Now Reading
Dituduh Kacau Isteri Orang, Penjawat Awam Maut Ditumbuk Di Kelantan

Dituduh Kacau Isteri Orang, Penjawat Awam Maut Ditumbuk Di Kelantan

Menurut Ketua Polis Kelantan, suspek mengesyaki mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.

maut ditumbuk di kelantan

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Apabila berada dalam keadaan marah, sesetengah individu tidak dapat mengawal emosi dan perasaan sehingga menyebabkan mereka mula bertindak di luar kawalan.

Baru-baru ini, seorang pekerja swasta berusia 46 tahun telah ditangkap oleh pihak polis selepas terlibat dalam satu pergaduhan yang menyebabkan kematian seorang lelaki.

Mangsa yang maut adalah penjawat awam yang menurut suspek mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.


Pergaduhan Berlaku Tanpa Melibatkan Senjata

Pergaduhan itu dikatakan berlaku jam 11:00 pagi semalam (3 September) di Kelantan iaitu di sebuah kedai makan berhampiran Jalan Lama Pasir Putih-Machang berhadapan Hospital Machang.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki bin Harun dalam satu kenyataannya memaklumkan bahawa pergaduhan itu tidak melibatkan sebarang senjata.

Namun kedua-dua pihak yang terlibat dalam pergaduhan itu mengalami kecederaan.

Mangsa mengalami pendarahan serius di bahagian muka dan kedua belah mata serta patah tulang rusuk kiri. Manakala suspek hanya mengalami kecederaan di kedua belah tangan. Pergaduhan berlaku tanpa melibatkan sebarang senjata.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki bin Harun.
Lokasi pergaduhan berlaku. (Sumber: Kosmo)

Mangsa berusia 51 tahun kemudiannya dibawa oleh ambulans ke Hospital Machang dan disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan.

Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Machang untuk proses bedah siasat.


Saksi Cuba Leraikan Tetapi Tidak Berani Dekati Lalu Hubungi Pihak Polis

Memetik laporan Harian Metro, seorang pekerja di bengkel motosikal bernama Zahid Hasran berusia 28 tahun telah menjadi saksi ketika pergaduhan itu berlaku.

Katanya, dia terlihat dua orang lelaki sedang berbual selama 20 minit dalam keadaan serius tetapi tidak mendengar topik perbualan mereka.

Namun secara tiba-tiba, salah seorang daripada mereka memukul dan saling membalas pukulan.

saksi kejadian kes maut ditumbuk di kelantan
Saksi kejadian. (Sumber: Harian Metro)

Saya cuba untuk halang pergaduhan tetapi tidak berani mendekati kerana mereka terlalu agresif dan saya beri amaran mahu menghubungi polis.

Saksi kejadian, Zahid Hasran.

Walaupun telah diberi amaran untuk menghubungi pihak polis, kedua-dua mereka tidak menghiraukannya sehingga pihak polis tiba ke lokasi kejadian bagi meleraikan pergaduhan.


Suspek Ditahan Oleh Pihak Polis Untuk Bantu Siasatan

Suspek telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Machang untuk membuat laporan dan telah ditahan untuk membantu siasatan.

Suspek bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur manakala mangsa dan isteri suspek merupakan penjawat awam yang bekerja di sebuah jabatan sama di Kuala Krai, Kelantan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki bin Harun.

Siasatan juga mendapati bahawa kedua-dua suspek dan mangsa tidak mempunyai sebarang rekod jenayah serta hasil ujian saringan air kencing juga menunjukkan suspek negatif dari sebarang jenis dadah.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Machang hari ini (4 September) untuk tahanan reman mengikut Seksyen 117 KPJ.

Sumber: Harian Metro | Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd