“Vape Tetap Haram Untuk Umat Islam” – Menteri Hal Ehwal Agama
Penggunaan vape diharamkan dalam kalangan umat Islam kerana cecair bahan kimianya mengandungi nikotin yang boleh memudaratkan kesihatan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm atau ikuti berita kami menerusi aplikasi Lumi News untuk updates terkini & relevan!
Beberapa tahun belakangan ini, penggunaan rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai vape semakin banyak dilihat dalam kalangan masyarakat tidak kira lelaki atau wanita.
Lebih membimbangkan lagi, individu bawah umur juga terdedah dengan tabiat menghisap vape sehingga wujud kes di mana mereka terpaksa dimasukkan ke dalam hospital bagi menerima rawatan.
Mana tidaknya, peranti vape ini dicipta dalam pelbagai bentuk, saiz, warna dan perisa cecair yang menarik perhatian pengguna baharu dan membuatkan mereka mudah ketagih.
Penggunaan Vape Diharamkan Dalam Islam
Memetik laporan Buletin TV3, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan bahawa penggunaan vape dalam kalangan umat Islam adalah HARAM.
Keputusan itu dibuat selepas mendapat kesepakatan bersama Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 21 Disember 2015 yang lalu.
Meskipun sesetengah pihak mendakwa penggunaan vape itu membantu mereka untuk mengurangkan ketagihan terhadap tabiat merokok, gejala menghisap vape ini masih perlu dielakkan.
Beliau menjelaskan dari perspektif syarak bahawa keempat-empat mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali juga mengharamkan pengambilan bahan yang boleh memudaratkan tubuh badan termasuklah racun, kaca dan lain-lain.
Ini kerana terdapat pelbagai jenis penyakit boleh berlaku pada tubuh badan jika seseorang mengamalkan tabiat menghisap vape kerana alat tersebut mengandungi bahan seperti nikotin, Propylene Glycol, Vegetable Glycerin dan bahan perisa dan pewarna.
Antara penyakit yang boleh berlaku jika seseorang kerap menghisap vape adalah:
- Pembekuan darah
- Kematian mengejut
- Iritasi pada mata, kulit dan tekak
- Membunuh sel para-paru
Kerajaan memandang serius penggunaan rokok elektronik atau vape dan isu-isu itu sering dibahaskan oleh ramai pihak dari pelbagai aspek. Berdasarkan perspektif agama, rokok adalah diharamkan atas beberapa faktor iaitu mengandungi pelbagai jenis racun seperti nikotin serta bahan-bahan kimia lain yang dipercayai boleh memudaratkan kesihatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan ahli Parlimen Hulu Selangor Mohd Hasnizan Harun ketika bersidang semalam (14 Jun) berhubung penggunaan vape yang memberi kesan kepada kesihatan.
BACA JUGA: Budak 2 Tahun Dimasukkan Ke Hospital, Disyaki Tertelan Cecair Vape
BACA JUGA: Alarm Over Prevalence Of Underage Vaping, Vaping-Related Illnesses In Malaysia
BACA JUGA: Majority Of Malaysian Vapers Believe Vape & Cigarettes Shouldn’t Be Regulated The Same Way
Hukum Penggunaan Vape Dalam Islam
Kebanyakan cecair vape mempunyai bahan kimia yang dikenali sebagai nikotin dan boleh memberi kesan bahaya kepada kesihatan tubuh badan manusia.
Memetik sumber dari Mufti Wilayah Persekutuan, hukum penggunaan vape disifatkan sebagai HARAM kerana menyebabkan berlakunya pembaziran wang dan dilihat tidak bermaruah serta seolah-olah meniru budaya masyarakat bukan Islam.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah:
وَلَا تُلۡقُواْ بِأَيۡدِيكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ وَأَحۡسِنُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ
Maksudnya: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.
Walaupun ayat ini diturunkan berkenaan dengan perbelanjaan infāq fī sabīlillāh tetapi keumuman ayat ini merangkumi segala bentuk perbuatan yang membawa kepada kebinasaan, sebagaimana dijelaskan oleh al-Shawkani:
وَالحَقُّ أَنَّ الاِعْتِبَارَ بِعُمُوْمِ اللَّفْظِ لاَ بِخُصُوْصِ السَّبَبِ فَكُلُّ مَا صَدَقَ عَلَيْهِ أَنَّهُ تَهْلُكَةٌ فِيْ الدِّيْنِ أَوْ الدُنْيَا فَهُوَ دَاخِلٌ فِي هَذَا وَبِهِ قَالَ ابْنُ جَرِيْرِ الطَّبَرِيُّ
Maksudnya: Dan yang sebenarnya ialah pengajaran itu diambil melalui keumuman lafaz, bukan melalui sebab penurunan (ayat) secara khusus. Maka setiap perkara yang menepati maksud kebinasaan sama ada terhadap agama atau dunia, maka ia termasuk dalam umum ayat ini. Dan ini jugalah yang dipegang oleh Ibn Jarir al-Tabari.
Rasulullah SAW juga pernah bersabda:
وَمَن تَحَسَّى سُمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَسُمُّهُ فِي يَدِهِ يَتَحَسَّاهُ فِيْ نَارِ جَهَنَّمَ خَالِداً فِيْهَا أَبَداً
Maksudnya: Sesiapa yang meneguk racun lalu membunuh dirinya, maka racunnya akan sentiasa di tangannya sambal meneguknya dalam neraka Jahannam, berkekalan selama-lamanya.
Riwayat al-Bukhari (5778) dan Muslim (109).
Hadis ini menjadi ancaman balasan neraka dan seksaan yang dahsyat bagi orang yang melakukan tindakan yang membinasakan diri sendiri. Secara umumnya, dalil tersebut mengharamkan segala bentuk tindakan yang membunuh dirinya.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.