Now Reading
Kes Bunga Api Meletup Atas Bumbung Hotel, Ini Penjelasan Lexis Hibiscus

Kes Bunga Api Meletup Atas Bumbung Hotel, Ini Penjelasan Lexis Hibiscus

Menurut Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, mangsa yang maut da ncedera merupakan pekerja syarikat pemasangan bunga api.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sebelum ini, tular video di media sosial berhubung insiden bunga api yang meletop di atas bumbung Lexis Hibiscus, Port Dickson.

Kejadian itu telah menyebabkan seorang lelaki berusia 40 tahun maut dan rakannya berusia 39 tahun pula cedera parah selepas terkena serpihan bunga api.

Sewaktu kejadian difahamkan pekerja berkenaan sedang membuat persiapan bunga api. Kes bagaimanapun masih dalam siasatan pihak polis.

Dapat kelulusan daripada pihak berkuasa untuk buat pertunjukan bunga api

Terbaharu, Lexis Hibiscus memaklumkan pertunjukan bunga api yang sepatutnya diadakan di resort berkenaan mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Perkara itu dimaklumkan oleh resort berkenaan menerusi satu hantaran di Facebook rasminya.

“Di Lexis Hotel Group, keselamatan adalah keutamaan kami dan siasatan menyeluruh oleh PDRM sedang dilakukan untuk mengetahui punca insiden berlaku.

“Semua langkah keselamatan telah dipatuhi dengan teliti dan pekerja profesional yang terlibat mempunyai hubungan kerja yang baik dengan kumpulan hotel serta rekod keselamatan yang sempurna.

“Kesemua prosedur selaras dengan pertunjukan bunga api yang dilakukan termasuk perolehan kelulusan daripada pihak berkaitan seperti PDRM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Kami bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dan akan mengambil langkah untuk mencegah insiden seperti itu berlaku lagi di masa hadapan,” ujarnya.

Harap orang ramai tak buat spekulasi

Pihak resort berkenaan dalam masa sama turut berharap agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut dan tidak berkongsi sebarang gambar mahupun video berhubung insiden itu bagi menghormati permintaan keluarga mangsa.

Pihaknya turut memaklumkan insiden yang berlaku itu menyebabkan pihak resort tidak dapat membuat pertunjukkan bunga api yang sepatutnya dijadualkan pada malam tahun baru atas faktor keselamatan.

“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan dan kekecewaan yang timbul. Kami menghargai pemahaman dan sokongan anda semasa kami mengharungi situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini.”

Resort berkenaan turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden berkenaan.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd