Now Reading
Tawar Upah RM5 Juta Bunuh PMX, Suspek Kini Dicekup Polis

Tawar Upah RM5 Juta Bunuh PMX, Suspek Kini Dicekup Polis

Seorang lelaki berusia 34 tahun telah ditahan pihak polis di Jalan Padang Tembak, Kota Bharu, Kelantan selepas menawarkan wang upah untuk membunuh Perdana Menteri.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Hari ini (28 November), seorang pengguna TikTok yang menawarkan wang sejumlah RM5,000,000 untuk membunuh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pun ditahan oleh pihak polis.

Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, suspek dipercayai pemilik akaun TikTok (@Jaiadani89) itu ditahan di Jalan Padang Tembak, Kota Bharu, Kelantan.

“Suspek seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun kini direman tiga hari bermula hari ini (28 November) hingga 30 November dan siasatan lanjut sedang dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama,” jelasnya dalam satu kenyataan.


Individu Tawar RM5 Juta Untuk Tembak Mati PM & Ahli Politik

Terdahulu, tular satu perkongsian video di laman TikTok menyaksikan seorang individu menawarkan sejumlah wang kepada sesiapa sahaja yang menembak mati Perdana Menteri, menteri dan ahli-ahli parti politik DAP.

Baca Artikel Berkaitan: PDRM Siasat Kes Tular Pengguna TikTok Tawar Upah RM5 Juta Bunuh PM Anwar

Bagaimanapun, video berkenaan dipercayai sudah dipadam atau dibuang daripada aplikasi tersebut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Angkata Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, wakil AMK cabang Putrajaya telah membuat laporan polis berhubung video terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya pada jam 1.43 tengah hari kelmarin (26 November).


PDRM Tahan Lelaki Hina YDPA

Dalam pada itu, Razarudin Husain berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menahan seorang lelaki yang disyaki mengeluarkan kenyataan berunsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) melalui platform media sosial baru-baru ini.

Suspek merupakan warga tempatan berusia 37 tahun disyaki pemilik akaun Facebook (Cik Mat Cik Po’) ditahan di Kota Bharu, Kelantan pada kelmarin (26 November).

“Suspek memuat naik komentar berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

“Suspek direman empat hari bermula semalam (27 November) hingga 30 November ini dan kes disiasat Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian serta penghinaan terhadap mana-mana raja,” ujar Razarudin Husain.

Siasatan lanjut kini turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian serta lain-lain.

Orang ramai dalam masa sama dinasihatkan agar tidak membuat sebarang jenis andaian yang boleh mengganggu proses siasatan tersebut.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd