Now Reading
PRU15: Aplikasi ‘MySPR Semak’ Bantu Rakyat Teliti Maklumat Sebelum & Selepas Mengundi

PRU15: Aplikasi ‘MySPR Semak’ Bantu Rakyat Teliti Maklumat Sebelum & Selepas Mengundi

Dalam aplikasi ‘MySPR Semak’, orang ramai boleh melihat semula lokasi DUN dan Parlimen yang mereka akan mengundi.

PRU15: Fungsi Aplikasi MySPR Semak

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Selepas Parlimen dibubarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober, rakyat Malaysia dijangka akan melalui sekali lagi proses pengundian untuk memilih kerajaan baharu bagi mentadbir negara.

Kali terakhir Malaysia mengadakan proses pengundian adalah ketika Piliharan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018 iaitu empat tahun lepas semasa diperintah oleh Datuk Seri Najib Razak.

Sementara menunggu kerajaan baharu dibentuk, Kabinet Malaysia kini ditadbir Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai kerajaan sementara atau ‘caretaker’.

Walau bagaimanapun, sebarang keputusan melibatkan dasar atau polisi baharu tidak boleh dilakukan ketika pemerintahan sementara ini.

BACA JUGA: Bubar Parlimen: Ismail Sabri Masih Tadbir Malaysia Sebagai Kerajaan Sementara

Sumber: Portal Rasmi Parlimen Malaysia

Fungsi Aplikasi MySPR Semak

Kepada semua pengundi baharu terutamanya golongan muda yang pertama kali akan turut serta dalam proses pengundian pada PRU15 tahun ini, jangan pening-pening.

Menerusi hantaran dimuat naik oleh seorang pengguna Twitter (@fiqahdarisabah), wanita ini berkongsi beberapa fungsi aplikasi MySPR Semak untuk membantu para pengundi sekalian.

Aplikasi MySPR Semak ini juga boleh dimuat turun oleh semua jenis telefon pintar menerusi Apple App Store dan Google Play Store.

Apabila anda membuka aplikasi tersebut, terdapat tiga jenis pilihan yang dipaparkan di laman utama iaitu:

  • Semakan Daftar Pemilih
  • Semakan Calon Pilihan Raya
  • Semakan Keputusan Pilihan Raya

Jom kita tengok dengan lebih terperinci untuk setiap satu semakan ini.


Semakan Daftar Pemilih

Untuk membolehkan anda mengetahui status sebagai pengundi, klik pada bahagian Semakan Daftar Pemilih dan masukkan nombor kad pengenalan tanpa sebarang simbol atau jarak.

Sumber: Twitter/fiqahdarisabah

Kemudian maklumat peribadi pengundi termasuklah lokaliti, daerah mengundi, DUN dan juga Parlimen akan tertera.

Ambil perhatian kepada lokasi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang tertera selari dengan maklumat peribadi anda kerana PRU kali ini memerlukan pengundian melibatkan dua jenis peringkat pemerintahan.

Tetapi kepada penduduk di Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor hanya perlu mengundi untuk Parlimen sahaja kerana negeri-negeri tersebut sudah melalui Pilihan Raya Negeri (PRN).

Malah dengan penguatkuasaan Undi18, mereka yang berumur 18 tahun ke atas juga layak untuk mengundi kerana maklumat mereka sudah didaftarkan secara automatik.

Bermula 31 Oktober, para pengundi turut dapat menyemak lokasi pusat mengundi dan juga saluran yang ditetapkan.

Waktu yang digalakkan untuk keluar mengundi juga tertera dalam semakan tersebut.

Apa Beza DUN Dan Parlimen?

Kedua-dua ahli Parlimen dan juga DUN membuat bidang kuasa yang berbeza.

  • Ahli Parlimen
    • Terlibat di peringkat persekutuan dan mewakili kawasan Parlimen dalam Dewan Rakyat untuk draf, membahas serta mengundi polisi yang melibatkan seluruh negara.
  • Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
    • Hanya terlibat di peringkat negeri dan mewakili kawasan DUN dalam Dewan Undangan Negeri untuk draf, membahas serta mengundi polisi yang lebih spesifik mengikut keperluan negeri tersebut.

Rujuk maklumat di bawah untuk lebih terperinci.

Sumber: Twitter/fiqahdarisabah

Semakan Calon Pilihan Raya

Selepas Parlimen dibubarkan, antara perkara penting yang perlu diambil perhatian oleh para pengundi adalah tarikh mengundi dan calon bagi setiap parti.

Selepas Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) memutuskan tarikh pengundian, parti politik akan mula mengumumkan calon mereka yang bakal bertanding dalam PRU.

Dengan adanya aplikasi MySPR Semak ini, anda tak perlu lagi tercari-cari nama calon bagi setiap parti yang bertanding kerana semuanya boleh didapati di bahagian Semakan Calon Pilihan Raya dalam aplikasi tersebut.

Tetapi, senarai calon hanya akan tertera dalam aplikasi MySPR Semak selepas hari penamaan calon.

Sumber: Twitter/fiqahdarisabah

Macam Mana Nak Tahu Perlu Undi Siapa?

Sekiranya anda agak keliru untuk mengundi calon terbaik bagi memimpin negara dan kawasan negeri masing-masing, terdapat beberapa tips yang boleh membantu anda seperti:

  • Lakukan sedikit kajian tentang senarai calon dengan membaca dari pelbagai jenis sumber sahih.
  • Teliti semula sejarah mereka dalam bidang politik di Malaysia seperti tahap perjuangan yang dilakukan kepada rakyat dan rekod jenayah sekiranya pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan.
  • Ikuti juga perkembangan terkini menerusi arus media perdana dan juga media sosial.

Semakan Keputusan Pilihan Raya

Dengan semakan ini pula, anda boleh melihat semula calon yang pernah bertanding dan telah menang di peringkat Parlimen serta DUN ketika PRU sebelum ini.

Anda boleh melihat semula beberapa jenis keputusan pilihan raya seperti berikut untuk membantu anda mengenal pasti potensi setiap calon yang bakal bertanding bagi PRU15 kali ini.

  • Pilihan Raya Umum
  • Pilihan Raya Umum DUN
  • Pilihan Raya Kecil
Sumber: Twitter/fiqahdarisabah

Selepas selesai proses pengundian dan keputusan rasmi dikeluarkan, anda juga boleh menyemak maklumat terkini tentang calon yang menang menerusi ciri semakan ini.


Kepada rakyat Malaysia yang menetap di luar negara, anda masih boleh mengundi calon pilihan dengan cara undi pos.

Ingatlah, satu undi cukup mampu mengubah segalanya. Jadi, jangan lepaskan peluang anda untuk mengubah iklim politik Malaysia ke arah yang lebih baik pada masa akan datang.

BACA JUGA: PRU15: Cara Mohon Undi Pos


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd