibu Bapa & Kelahiran Anak Tidak Didaftarkan

Untuk makluman, Shivaani berdepan dengan masalah status warganegara Malaysia kerana kesilapan ibu bapa yang tidak mendaftar perkahwinan dan kelahiran anak perempuannya pada tahun 2013.

Urusan dokumentasi kewarganegaraan itu bertambah rumit apabila Rajheswaran bersama pasangan berpisah.

“Ketika saya cuba mendapat sijil kelahiran, pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memaklumkan anak saya tidak dapat diberikan taraf kewarganegaraan kerana tidak ada maklumat ibu dan bapa,” jelasnya.

Malah, namanya sebagai bapa kepada Shivaani juga tidak dapat dimasukkan kerana perkahwinan yang tidak didaftarkan.

Menerusi sijil kelahiran murid tersebut, nama Rajheswaran hanya ditulis sebagai pemaklum dan nama ibu diletak dalam sijil tanpa maklumat lain.

“Jadi semua urusan berkaitan Shivaani jadi sukar termasuk mahu mendapatkan rawatan perubatannya di hospital atau klinik kerajaan kerana dia tiada taraf warganegara,” luahnya.


Pihak Berkuasa Bakal Bantu Shivaani Dapatkan Status Warganegara

Cakna dengan isu terbabit, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Bersatu, P Manivanan berkata dia akan membantu dalam proses menguruskan masalah dilalui Shivaani sehingga mendapat kewarganegaraan.

“Saya telah pun berjumpa dengan JPN dan mereka bersedia membantu mempermudahkan segala urusan.

“Sebenarnya ramai anak-anak yang hadapi masalah seperti Shivaani dan terdapat 45 kes di bawah kendalian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) saya di seluruh negara,” katanya.

Tambah Manivanan, masalah tersebut sering berlaku disebabkan faktor sama atau ibu bapa yang merupakan warga asing.

“Ada kes anak ini tak dapat sambung belajar walaupun mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan cemerlang hanya disebabkan masalah warganegara,” ulasnya.

Untuk info, Shivaani sebelum ini bersekolah sehingga darjah tiga di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Pagi, Senawang.

Walau bagaimanapun, pihak sekolah memaklumkan bahawa murid itu tidak dapat meneruskan persekolahan seperti biasa bagi sesi pembukaan Mac ini keran berdepan dengan isu dokumentasi kewarganegaraan.

Susulan itu, KPM telah pun mengadakan pertemuan dengan keluarga murid berkenaan yang diadakan oleh JPNS pada 28 Disember lalu bertujuan bagi mencari jalan penyelesaian agar Shivaani boleh meneruskan persekolahan seperti sedia kala.

Baca Artikel Berkaitan: Loca B Luah Rasa Terkilan Anak Lelakinya Gagal Dapat Status Warganegara Malaysia

Baca Artikel Berkaitan: Tempoh Mohon Kewarganegaraan Kini Berkurang Jadi 14 Hari Berbanding 73 Hari Sebelum Ini

Baca Artikel Berkaitan: Dr Amalina Bidas Kritikan Orang Ramai Tentang Status Rakyat British Untuk Anak Sulungnya


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd