Now Reading
Terkini: Pegawai Kanan Polis Dituduh Bunuh Pelajar Tingkatan 5

Terkini: Pegawai Kanan Polis Dituduh Bunuh Pelajar Tingkatan 5

Mohd Nazri dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh pelajar tingkatan lima di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Kinta pada minggu lalu.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Terkini, pegawai kanan polis telah dihadapkan di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak hari ini (18 Disember) atas tuduhan membunuh pelajar Tingkatan 5, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie pada 15 Disember lalu.

Tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, yang berpangkat Deputi Superintendan dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.

Namun begitu, tiada pengakuan direkodkan memandangkan pertuduhan di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Sumber: Media sosial

Pegawai Kanan Dituduh Bunuh Murid Sekolah

Menurut pertuduhan, Mohd Nazri didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie di Jalan Taman Jati 1 berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Kinta sekitar 12.05 tengah hari hingga 12.40 tengah hari pada minggu lalu.

Pertuduhan yang dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati, atau penjara minimum 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun.

Jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum dengan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Pertuduhan dikendalikan oleh lapan timbalan pendakwa raya yang diketuai oleh Azlina Rasdi, Khairul Azreem Mamat, Afzainizam Abdul Aziz, Saiful Akmal Mod Said, Nasrul Hadi Abdul Ghani, J S Geetha, Low Qin Hui, dan Wan Azimah Yaacob.

Manakala tertuduh diwakili peguam, Jacky Loi Yap Loong. Untuk makluman, tiada jaminan ditawarkan ke atas tertuduh.

Dalam pada itu, Azlina Rasdi telah memohon tarikh 7 Februari 2024 bagi sebutan semula kes sementara menunggu beberapa laporan termasuk laporan kimia tertuduh.

Mahkamah dalam masa sama membenarkan tarikh 7 Februari untuk kes disebut semula.


Tertuduh Didakwa Berdasarkan Bukti Hasil Siasatan

Semalam (17 Disember), Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husin berkata tindakan mendakwa tertuduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaaan adalah berdasarkan bukti dan keterangan diperoleh hasil siasatan menyeluruh oleh pegawai penyiasat.

“Keputusan ini memperlihatkan ketelusan polis dalam melakukan siasatan terhadap sebarang kes jenayah termasuk melibatkan pegawai kanan polis. Siasatan kes ini dikendalikan oleh Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah Ipoh bersama pasukan siasatan dengan baik dan berkredibiliti,” jelasnya.

Pada Jumaat lalu (15 Disember), mangsa, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie telah dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Ativa milik pegawai kanan polis ketika sedang menunggang motosikal selepas pulang daripada sekolah.

Dia yang masih lengkap berpakaian sukan sekolah kemudiannya terjatuh lalu diseret kereta berkenaan sejauh lebih lima meter. Difahamkan, kejadian berlaku kerana tertuduh tidak berpuas hati dengan mangsa kerana telah membuat bunyi bising menggunakan ekzos motosikal.

Sumber: Media sosial

Baca Artikel Berkaitan: Pegawai Polis Langgar Murid Bakal Ditahan Kerja Lepas Didakwa Di Mahkamah Hari Ini

Baca Artikel Berkaitan: Pelajar 17 Tahun Maut Kes Langgar Lari Depan Sekolah Di Ipoh

Baca Artikel Berkaitan: “40 Minit Anak Merintih Macam Ayam Kena Sembelih” – Luahan Bapa Zaharif Buat Ramai Sebak


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd