Now Reading
“Gegaran Hampir Sama Seperti Tsunami 2011” – Rakyat Malaysia Kongsi Situasi Gempa Bumi Di Jepun

“Gegaran Hampir Sama Seperti Tsunami 2011” – Rakyat Malaysia Kongsi Situasi Gempa Bumi Di Jepun

Menurut seorang warga Malaysia yang bekerja di Jepun, Mohd Syairir Abd Malek, gegaran yang dirasai di wilayah Fukui semalam (1 Januari) adalah lebih kurang sama dengan kejadian gempa bumi pada 12 tahun lepas sekitar kawasan sama.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Gempa bumi merupakan salah satu bencana alam yang sangat digeruni oleh sesiapa sahaja. Walaupun gempa bumi besar jarang berlaku di Malaysia, namun ia kerapa melanda beberapa negara Asia terutamanya Jepun.

Seperti semalam (1 Januari), satu lagi gempa bumi yang besar dilaporkan berlaku sekitar wilayah Ishikawa di tengah Jepun dengan ukuran seluas 7.6 magnitud.

Gempa tersebut telah menyebabkan beberapa gegaran dirasai oleh masyarakat di beberapa wilayah negara berkenaan.


Gempa Bumi Di Wilayah Fukui Hampir Sama Dengan Kejadian Pada Tahun 2011

Menurut salah seorang rakyat Malaysia yang menetap di Jepun, gegaran yang dirasakan di bandar Echizen, wilayah Fukui merupakan situasi lebih kurang sama terjadi ketika tahun 2011 apabila tsunami besar melanda.

Mohd Syairir Abd Malek sebelum ini pernah berhadapan dengan kejadian gempa bumi di sekitar bandar berhampiran laut itu pada 12 tahun lepas.

Beliau yang bertugas sebagai Pegawai Pengurusan Kanan Perhubungan Antarabangsa Echizen itu berkata, gegaran yang dirasai pada semalam adalah dalam tempoh agak lama iaitu kira-kira 20 hingga 30 saat.


Agensi Meteorologi Jepun Keluarkan Amaran Tsunami

Sementara itu, siren dan amaran tsunami telah dibunyikan selain pihak berkuasa mengarahkan penduduk berpindah ke tempat selamat serta tinggi.

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) telah mengeluarkan arahan tersebut untuk daerah Noto berikutan amaran tsunami untuk wilayah Niigata, Toyama dan Ishikawa di sebelah Laut Jepun.

“Mengenai persediaan kami, selagi tidak berlaku gempa bumi besar seterusnya, Insya-Allah ia dapat diuruskan. Sekarang pun ramai pegawai sedang menuju ke pusat komuniti masing-masing untuk pastikan semuanya selamat,” ujar Mohd Syairir.

Pegawai tersebut juga meluahkan kebimbangannya terhadap penduduk yang berkemungkinan letih dan lapar sekiranya gempa berlaku sekali lagi.

Jelasnya, perkara itu akan menimbulkan kesulitan bagi memastikan keselamatan semua warga Echizen terjamin.


Tiada Rakyat Malaysia Terkesan

Dalam pada itu, Kementerian Luar Negeri mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terjejas dengan insiden gempa bumi yang berlaku sekitar wilayah Ishikawa, Jepun.

Susulan itu, Wisma Putra menasihatkan warga Malaysia yang kini berada di kawasan terlibat untuk sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.

Buat rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular, anda boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo menerusi alamat 20-16, Nanpeidai-cho, Shibuya-ku, 150-0036 Tokyo atau talian telefon +81-3-3476-3840 dan +8180-3913-3840 (kecemasan).

“Malaysia menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga yang terjejas akibat daripada insiden gempa bumi ini,” tambah kementerian itu.

Sumber: Facebook Wisma Putra

Apa Perlu Buat Sekiranya Berdepan Gempa Bumi

Buat mereka yang kurang peka tentang langkah keselamatan perlu dilakukan, di sini kami kongsikan beberapa tips yang boleh dipraktikkan semasa berlaku gempa bumi. Antaranya:

  • Jauhkan diri daripada tingkap, kabinet, cermin atau apa-apa objek yang berat dan mudah terjatuh.
  • Padamkan kesemua sumber api seperti mancis, lilin dan sebagainya untuk mengelakkan berlakunya kebocoran gas.
  • Menggunakan tangga dan elakkan lif kerana berkemungkinan bekalan elektrik akan terputus.
  • Kekal berada di dalam kereta sehingga gegaran berhenti.
  • Lindungi kepala dan muka dengan apa-apa objek keras yang selamat.
Sumber: Pexels

Baca Artikel Berkaitan: Ini Apa Yang Anda Perlu Lakukan Ketika Berdepan Gempa Bumi

Baca Artikel Berkaitan: Terima Amaran Gempa Bumi, Rakyat Malaysia Turut Rasai Gegaran Dari Indonesia

Baca Artikel Berkaitan: Apa Perlu Buat Selepas Berlaku Gempa Bumi?


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd